Penjagaan Anak

Masak Dulu Lagi Baik, 13 Jenis Buah Ni Sesuai Untuk Bayi 6 Bulan Makan!

Share

Apa agaknya makanan pejal pertama yang mahu diberikan pada anak? Sudah semestinya bubur kosong yang dikisar halus menjadi pilihan ibu bapa untuk diberikan kepada anak.

Inilah yang disarankan oleh pakar. Namun dalam pada itu, sesekali boleh juga diselang selikan dengan puri buah agar anak makan lebih khasiat. Pun begitu, buah apa yang baik untuk bayi kita. Perlukah ia dimasak terlebih dahulu?

Pilih Sayuran & Buah Untuk Bayi
Kebanyakan pakar pemakanan kanak-kanak akan menyarankan masak makanan pejal seperti sayuran atau buah untuk bayi sehingga mereka berusia 8 bulan. Walau bagaimanapun, buah seperti pisang dan avokado diberikan pengecualian dalam situasi ini.

Tetapi kenapa perlu masak makanan pejal yang akan diberikan kepada bayi?
Ini kerana proses memasak sayuran dan buah-buahan akan memecahkannya dan memudahkan proses pencernaan bagi perut bayi yang belum matang.

Bayi yang berusia 8 bulan ke atas mampu mengendalikan serat dan gula daripada sayuran atau buah yang mentah berbanding bayi yang baru mencuba makanan pejal. Kulit sayuran dan buah untuk bayi perlulah sentiasa dikupas terutamanya jika mereka berusia di bawah 8 bulan.

Mesti anda tertanya-tanya mengapa makanan pejal perlu dimasak terlebih dahulu, bukan? Ini adalah sebabnya:

Mengurangkan risiko tercekik
Kebanyakan sayuran dan buah mentah boleh menyebabkan bayi tersedak dan tercekik. Sudah tentu ia bahaya.

Sebagai contoh lobak merah, dalam keadaan mentah ia sangat keras melainkan bayi anda sudah mempunyai gigi geraham untuk memudahkannya menggigit dan mengunyah. Sebaliknya, lobak yang sudah dimasak, pastinya lebih lembut dan boleh dijadikan finger food kepada si manja.

Pencernaan
Seperti dinyatakan pada awal tadi, sayuran dan buah yang mentah mungkin sukar untuk dicernakan oleh bayi berbanding yang sudah dimasak.

Keadaan ini disebabkan makanan segar dan mentah mengandungi zat dipanggil selulosa. Sistem pencernaan akan mengesan bahan ini sebagai produk buangan – kesannya ia mungkin akan memberikan masalah cirit-birit kepada bayi.

Reaksi Alahan
Ada yang menyarankan jika memasak sayuran dan buah untuk bayi dapat mengubah protein yang terdapat di dalamnya. Proses itu akan membantu mengurangkan kecenderungan untuk berlaku reaksi alahan pada bayi.

Pencemaran
Kebanyakan ibu bapa berasa lebih selamat untuk memberikan bayi makan makanan yang sudah dimasak kerana proses tersebut memusnahkan kebanyakan bakteria pada makanan. Pastinya ia sesuatu yang benar dan perlu dititikberatkan bagi mengelakkan timbulnya isu keracunan makanan pada si manja.

Rasa
Sesetengah sayuran dan buah akan memberikan rasa yang sedikit berbeza setelah dimasak. Buah yang mempunyai rasa agak masam seperti plum atau pic pastinya boleh mendatangkan kejutan kepada bayi anda.

Jenis buah untuk bayi yang boleh diberikan
Hampir kesemua buah yang terdapat di pasaran boleh diberikan kepada si manja jika ibu bapa mengambil berat cara penyediaan yang betul.

Berikut disenaraikan beberapa jenis buah yang paling kerap diberikan kepada si kecil. Namun anda juga boleh mencuba untuk memberikan buah lain yang tidak termasuk dalam senarai di bawah.

Epal
Avokado
Aprikot
Pisang
Mangga
Betik
Pic
Plum
Prun
Labu kuning
Tembikai
Nanas
Kiwi

Manakala senarai buah untuk bayi berikut lebih sesuai diberikan jika usia bayi sudah lebih 8 bulan.

Buah naga
Tomato
Laici
Anggur
Strawberi
Beri biru

 

 

Published by
SRM