“Saya tidak akan mengalah dan berhenti berharap, selagi terdaya saya akan lakukan apa saja demi melihat Adam sembuh serta membesar seperti kanak-kanak lain,” kata Mohd Nor Hafiz Md Shari, 35.
Anak lelakinya Noah Ulhaq berusia 1 tahun 10 bulan yang mesra dipanggil Adam itu mengalami lima komplikasi kesihatan iaitu sindrom noonan (kelainan genetik), jantung berlubang, angin pasang, tulang kaki bengkok dan jangkitan kuman dalam paru-paru.
Mohd Nor Hafiz berkata, Adam disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak lahir menyebabkan anak keduanya itu perlu bergantung dengan peralatan pernafasan selain kerap dimasukkan ke hospital.
Menurutnya, Adam mendapatkan rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur, selain penjagaan harian di rumah yang menelan kos sehingga RM3,000 sebulan.
“Adam bergantung dengan mesin pernafasan sepanjang hari kerana masalah jantungnya selain minum susu khas yang disarankan doktor. Adam juga diasingkan dalam bilik khas dilengkapi penghawa dingin dan penyegar udara yang perlu dipasang setiap masa bagi mengelak masalah paru-paru serta ekzema.
“Jika tahap kesihatannya baik, Adam dijangka menjalani pembedahan angin pasang pada Isnin depan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Nusa Intan, Senawang, Seremban.
Bekas juruteknik di sebuah syarikat swasta itu berkata, dia memilih untuk berhenti kerja bagi memberi tumpuan menjaga dan merawat Adam.
“Sekarang ini, saya hanya berniaga kecil-kecilan dan mengambil upah membaiki motosikal manakala isteri masih bekerja sebagai kakitangan kerajaan di Shah Alam. Isteri juga terpaksa berulang-alik dua hari sekali kerana tidak sanggup berpisah dengan Adam.
“Saya bersyukur kerana dibantu ibu yang menjaga Adam apabila saya perlu keluar berniaga dan ke bengkel rakan,” katanya.
Katanya, dia kini berusaha mengumpul wang bagi membawa Adam menjalani rawatan pemulihan tulang kaki di Bangkok, Thailand yang menelan perbelanjaan hampir RM20,000.
Menurutnya, apa saja perniagaan dan pekerjaan sampingan dilakukan kerana tidak mahu terlalu mengharapkan bantuan atau sumbangan.
“Saya pernah naik turun pejabat kerajaan dan syarikat swasta untuk mohon bantuan. Saya tebalkan muka demi anak saya itu kerana apa yang penting melihat dia sembuh. Sekarang ini Adam sudah menunjukkan perubahan positif apabila semakin aktif dan mula merangkak,” katanya.
Masa isteri hamil doktor scan semua normal
Sementara itu, Mohd Nor Hafiz menjelaskan semasa isterinya mengandungkan Adam semuanya berjalan lancar dan tiada alahan teruk. Tiada apa-apa kecacatan dikesan ketika melakukan 5 kali scan semasa check up.
“Malah semasa buat detail scan pun, doktor memberitahu bayi yang dikandung juga perempuan. Cuma masa itu kami suami isteri seperti tak teruja untuk membuat persiapan dan hanya membeli beberapa helai sahaja baju baru kerana menganggap masih boleh pakai yang kakaknya.
“Kadang tu terdetik juga rasa tak sedap hati cuma saya positifkan diri dan tak mahu fikir yang bukan-bukan,” katanya.
Kini Adam hanya bergantung dengan susu yang disyorkan doktor dengan harga RM88 setin dan boleh bertahan dua hari (400 gram) kerana tak boleh makan makanan pejal. Susu pun Adam kena minum melalui tiub khas.
Disebabkan masalah genetik ni air liur Adam asyik meleleh, tak boleh menelan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Mohd Nor Hafiz bernombor 7024419087.
Sumber: Harian Metro & Mohd Nor Hafiz