
Kelahiran anak sulung dalam keluarga sudah tentu paling dinantikan bagi pasangan suami isteri. Sama ada cepat atau lambat penantian ini antara yang paling berharga.
Begitulah juga buat pasangan, Muhammad Nur Ifwat Ishak dan Nurul Nadia Ismail, 25.
Mengetahui diri hamil, pastinya menjadi detik terindah buat Nurul Nadia malah sepanjang mengandungkan anak sulunnya itu, tiada sebarang masalah dialaminya.
Namun tanpa diduga, ketika usia kandungan mencecah 26 minggu, ibu muda ini dikhabarkan dengan berita kekurangan air ketuban.
“Dengan air ketuban yang sikit pada mulanya dan ada bengkak dalam perut. Kemudian makin lama air ketuban makin tiada. Sampai paras tiada langsung air ketuban.
“Namun, akhirnya, selamat bersalin ketika usia kandungan baru berusia 33 minggu secara normal, pada 2 Disember lalu, jam 2.17 pagi walaupun jangkaan sebenar pada 14 Januari 2019.
“Meskipun pada mulanya dicadangkan secara pembedahan tetapi disebabkan sudah keluar tanda bersalin lagi awal. Dan bayi sudah ada di laluan. Bukaan pun sudah 2 cm. Doktor kata, dalam kes saya, 10 orang yang cuba bersalin normal hanya seorang sahaja yang berjaya. Alhamdulillah, ALLAH mudahkan segalanya,” kongsi Nurul Nadia di laman sosial Facebook, miliknya.
Menurut Nurul Nadia, doktor memaklumkan bayinya yang dinamakan Maryam itu mengalami Potter Syndrome, di mana nisbah sindrom ini hanya satu dalam 30,000 kes.
Ia bukan genetik, bukan juga masalah kromosom namun doktor memberitahu, Maryam mungkin hanya mampu bertahan beberapa jam sahaja selepas dilahirkan.
Allahuakbar! Hati ibu dan ayah mana yang tidak sedih dan sayu akan perkhabaran duka ini.
“Pukul 7 pagi doktor memaklumkan, Maryam memberikan respons positif apabila dimasukkan oksigen. .
“Alhamdulillah. Ibu cukup bersyukur sebab (ibu) nak jumpa anak (ibu). Anak ibu yang kuat ini. Akhirnya lama menunggu, pukul 11.30 pagi, (ibu) dapat berjumpa Maryam.
“Cantiknya anak ibu. Subhanallah putih comel. Tapi, kata doktor, Maryam tak boleh bertahan lama, paru-paru Maryam sudah bocor,” katanya lagi.
Kuasa ALLAH, Maryam dapat berjumpa dengan semua orang termasuk nenek juga pak cik dan mak ciknya.
Kongsi Nurul Nadia, sekitar jam 8 malam, dia mengalami demam menggigil disebabkan kurang rehat sejak melahirkan Maryam.
Pada awal pagi esoknya, dia terjaga dari tidur dan terdetik di dalam hati, apalah khabar anaknya itu.
“Maryam sayang, kalau sakit tak payah tahan. Pergilah… Ibu reda. Selepas itu, jururawat beritahu, Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU) nak jumpa ibu. Maryam dengar apa ibu cakapkan.
‘Bila ibu sampai, denyutan jantung Maryam sudah turun. Ibu cakap, Maryam tunggulah ayah. Ayah datang tu. Itulah pertama kali ibu dapat peluk Maryam dengan ada banyak wayar yang berat.
“Sakit mulut anak ibu kan. Bila ayah datang, denyutan jantung Maryam jadi stabil balik. Manja dengan ayah ini. Ibu bagi ayah pegang pulak. Sebab tangan ibu dah lenguh,” katanya.
Menurut Nurul Nadia, dia tertidur di situ hinggalah dikejutkan oleh jururawat pada jam 3.35 pagi.
“Puan anak dah tak ada (puan). Luluh hati ibu.
“Terima kasih Maryam untuk 24 jam yang ada. Ibu Reda,” tulisnya lagi.
Sumber: Nurul Nadia Ismail
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Waktu Nak Tidurlah Dia Tarik Rambut, Panjat Belakang Kita. ‘Akal’ Baby Tak Nak Lelap!

