Kata orang, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pepatah ini bermaksud ibu bapa perlulah mendidik ataupun mendisiplinkan anak-anak bermula sejak mereka masih kecil.

Dan tindakan  penyanyi, Siti Sarah Raisuddin berkongsi sebuah video dia menegur dua anaknya Uwais Alqarni dan Dzahira Talita Zahra kerana bergaduh di laman Instagram miliknya dipuji ramai.

Isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu itu meminta kedua-dua anaknya berikrar supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut lagi.

Malah tindakan itu mendapat pujian ramai netizen sehingga ada yang mengaitkan kenangan mereka dimarahi ibu bapa ketika kecil dahulu.

Bagaimanapun menerusi posting terbaru Sarah di laman Instagramnya, memaklumkan  ada yang tidak bersetuju dengan cara Sarah memarahi anak-anak.

Ada yang beranggapan Sarah terlalu kejam dalam mendidik anak-anak, serta tidak menghormati dan membuli anaknya sendiri kerana memuat naik video mereka dimarahi.

IKLAN

Bertegas demi kebaikan anak

Namun sebagai ibu, Sarah berpendapat, anak-anak perlu diajar untuk mereka memahami apa yang dituturkan.

“Ada yang tak bersetuju dengan pendapat saya suruh anak saya berjanji untuk tidak bergaduh, atas alasan janji itu perkara berat bukan boleh di buat main-main dan anak sekecil itu tak faham.

IKLAN

“Baik ini pulak pendapat saya, sedangkan orang dewasa pun ramai yang tak faham tentang janji, ini kan lagi anak kecil.

“Anak kecil mungkin tak faham janji itu apa, tapi kita harus bagi mereka faham berkenaan janji

“Contoh sekiranya terjadi lagi pergaduhan saya akan ingatkan anak saya tentang janji yang pernah dia buat. Jadi lama kelamaan anak itu akan faham tentang janji.

IKLAN

“Dalam masa yang sama mereka akan terima hukuman,” jelasnya.

Tambah Sarah, apa pun yang setiap apa yang dilakukan haruslah bermula dengan ibu dan ayah.

“Seperti saya, apa yang saya janjikan pada anak saya , saya akan kotakan. Saya tidak akan menuruti kehendak anak-anak saya hanya kerana tak nak dengar anak saya menangis dan memberikan janji-janji kosong supaya anak tidak buat perangai.

“Sekiranya saya kata tidak bermakna tidak. Anak harus didik.

“Itu pendapat saya dan hanya sekadar pendapat. Maafkan saya sekiranya menguris. Saya juga manusia biasa tidak terlepas dari membuat kesilapan,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian & Ig Siti Sarah

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI