Semasa berpantang, ada segelintir ibu bimbang untuk minum air dalam amaun yang banyak. Hal ini berikutan ada pendapat menyatakan faraj berair, urat dan rahim mengembang; perut buncit dan menggeleber; bahagian intim longgar, mengalami kentut faraj serta banyak lagi alasannya.
Daripada sudut perubatan, kekerapan minum air kosong merupakan amalan yang sihat. Jadi, semasa berpantang pun, anda perlu mempraktikkan amalan yang sama. Tidak ada kajian saintifik yang membuktikan bahawa rahim akan mengembang akibat minum air berlebihan.
Untuk makluman anda, air sangat penting bagi membantu proses pemulihan diri selepas bersalin. Ia diperlukan untuk penyerapan nutrisi ke dalam sel badan bagi menyembuhkan luka, penghasilan hormon dalam badan, pengaliran darah, pembuangan sisa dan keseimbangan dalam badan.
Jika anda mahu segera turunkan berat badan semasa hamil, minum air dapat membantu. Anda perlu minum air mencukupi kerana ia adalah agen pembakar lemak yang sangat bagus! Malah, jika anda mahu memastikan proses pengeluaran susu ibu berjalan lancar, maka anda perlu banyak minum air.
Ada juga ibu yang menyatakan bahawa bimbang minum air terlalu banyak kerana bakal kerap membuang air kecil. Ya, memang benar! Namun, jangan bimbang kerana ini langsung tidak memberi kesan kepada luka, tidak kiralah sama ada ia luka akibat bersalin normal atau luka akibat pembedahan caesarean.
Untuk itu, dalam usaha memastikan diri mengambil air yang mencukupi sepanjang berpantang, anda boleh ikuti panduan ini.
Minum air kosong lebih melegakan dan menyegarkan. Malah air yang tanpa kalori, pewarna mahupun perasa ini lebih mudah diserap badan.
Minum sedikit demi sedikit air yang telah anda masukkan ke dalam separuh gelas di setiap 15 minit hingga 30 minit. Jangan minum sekali gus dalam kuantiti yang banyak!
Minum air terlalu banyak dalam satu-satu masa diumpamakan seperti terlebih siram pokok di dalam pasu. Pokok tidak mendapat manfaat pun kerana lebih banyak air yang melimpah keluar daripada pasu tersebut.
Sukat pengambilan air dengan menyediakan satu botol minuman khas yang mempunyai sukatan khas. Mudahlah anda tahu jumlah air yang telah diminum dalam satu hari.
Sebagai contoh, jika perlu minum 4 liter air sehari, sediakan botol minuman bersukatan dua liter. Jadi, anda perlu habiskan air di dalam dua botol berkenaan dalam tempoh 24 jam.