Ibu ayah dah tersengguk-sengguk mengantuk. Anak pula tak menunjukkan sebarang tanda yang dia mahu tidur. Mahu dibiarkan bahaya pula. Mahu tak mahu terpaksa melayan karenah si manja sepanjang malam. Esoknya, rabak mata! Kenapa anak sukar tidur malam?
Artikel Menarik: [Tak Perlu Persoal Pun Berat Badan Anak Orang, Kecil Tak Semestinya Tak Sihat]
Apabila anak menjangkau usia 9 hingga 12 bulan dan ke atas, banyak perubahan yang berlaku. Selain perubahan pada fizikal yang semakin ketara dan lebih aktif, tidur malam juga kerap tertunda. Tidur amat mustahak untuk perkembangan bayi dan kanak-kanak. Otak mereka berkembang semasa tidur.
6 KESILAPAN PERLU ELAK JIKA MAHU ANAK SENANG TIDUR
1.Tidur siang terlalu lama
Ini menjadi salah satu punca utama masalah sukar tidur malam. Apabila bayi tidur siang terutamanya pada waktu petang terlalu lama, mereka akan rasa segar, tidak mengantuk dan bertenaga pada malam hari.
Ia akan menyebabkan sama ada mama dan papa perlu membiarkan anak bermain sehingga mengantuk sendiri awal pagi atau perlu berperang untuk memaksanya tidur dengan cara paksaan yang mana perlu dielakkan. Pesan kepada pengasuh anda untuk tidak membiarkan bayi tidur terlalu lama supaya dia mudah tidur pada waktu malam.
2.Persekitaran bising dan terlalu cerah
Suasana bising dan keadaan pencahayaan yang terlalu cerah boleh menjadi sebab kenapa bagi sukar untuk tidur pada waktu malam. Seelok-eloknya wujudkan suasana yang cosy apabila waktu tidur anak kian hampir.
Malapkan pencahayaan dengan memasang lampu meja dan memadamkan lampu siling. Matikan TV dan gajet sekurang-kurangnya 1 jam sebelum waktu tidurnya.
3.Terlebih rangsangan
Elakkan melakukan aktiviti rangsangan seperti bermain permainan melibatkan pergerakan fizikal yang aktif dengannya supaya pergerakan badan mula perlahan dan bersedia untuk tidur.
Artikel Menarik: [Bayi Tak Perlu Banyak Bantal Waktu Tidur. Bahaya, Boleh Mengundang Maut!]
4.Elakkan bergantung kepada alatan
Peralatan seperti buaian seringkali menyebabkan kebergantungan. Kalau tak ada alatan ini, bayi tidak mahu tidur atau amat susah untuk melelapkan mata. Jadi, kalau anda tidak mahu pergantungan pada kemudian hari, elakkan dari membiasakan bayi dengan buaian daripada awal lagi.
5.Elakkan bergantung kepada pergerakan
Biasakan bayi didukung atau didodoikan dengan cara pergerakan. Apabila tidak dapat dua cara ini, ia boleh jadi punca bayi sukar untuk tidur. Seelok-eloknya biarkan bayi tidur di atas tilam. Paling tidak, mama dan papa hanya menepuk pahanya sehingga tertidur.
6.Tiada ada rutin tidur yang tetap
Bayi tidak mempunyai rutin tidur yang tetap akan mengalami masalah untuk tidur. Ibu ayah perlu mewujudkan rutin tidur bagi memudahkan mereka tidur. Tapi perkara ini tidak akan berlaku dalam masa yang singkat.
Rutin tidur yang seelok-eloknya mula diciptakan pada seawal selepas pantang. Misalnya selepas mandi malam, disusukan malam dan kemudian tidur. Patuhilah rutin ini untuk mengelakkan ‘berperang’ untuk tidur di waktu malam.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sebelum Cuti Bersalin, Ada Beberapa Perkara Yang Mama Perlu Tahu! Penting Untuk Proses Bersalin

Kesihatan dan tumbesaran bayi anda adalah sangat penting, terutama dalam tempoh-tempoh akhir kehamilan. Setiap detik adalah sangat berharga. Sebelum anda mula mengambil cuti bersalin untuk berpantang, terdapat beberapa perkara yang perlu anda ketahui sebagai persiapan untuk menghadapi proses bersalin.
Baca Selanjutnya:
Mudahnya Bersalin Guna Teknik Ini! Tapi Jangan Lupa Siapkan Persiapan Ini Ke Hospital
Apakah tempoh mengandung yang mencukupi?
Secara umumnya, tempoh mengandung yang normal dan mencukupi, akan berlangsung antara 280 hari atau 40 minggu. Bagi bayi pramatang, tempoh kelahiran akan berlaku sebelum cukup 37-minggu dalam tempoh kehamilan anda. Untuk bayi yang sangat pramatang akan dilahirkan antara minggu ke-23 hingga minggu ke-28 kehamilan. Bayi pramatang sederhana pula akan lahir antara minggu ke- 29 hingga minggu ke-33.
Antara minggu ke-34 hingga minggu ke-37, bayi yang lahir dapat tempoh ini dikenali sebagai bagi pramatang lewat. Kebiasaannya, bayi yang lahir sebelum minggu ke-39 kehamilan berdepan dengan risiko yang besar untuk mengalami masalah pernafasan, gula dalam darah, dan masalah lain yang mungkin cenderung menyebabkan bayi anda dimasukkan ke unit perawatan intensif neonatal (neonatal intensive care unit, NICU).
Persediaan yang perlu dilakukan sebelum cuti bersalin
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – kelahiran
Menunggu selama 9 bulan bagi tempoh kehamilan untuk tiba ke masa anda melahirkan bayi anda ke dunia pastinya merupakan detik yang sangat dinantikan, malahan ia pastinya merupakan masa yang dinantikan oleh seluruh keluarga anda. Namun, sebelum itu, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan oleh bakal ibu untuk memastikan proses kelahiran bayi anda berjalan lancar. Berikut adalah langkah persediaan yang boleh dilakukan sebelum anda bersalin.
Menghadiri kelas persediaan bersalin
Selain mendapatkan maklumat dan pengalaman daripada mereka yang pernah menjadi ibu, anda juga boleh mendapatkan informasi lanjut dengan menghadiri kelas persediaan untuk bersalin. Tujuan kelas ini dijalankan adalah untuk mengetahui lebih lanjut dan spesifik mengenai kelahiran bayi yang akan memudahkan anda membuat keputusan dan mengurangkan perasaan takut serta gementar. Berikut merupakan perkara asas yang akan diajar kepada anda melalui kelas persediaan untuk bersalin:
- Petanda kelahiran
- Simptom normal kelahiran
- Teknik untuk mengawal kesakitan
- Bagaimana pasangan anda boleh membantu
- Bila waktu anda perlu memanggil doktor atau jururawat
- Mencukur bulu ari-ari
- Ketika sedang hamil, anda mungkin runsing sama ada perlu mencukur bulu ari-ari anda atau tidak terutamanya jika ini merupakan kehamilan kali pertama. Hakikatnya, kawasan ari-ari yang bersih dan kemas akan memudahkan anda dan doktor untuk melakukan prosedur kelahiran. Ia juga dapat mengurangkan risiko infeksi yang boleh dihidapi sekiranya bulu ari-ari tidak dicukur sebetulnya sebelum kelahiran bayi. Oleh itu, pakar perubatan menyarankan anda untuk mencukur bulu ari-ari anda sebelum melahirkan anak untuk tujuan keselamatan dan kebersihan anda dan kandungan.
Mengetahui peringkat proses kelahiran
Setiap wanita mempunyai peringkat proses kelahiran yang berbeza. Tiada siapa yang dapat meneka atau mengenalpasti tempoh peringkat proses kelahiran mereka sendiri. Secara dasarnya, anda akan mengalami tiga peringkat semasa proses kelahiran anda:
Peringkat pertama: peringkat ini bermula apabila otot rahim mula mengecut, mengembang dan kemudian relaks yang akan membantu pembukaan serviks. Fasa ini boleh berlaku beberapa jam sehingga beberapa hari. Anda akan mengalami kontraksi aktif yang kerap dan bertahan selama beberapa minit.
