Apabila bayi menangis, kelam kabut ayah dan ibu mencari puncanya. “Baby lapar rasanya Mama. Bila last Ma menyusu?” tanya si ayah.
“Eh! Tak sampai sejam tadi. Belum sampai waktu menyusu lagi Pa. Basah agaknya.” Balas ibu resah sambil memeriksa lampin bayi.
“Tak penuh pun lampinnya. Angin agaknya perut dia.” Ayah lantas kelam kabut mencari minyak telon untuk disapu di perut bayi yang tangisannya semakin kuat.
Walau disapu dan diusap, tangisan bayi masih belum reda.
Ibu memeriksa suhu badan bayi, “Tak panas pun badannya Pa.
“Kenapa ya Pa?” Ibu semakin resah.
“Cuba kuatkan kipas angin dan bukakan tingkap. Abang rasa bilik ini agak ‘stuffy’. Mungkin sebab itu.” Tanpa berlengah ibu menuruti cadangan ayah. Apa saja sanggup dilakukan untuk menghentikan tangisan bayi dan mendamaikannya.
“Sama saja Pa. Tak berhenti jugak. Kenapa ni Pa? Jom kita bawa ke klinik. Risau saya.” Ibu sudah hampir mati akal. Ibu selalunya cepat tersentuh apabila anak menangis tidak berhenti. Iyalah, bukan senang hendak mengandung dan melahirkan. Jika tidak cepat bertindak, kalau berlaku apa-apa, menangis air mata darah sekalipun tidak akan mengubah apa-apa.
Tiba-tiba
“Eh! Ini semut merah ni. Mana datang semut? Bukankah syarikat kawalan serangga datang sembur baru-baru ini.” Ayah bingkas memeriksa ‘cot’ bayi.
“Ya Allah Ma, tengok ni. Ini bekas digigit semut. Patutlah dia menangis tidak berhenti. Sakit ni Ma. Kesian.” Ayah menunjukkan benjolan kecil pada kulit bayi akibat digigit seekor semut durjana itu.
“Cepat-cepat ambik krim yang Ma beli online tu dan sapukan. Mudah-mudahan melegakan.”
Setelah digosok, dituam, disusukan, dibelai, dibuai, dan didodoi, tangisan bayi pun reda. Bayi terus tertidur dalam dakapan ayah. Lega ayah. Lega ibu.
Begitulah respon kita kepada bayi. Setiap tangisan bayi adalah satu bentuk komunikasi yang harus kita rungkaikan kerana mereka belum boleh berkata-kata. Kita tidak melihat bayi sebagai manusia yang manipulatif, dan cuba menguji. Ibubapa yang peduli dan proaktif akan cuba untuk memahami dan mencari punca bagi mencari solusi masalah yang dihadapi oleh bayi.
Adakah kita mula berubah?
Sikap kita mula berubah apabila anak sudah boleh berjalan dan berkata-kata. Kita tidak lagi dengan sepenuh hati cuba untuk mencari punca. Kita jarang bertanya kenapakah anak saya begini? Kita terus bertanya apa yang harus saya lakukan? Ada yang terus melabel anak nakal, biadap, degil dan diratib tidak berhenti-henti di hadapan anak.
Mungkinkah anak tidak mempunyai skil untuk menghadapi kekecewaan maka dia selalu dilihat meragam dan memberontak apabila kecewa? Jika itu puncanya, bekalkan anak dengan skil untuk menghadapi kekecewaan. Bukannya terus marah apabila dia meragam. Hukuman tidak membina skil tersebut.
Mungkinkah anak tidak tahu cara untuk berinteraksi? Dia tidak mempunyai kosa kata yang positif dan baik untuk digunakan. Yang dia tahu hanyalah perkataan yang kasar dan mencarut untuk meluahkan perasaannya. Anak ini juga tidak mempunyai skil. Bekalkan anak dengan skil komunikasi yang positf, bukannya dengan hukuman yang tidak membantu membina skil tersebut.
Mungkinkah anak tidak berupaya untuk mengungkapkan kesakitan fizikal yang dialaminya maka dia selalu meraung walau disebabkan perkara yang kecil? Ataupun anak mungkin mengasingkan diri dan tidak berkawan disebabkan kesakitannya? Bekalkan anak dengan skil untuk memberitahu dan meluahkan. Kita juga perlu lengkapkan diri kita dengan skil untuk mendengar dan memantau, bukan hanya skil untuk membebel.
Sebagaimana seorang bayi, tingkahlaku dan tindakan seorang anak termasuklah anak remaja, adalah satu bentuk komunikasi.
Tanya diri kita, apa yang cuba anak sampaikan?
Apakah keperluan yang tidak cukup?
Apakah yang terlebih?
Apakah skil yang anak perlukan?
Kemudian sama-sama kita mencari solusi.
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI