Buntu nak masak apa lagi untuk anak. Asyik sup pun mungkin anak dah jemu. Nak bagi lauk yang masak menggunakan rempah takut anak tak boleh makan sebab pedas.
Bagi ibu yang dalam dilema, anda sebenarnya boleh cuba kaedah ini. Buat sendiri kiub perencah untuk masak gulai untuk anak berumur 1 tahun ke atas. Mungkin boleh luangkan waktu hujung minggu untuk menyediakannya dan tak perlu lagi nak berkejar masa semasa hari kerja.
Cara ibu ini buat untuk anak berselera makan dengan kaedah ini boleh dicuba. Menurut Puan Yatie Eimra, sejak dia buat kaedah ini anaknya dah mula makan banyak walaupun sebelum ini agak memilih makan. Ikuti perkongsiannya
Sebelum ni ada mak yang pernah tanya, macam mana saya masak 2-3 menu untuk anak yang cerewet makan ni.. Lagi-lagi kalau anak hari-hari susah nak makan. Maklum lah, nak masak menu famili lagi nanti, nak buat kerja rumah lagi.. Tu belum lagi buat menu kudapan kalau anak tak nak makan.
Jujurnya, saya ni bukan jenis duduk dapur lama-lama sebab banyak kerja rumah nak diuruskan. Saya lak suka buat DIY untuk aktiviti anak kat rumah. Kang mana masa nak buat aktiviti dengan anak lagi kalau asyik ulang-alik masak menu anak jer.
Selalunya saya dah prep sesiap bahan mentah ni. Ayam dan ikan misalnya, untuk masak menu anak ni saya dah potong untuk sekali masak je dan simpan dalam bekas berasingan. Saya gak suka frozenkan kiub perencah homemade. Kiub perencah frozen ni sebenarnya sangat memudahkan kerja-kerja memasak untuk anak yang cerewet makan macam Fydh ni.
Untuk buat kiub perencah frozen ni senang jer..
Bawang besar – dikisar
Bawang putih – dikisar
Halia – dikisar
Rempah 4 (kayu manis, buah pelaga, bunga lawang & cengkih)
1 paket kecil serbuk perencah kurma/kari
Daun kari (optional untuk kiub kari je)
Sedikit air
1. Tumis bahan dikisar & rempah sampai garing.
2. Masukkan serbuk perencah & sedikit air (masukkan juga daun kari jika suka).
3. Tumis hingga pecah minyak. Sejukkan & simpan dalam ice tray sebelum dibekukan.
*Pastikan bahan-bahan ditumis hingga betul-betul pecah minyak supaya rempahnya masak sebab bila nak guna nanti hanya perlu renih je.
*bagi anak 1thn++ yang nak belajar makan kari, rempah kari daging/ikan tokma ni memang sesuai sebab rempahnya tak pedas.
Sumber: Yatie Eimra