Peringkat kedua: peringkat ini bermula apabila serviks anda mula meluas dan menolak bayi keluar.
Peringkat ketiga: peringkat ini adalah fasa bayi anda sudah dilahirkan. Kontraksi akan terus berlaku sehingga plasenta dikeluarkan daripada saluran kelahiran anda.
Bersedia menghadapi kesakitan
Bagi membantu mengawal kesakitan semasa bersalin, anda boleh melakukan perkara-perkara berikut:
Urutan perineum: urutan perineum ini adalah teknik yang secara perlahan-lahan dapat meregangkan kulit dan tisu sekitar vagina dan anus anda semasa minggu terakhir kehamilan. Kebiasaannya, anda boleh lakukan urutan ini pada minggu ke-34 kehamilan. Menurut kajian, urutan perineum ini menunjukkan keberkesanan dengan mengurangkan kekoyakan perineum semasa bersalin.
Senaman pelvik atau senaman Kegel: otot pelvik anda perlu untuk meregang dalam usaha menolak bayi anda keluar melalui pelvis. Oleh itu, wanita hamil perlu melakukan senaman pelvik dengan kerap bagi memastikan proses bersalin berjalan lancar.
Bagaimana mengatasi kerisauan sebelum cuti bersalin?
Bagi ibu yang pertama kali akan melalui pengalaman proses kelahiran bayi, pastinya terdapat beberapa perkara yang menjadi kerisauan dan kebimbangan di hati dan fikiran. Gementar? Takut? Ia adalah rasa yang normal untuk dilalui. Berikut adalah beberapa perkara yang sering menjadi kebimbangan sebelum menempuhi proses bersalin.
Risau terlambat untuk melahirkan
Kebanyakan ibu hamil risau kandungannya akan lahir di tempat selain katil hospital akibat terlambat. Sebenarnya, proses melahirkan anak tidak berlaku dengan secepatnya.
Sekiranya anda pernah melahirkan anak sebelum ini, proses kali kedua ini tidak serumit yang pertama. Berhubung dengan doktor untuk mengetahui tanda-tanda sebenar saat melahirkan semakin dekat agar anda dapat merancang masa dengan sebaik mungkin.
Selain itu, sediakan persiapan yang secukupnya agar anda bersedia untuk ke hospital pada bila-bila masa sahaja.
Risau terhadap kesakitan
Kerisauan ini sememangnya dialami oleh setiap ibu hamil. Jika kerisauan ini berterusan dan semakin teruk, berbincanglah dengan doktor anda tentang pengambilan ubat semasa melahirkan. Menurut pakar, pengambilan ubat semasa melahirkan tidak memudaratkan bayi dalam kandungan dan cuma membuatkan bayi anda berasa mengantuk. Untuk lebih selamat, anda boleh memastikan doktor anda meminimumkan dos ubat demi mengurangkan kesan sampingannya. Anda juga boleh menghadiri kelas-kelas untuk ibu hamil yang boleh mengajar anda teknik pernafasan efektif saat melahirkan. Anda juga perlu percaya terhadap staf profesional yang membantu anda saat melahirkan terutamanya jururawat anda demi menimbulkan perasaan yang lebih tenang dan selamat.
Risau terhadap kesan epidural
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – epidural
Suntikan epidural boleh membantu mengurangkan sakit ketika melahirkan tetapi ibu hamil juga sebenarnya risau terhadap kesan sampingannya. Ini akan menjadikan ibu hamil tidak mahu mengambil suntikan ini. Namun, keadaan ini tidak seharusnya menjadi kerisauan para ibu kerana kesan sampingan yang berlaku akibat suntikan epidural seperti pening kepala boleh dirawat dengan mudah. Selain itu, suntikan ini juga tidak akan mendatangkan komplikasi jangka masa panjang yang lebih membimbangkan.
Risau terhadap kaedah C-section
Kaedah C-section atau Cesarean adalah proses melahirkan yang sudah menjadi kebiasaan masa kini. Namun begitu, kebanyakan ibu hamil masih risau terhadap prosedur, kesan dan risiko pembedahan ini. Anda boleh bertanya kepada doktor anda jika terdapat sebarang cara untuk mengelakkan pembedahan ini. Sekiranya tiada, anda perlu tenang dan mempercayai doktor anda. Dalam beberapa kes, pembedahan Cesarean adalah jalan yang terbaik sekiranya bayi dalam kandungan anda terlalu besar untuk saiz badan anda atau bayi anda berada dalam kedudukan posisi yang tidak normal semasa melahirkan. Selain itu, bukaan serviks yang tidak cukup juga memerlukan anda melakukan pembedahan ini.
