Ibu bapa kadangkala tidak dapat mengelakkan diri daripada memarahi anak terutama apabila anak bersikap nakal. Belum ditambah jeritan dan pekikan anak-anak bergaduh. Naik pening dibuatnya.
Keletihan badan dan minda membuatkan ibu-ibu mudah naik angin. Yang jadi mangsa anak-anak. Bayangkan jika setiap hari anak dimarahi kerana situasi ini, sudah tentu tidak baik untuk perkembangan emosi mereka.
Dalam satu perkongsian Dr Siti Ujila Official, seorang pensyarah dan juga penulis buku keibubapaan sebelum ini pernah berkongsi tip membantu para ibu menangani situasi ini dengan betul.
“Sebagai manusia, emosi kita tidak menentu. Kadang balik rumah dengan kepala yang kusut, ‘bateri’ tenaga tinggal 10% dan perlu di ‘charge’ segera. Masalahnya baru saja nak charge, rumah sudah terlebih dahulu dilanda ribut taufan. Tuan-puan pun boleh teka apa yang jadi selepas itu.
“Dalam hidup ini, kita cuba melakukan yang terbaik dan bekerja keras namun terkadang kita lupa apakah sebenarnya yang kita inginkan. Jawapannya ada pada ayat ini yang sangat terkesan di hati:
““Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurgaKu” Surah Al Fajr ayat 27-30
“Ya Allah, bila baca ayat ini, seolahnya Allah beritahu “whatever you do, all you really want adalah jiwa yang tenang”.
“Jiwa yang apapun masalah yang datang dalam hidup, orang kata ‘dalam hati ada taman’. Subhanallah, rupanya Allah dah bagi jawapannya dalam Quran. Kita kerja keras, kita besarkan dan didik anak-anak, kita bersolat mengaji, kita bersilaturrahim, semuanya untuk kita mencapai satu pekara:
“Jiwa yang tenang. Hati yang redha dan diredhai. Izinkan saya berkongsi beberapa tip yang mungkin boleh digunakan. Tip yang saya amalkan dan alhamdulillah bonding saya dengan anak-anak kuat walaupun ada masanya saya jadi cikgu disiplin yang garang.
CUMA LIMA TIP INI:
Saya percaya, tip ini bukan perkara baru. Sekadar satu perkongsian yang moga-moga bermanfaat buat saya dan para pembaca:
1. Peganglah jawapan yang Allah berikan itu saat kita melangkah kembali ke rumah selepas seharian bekerja. Katakan dalam hati: “I am going to see my loved ones. This is our happy moment“. Kalau boleh, tampal nota di mana-mana sebagai friendly reminder.
2. Happy moment bukan bermaksud kita tak marah anak. Jika kita perlu tegur kesalahannya, ia mesti dilakukan dan pastikan anak-anak sedar kesilapannya.
3. Tapi bila mood kita OK, ambillah peluang itu sehabis baik untuk katakan pada anak “Sayang mama kat kakak”. Sambil makan bersama atau tengok tv, peluk anak atau sesekali usap kepalanya sambil kita katakan “Sayang anak mama ni”.
Walaupun anak kita masih leka menonton tv saat itu, tapi sebenarnya kata-kata kita itu sampai ke hatinya hingga ia tahu yang ‘mama sayang saya’
4 Bila anak buat perkara yang baik yang menggembirakan kita walaupun sekadar menolong kita mengambil telefon di tingkat atas, pujilah dia sehabis baik “Baiknya anak mama ni, thank you sayang tolong mama. Good sayang. Mesti Allah sayang kakak kan sebab tolong mama ni” sambil picit pipinya yang comel atau hidungnya yang cute.
5. Carikan satu aktiviti yang kita boleh lakukan bersama dengan anak-anak yang boleh buat kita gelak-gelak bersama. Tanpa perlu keluarkan wang dan tanpa perlu keluar dari rumah.
Contohnya, saya dan anak-anak suka bermain ‘dinasour’ di mana saya akan jadi dinasour yang akan mengejar anak-anak sampai mereka berlari lintang pukang sambil ketawa tak kering gusi dibuatnya.
Saya suka sangat momen ini. Dapat buat 10 minit pun sudah cukup menggembirakan anak. Abahnya pula suka bermain ‘horse’. Abah duduk di kerusi, kemudian anak-anak duduk di kaki abah. Konon-konon masukkan duit syiling 50 sen, tiba-tiba horse bergerak (kaki abah) dan mereka punyalah suka (walaupun bergerak setempat).
Supaya, walaupun ada masanya kita marah…ada masanya kita kurang sabar melayan karenah anak-anak, tapi anak tahu yang kita sayangkan mereka. Kerana ada masanya kita tergelak bersama. Ada masanya kita memeluk dan memujinya.
Tip di atas adalah antara elemen dalam Teknik ADHA (Allah Dalam Hati Anakku). Apabila kita melakukannya, secara automatik kita sendiri akan jadi mak ayah yang “full of love“. Kita yang terlebih dahulu akan menjadi ibu bapa yang mudah menunjukkan kasih sayang, hanya dengan satu teknik yang santai.
Sumber: Dr Siti Ujila Official