Saiz dan bentuk puting payudara berbeza mengikut individu. Ibu yang memiliki puting tenggelam sering menghadapi masalah kerana kesukaran bayi untuk melekap pada payudara. Kaunselor laktasi Noor Fazilah Abdul Rahman memberikan informasi mengenai tajuk ini.

Puting tenggelam ialah masalah yang lazimnya berlaku kepada ibu menyusu kerana bentuk puting berbeza bagi setiap wanita. Tiada saiz standard khas puting bagi penyusuan kerana setiap wanita berbeza fizikalnya.

Menurut Noor Fazilah, puting tenggelam atau rata tidak menimbulkan masalah kerana bayi melekap bukan sahaja kepada puting tetapi mencakupi bahagian aerola. Ibu jangan putus asa kerana penyusuan masih boleh diteruskan dengan teknik tertentu.

Periksa payudara

Pertama, ibu perlu memeriksa puting sama ada ia tenggelam atau rata dengan mencubit (pinch). Ampu payudara sehingga jari telunjuk dan ibu jari menghala ke aerola. Tekan dengan lembut kira-kira satu inci dari puting. Jika puting timbul maksudnya puting tersebut bukan dalam kategori tidak tenggelam. Jika tidak timbul atau terkeluar, ia bermakna puting tadi adalah tenggelam atau rata.

Jenis puting

  1. Melekuk

Bahagian puting lekuk ke dalam tetapi boleh ditarik keluar tetapi akan tenggelam semula selepas itu.

  1. Tenggelam

Puting hanya terkeluar sedikit sahaja selepas diuji. Bayi dengan daya hisapan normal boleh menyusu tanpa masalah. Cuma bagi bayi pramatang atau yang lemah hisapan akan mengalami masalah pelekapan.

  1. Rata

Bagi ibu yang memiliki puting rata akan menghadapi masalah untuk melekap. Gunakan teknik pelekapan dalam di mana bayi perlu duduk dalam posisi tertentu ketika menyusu. Rawatan dan rangsangan kepada puting semasa hamil juga boleh membantu.

6 cara bantu puting tenggelam

  • Gunakan breast shell untuk menggalakkan puting keluar. Tekanan pada bahagian sekeliling akan mengeluarkan puting yang terkeluar secara semula jadi. Boleh mula dipakai sejak hamil atau setengah jam sebelum menyusukan bayi.
  • Teknik Hoffman

Letakkan dua ibu jari pada pangkal puting dan tekan lembut ke payudara dan tariknya keluar, teknik ini akan meregangkan puting yang tenggelam. Lakukan dua kali sehari

  • Perah

Gunakan pam payudara untuk ‘menyedut’ keluar puting sebelum menyusukan bayi bagi memudahkan bayi melekap semasa menyusu.

  • Stimulasi puting

Rangsang puting dengan menggentelnya dengan jari dan telunjuk selama satu hingga dua minit. Selepas itu, demah kan dengan kain lembap yang bersih.

  • Tolakan

Tolak payudara dengan ibu jari semasa tangan mengampu payudara semasa bayi mula melekap. Ini boleh menggalakkan puting yang tenggelam ‘terkeluar’

  • Nipple shield

Ia adalah silikon yang nipis berbentuk seperti hadapan payudara. Ia mempunyai lubang yang membenarkan susu keluar untuk bayi.

Posisi membantu penyusuan secara terus

Posisi penyusuan tertentu membantu bayi dapat menyusu secara terus daripada ibu;

  1. Pastikan bayi membuka mulut dengan luas sebelum memasukkan puting agar gusinya mencakupi bahagian aerola secara maksimum.
  2. Bereksperimen dengan beberapa posisi sehingga anda mendapat posisi yang selesa. Posisi football hold atau cross-cradle hold membantu kebanyakan ibu yang tenggelam puting.
  3. Menyusu awal sebelum bayi menangis dan tingkatkan kekerapan setiap dua hingga tiga jam. Ibu yang mempunyai puting tenggelam perlu elak bengkak payudara kerana ia menyukarkan penyusuan. Semakin lembut payudara maka semakin mudah puting ‘dikeluarkan’.
  4. Usahakan pelekapan yang dalam dengan memangku bayi dekat agar telinga, lengan dan pinggulnya lurus. Geletek mulutnya untuk terbuka besar (seperti menguap) dan pelekapan perlulah mencakupi Hidungnya juga perlu menyentuh pada payudara sebagai tanda pelekapan yang dalam.
  5. Jika bayi meragam dan menangis kerana puting tenggelam, hiburkan dengan pelukan dan nyanyian. Pastikan dia tenang sebelum mencuba semula.

Ibu perlulah cekal dan tidak berputus asa. Usaha dan ketabahan dalam memberikan titisan susu ibu kepada anak adalah jihad dan akan diberikan ganjaran dengan izin Allah. Dapatkan bantuan daripada kaunselor atau pakar laktasi sekiranya usaha anda menemui jalan buntu.

Tinggalkan Komen