Risau terkeluar najis ketika melahirkan
Meskipun tidak terlalu bahaya seperti kerisauan yang lain, kerisauan ini membuatkan ibu hamil menjadi malu. Kebanyakan Ibu hamil terlalu malu untuk membincangkan perkara ini dengan doktor atau individu lain. Hakikatnya, keadaan ini boleh terjadi dan tidak perlu dirisaukan. Ini kerana keadaan ini adalah sangat normal sekiranya anda bersalin secara normal. Anda juga perlu tahu bahawa pasukan perubatan seperti doktor dan jururawat sudah biasa dengan keadaan ini yang mereka anggap sudah sebati dalam kehidupan mereka sebagai pakar perubatan.
Apakah perbezaan bersalin secara normal atau pembedahan caeserean?
Setiap individu wanita yang mengandung, mengimpikan proses bersalin atau kelahiran yang mudah dan singkat tanpa sebarang komplikasi – berdepan dengan beberapa kontraksi, proses meneran dan lahirlah seorang bayi yang comel – namun, malangnya, tidak semua proses kelahiran akan berjalan lancar seperti itu.
Sesetengah bayi mungkin terpaksa dan perlu dilahirkan melalui kaedah pembedahan caeser (C-section). Jika anda berharapkan untuk melalui proses kelahiran normal, berikut mungkin dapat membantu anda untuk memahami bagaimana dan mengapa kaedah pembedahan caesar dilakukan dan ia mungkin boleh dianggap sebagai persediaan jika proses bersalin dan kelahiran normal tidak dapat dilakukan seperti yang anda inginkan. Walau apapun proses kelahiran dan bersalin yang perlu anda lalui, adalah yang paling utama adalah keselamatan anda dan bayi, perlu diutamakan.
Apakah itu pembedahan caesarean?
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – caesarean
Pembedahan caesarean atau C-section adalah pembedahan yang dilakukan terhadap wanita hamil dan melibatkan pemotongan perut dan rahim untuk melahirkan bayi. Pembedahan ini dikategorikan kepada dua iaitu:
Pembedahan caesarean elektif
Pembedahan ini adalah dirancang dan dijadualkan terlebih dahulu sebelum anda mengalami sakit bersalin.
Pembedahan caesarean kecemasan
Pembedahan ini tidak dirancang dan boleh berlaku sekiranya berlaku komplikasi serius terhadap anda dan juga bayi ketika proses kelahiran.
Dalam kebanyakan kes, pembedahan caesarean ini berlaku tanpa dirancang. Sekiranya anda dimaklumkan oleh doktor untuk melakukan pembedahan ini, jangan panik dan segera menyiapkan diri untuk melakukannya kerana pembedahan ini mempunyai tahap keberhasilan yang sangat tinggi. Namun begitu, pembedahan ini sebenarnya tidak boleh dilakukan banyak kali kerana akan meningkatkan risiko anda mempunyai masalah kehamilan kelak.
Apakah risiko melakukan pembedahan caesarean lebih daripada satu kali?
Sekiranya anda melakukan pembedahan ini lebih daripada satu kali untuk melahirkan anak, terdapat beberapa risiko yang mungkin berlaku pada anda. Antaranya:
- Plasenta previa (uri di bawah)
- Plasenta accreta (uri melekat)
- Hysterectomy (pembedahan membuang rahim)
- Risiko-risiko ini akan lebih tinggi bergantung kepada berapa banyak kali anda melakukan pembedahan caesarean. Selain itu juga, akan berlaku banyak masalah keibuan dan kehamilan selepas melakukan pembedahan caesarean seperti kecederaan usus, sista, pendarahan, ketidaksuburan, kebergantungan kepada mesin ventilator dan kemungkinan dimasukkan ke dalam unit kecemasan hospital (ICU) selepas pembedahan dilakukan.
