Masa Anak Sedang Baik Bagi Pujian. Cara Paling Berkesan Elak Bergaduh Atau Berebut

Share

Tiap kali tengok anak main baik-baik, ibu pasti rasa senang hati. Bukan mudah tak nak bagi anak gaduh kan? Ingat jangan biarkan waktu ini berlalu begitu sahaja sebaliknya sentiasa bagi pujian.

Bila anak-anak duduk bersama baik-baik, kongsi mainan biasanya apa respon kita? Kebiasaannya kita pun rasa lega dan biar je anak-anak main macam tu. Dengan harapan biarlah anak tu baik lama-lama, banyak kerja kita boleh buat kan.

Tapi bila anak-anak ‘yang baik’ tadi tu buat satu kesalahan, contohnya berebut mainan ke, lompat-lompat ke, tumpahkan air ke terus dengan pantas kita pun tegur kesalahan anak. Betul tak?

Perkongsian dari seorang ibu, Puan Sakinah Hamid boleh dijadikan panduan bersama.

Saya pun seringkali terbabas dalam mengurus emosi. Dan setiap kali tengok anak main baik-baik, terus saya teringat satu artikel keibubapaan yang pernah saya baca dari blog pendakwah kontemporari iaitu di www.saifulislam.com

Kompilasi tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil adalah beliau berkongsi bagaimana beliau dan isteri bertemu dengan pakar psikologi kanak-kanak untuk merujuk masalah anak suka bergaduh. Antara tip penting yang dikongsi ialah bagaimana kita memberi respon kepada anak apabila ‘anak sedang baik’.

Pakar kanak-kanak itu mengingatkan untuk ibu bapa lebih prihatin dengan anak-anak semasa mereka sedang baik. Contohnya apabila anak duduk main bersama, puji anak-anak kerana berkongsi mainan.

“Bagus Muhammad Fateh main baik-baik dengan Nur Faqihah. Allah suka dengan orang yang kawan baik-baik macam ni”. Agak-agak apa anak rasa ketika itu?

Mesti la seronok kan. Ya, barulah anak tahu apa yang dia buat tu betul. Sehingga mendapat pujian ibu bapanya. Dan ini akan merangsang anak-anak untuk ‘mengekalkan prestasi’ dalam keadaan baik apabila bermain.

Berbanding kita membiarkan mereka bermain sendirian, kemudian bila dah meletup baru mak nak beri perhatian. Anak yang fitrahnya mahukan perhatian akan berfikir, oo..macam ni cara nak dapat perhatian dari mak. Betul tak?

Jom kita ubah cara fikir dan cara uruskan emosi diri dan anak-anak. Semoga perkongsian ringkas ini dapat membantu kita menjadi ibu bapa yang lebih baik dan membentuk anak-anak yang mempunyai akhlak yang mulia.

Sumber: sakinahamid.com

 

Published by
Wan Amy