Dalam pada itu lagi, pembedahan caesarean ini sukar untuk dilakukan sekiranya sudah terdapat parut lama akibat pembedahan yang sama. Pembedahan ini sememangnya akan meninggalkan parut. Semakin banyak pembedahan caesarean pernah dilakukan, semakin banyak parut yang ditinggalkan. Ini akan menyebabkan pembedahan seterusnya menjadi sukar dikendalikan.
Berapa kali pembedahan caesarean boleh dilakukan?
Menurut pakar, pembedahan caesarean yang pertama atau kedua kali tidak akan mendatangkan mudarat yang teruk kepada si ibu. Namun begitu, pembedahan caesarean kali ketiga, keempat dan seterusnya akan mengundang pelbagai risiko kesihatan berkenaan keibuan dan kehamilan. Ini menunjukkan bahawa pembedahan caesarean yang dilakukan banyak kali sememangnya akan mengundang bahaya kepada wanita yang melakukannya.
Sebenarnya, tiada jawapan jelas mengenai angka tepat berkenaan berapa kali boleh melakukan pembedahan caesarean. Namun begitu, sudah jelas bahawa pembedahan ini selamat untuk dilakukan buat kali pertama dan kedua. Oleh itu, jika anda berhasrat untuk melahirkan anak melalui prosedur ini buat kali ketiga, keempat dan seterusnya, anda wajar berbincang terlebih dahulu dengan pakar perubatan.
Kelebihan dan kekurangan proses kelahiran normal buat ibu
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – bersalin normal
Kelahiran normal atau melalui faraj, turut boleh mendatangkan beberapa risiko kepada ibu. Antaranya, kulit dan tisu sekitar faraj boleh meregang dan terkoyak ketika janin bergerak untuk melalui saluran kelahiran, iaitu faraj anda. Jika regangan atau koyak adalah agak kronik, anda mungkin memerlukan jahitan atau jika tidak, ia boleh meyebabkan kelemahan atau kecederaan pada otot pelvik yang berfungsi mengawal air kencing dan fungsi ususnya.
Terdapat kajian yang mengatakan, individu wanita yang melahirkan bayi melalui faraj atau proses bersalin normal, cenderung untuk berdepan masalah usus atau inkontenensia kencing berbanding wanita yang melalui proses bersalin C-section. Ini kerana mereka akan cenderung untuk membuang air kencing apabila batuk, bersin atau ketawa. Selain itu, selepas bersalin melalui faraj, mereka juga berkemungkinan akan mengalami kesakitan yang berlarutan pada bahagian perineum, iaitu kawasan antara vagina dan dubur.
Tempoh selepas Bersalin
Selepas melahirkan bayi, anda perlu lebih berhati-hati memandangkan tubuh anda berada pada keadaan paling rapuh semasa tempoh postpartum atau selepas bersalin, terutama jika anda menjalani kelahiran pembedahan C-section. Selain mengalami kesakitan fizikal, emosi anda juga akan melalui beberapa fasa berbeza yang mungkin akan berlangsung beberapa hari atau menghantui anda dalam tempoh yang lama.
Apa itu postpartum?
Semasa minggu pertama selepas anda melahirkan bayi, tubuh anda masih dalam proses penyembuhan dan menyesuaikan diri dengan fasa tidak hamil. Tempoh ini dipanggil postpartum (selepas bersalin), di mana tubuh anda akan melalui pelbagai perubahan sepanjang proses pemulihan badan anda. Antara tempoh 2 hingga 6 minggu selepas kelahiran, doktor anda akan membuat temujanji untuk memeriksa kadar penyembuhan dan kesihatan anda secara keseluruhan.
Apa yang berlaku kepada tubuh anda semasa tempoh selepas bersalin?
Semasa tempoh ini, tubuh anda selalunya akan rasa sakit dan lesu. Anda akan mengambil masa selama 4 hingga 6 minggu untuk kembali pulih dan rasa kembali bertenaga. Walau bagaimanapun, jika anda bersalin secara pembedahan C-section, anda mungkin perlu mengambil tempoh yang lebih lama untuk pulih.
Semasa postpartum, anda mungkin akan mengalami simptom-simptom seperti di bawah pada tubuh anda:
- Bengkak
- Pendarahan faraj
- Kesakitan faraj
- Bengkak payudara
- Kekejangan
- Masalah pundi kencing
- Masalah pergerakan usus
- Rambut menipis
- Kehilangan pigmentasi kulit
- Kemurungan selepas bersalin
Bagaimana untuk anda cepat sembuh, secara fizikal dan juga mental?
Berikut beberapa cadangan untuk membantu anda menangani simptom selepas bersalin:
- Jangan terlalu risau
- Cuba untuk meridap atau tidur semasa bayi anda tidur
- Minta bantuan dan sokongan daripada pasangan melakukan kerja penjagaan bayi dan rumah
- Biarkan ahli keluarga anda menjaga anda, melakukan kerja-kerja rumah dan membawakan anda makanan sehingga anda benar-benar pulih dan boleh melakukannya sendiri
- Minta bantuan ahli keluarga untuk menjaga anak anda yang lain (jika ada)
- Minum banyak air terutama jika anda menyusukan bayi
Bagaimana postpartum boleh menjejaskan emosi anda?
Beberapa minggu terawal selepas kelahiran, anda mungkin rasa teruja dan letih pada masa yang sama. Di samping gembira dengan kehadiran bayi comel anda, anda juga boleh berasa terlalu penat kerana kurang tidur dan juga sedang menyesuaikan diri memikul satu lagi tanggungjawab baharu.
Ramai wanita yang melalui fasa emosi yang dipanggil “baby blues” semasa beberapa hari terawal selepas bersalin. Puncak fasa ini biasanya pada hari keempat dan mereda dalam masa kurang daripada dua minggu. Walau bagaimanapun, jika anda mengalami blues lebih daripada tempoh tersebut, atau anda berasa ingin mencederakan diri sendiri atau bayi, segera berjumpa dengan doktor anda. Anda mungkin mengalami kemurungan selepas bersalin atau meroyan.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pesakit Kanak-kanak Warga China Bebas Jangkitan Coronavirus, Kes Pertama Pulih Di Malaysia

29 Januari yang lalu, seorang kanak-kanak warga China berumur 4 tahun datang bercuti ke Langkawi bersama keluarganya. Dengan penularan wabak virus coronavirus ketika itu, dia juga turut disahkan positif menghidap virus tersebut.
Namun dia kini telah pulih dan disahkan bebas sepenuhnya daripada virus yang telah meragut ramai nyawa. Menurut laporan Berita Harian, Ia adalah kes pertama membabitkan individu disahkan positif coronavirus yang pulih daripada jangkitan itu di Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sampel klinikal terhadap kanak-kanak berusia empat tahun itu yang dirawat di wad isoloasi Hospital Sultanah Maliha, kini didapati negatif daripada 2019-nCoV.
Jelasnya, sampel klinikal diambil sebanyak dua kali berturut-turut sejak kanak-kanak itu dikesan positif coronavirus pada 29 Januari lalu, sebelum disahkan negatif.
Sehubungan itu, katanya, kanak-kanak itu yang kini sihat, sudah dibenarkan pulang.
Boleh dirawat
“Kes ini menunjukkan bahawa jangkitan 2019-nCoV boleh dirawat dan pesakit boleh kembali sembuh sepenuhnya, sebagaimana banyak lagi kes lain yang turut dilaporkan di negara China.
“Tanggapan ramai bahawa penyakit ini pastinya membawa maut kepada mereka yang menghidapnya adalah tidak tepat.
“KKM ingin mengucapkan tahniah kepada Hospital Sultanah Maliha Langkawi yang telah memberikan rawatan dan pemantauan yang rapi sehingga kanak-kanak ini sihat semula dan dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Malaysia masih kekal dengan 10 kes positif coronavirus
Pada 29 Januari lalu, Dr Noor Hisham memaklumkan mengenai kes positif kanak-kanak itu, selain dua lagi individu yang turut dikesan positif pada hari sama.
Setakat jam 6 petang semalam, sebanyak 10 kes didapati positif 2019-nCoV di negara ini, termasuk seorang rakyat Malaysia pertama dijangkiti wabak itu, manakala kes disyaki (PUI) ialah 213.
sumber: Bharian
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI