Masalah tidur bila kehamilan makin sarat kerap dialami ibu-ibu hamil. 6 tips ini boleh membantu mengelakkan ibu menjadi “burung hantu” berjaga malam kerana sukar melelapkan mata.

Bila perut makin sarat, ibu-ibu selalunya akan menghadapi masalah untuk tidur di waktu malam.

PERUBAHAN HORMON MEMPENGARUHI KUALITI TIDUR

Keadaan di mana seseorang tidak dapat  tidur lena ini ialah dipanggil insomnia. Insomnia adalah persepsi tidur yang tidak cukup atau tidak berkualiti. Perubahan hormon dan ketidakselesaan fizikal semasa hamil boleh memberi kesan kepada kualiti tidur ibu hamil.

Tidak dinafikan ramai juga ibu hamil yang berasa sukar untuk tidur kerana mereka tidak selesa, kerap ke tandas, mengalami kekejangan kaki, dan ada yang berasa teruja dan  bimbang memikirkan kelahiran bayi nanti.

Memandangkan ibu hamil akan berdepan dengan pelbagai perubahan pada kesihatan fizikal mereka dan emosi, maka insomnia mungkin boleh terjadi kepada kebanyakan wanita semasa hamil. Hal ini adalah disebabkan oleh banyak sebab, namun terdapat beberapa cara untuk mengelakkan masalah ini daripada terjadi.

#1: TANGANI KEBIMBANGAN DAN DAPATKAN REHAT

Bimbang tentang bayi dalam kandungan boleh menyebabkan anda tidak boleh tidur. Jadi, berbincanglah dengan pasangan, rakan, keluarga ataupun ahli terapi untuk mendapatkan idea bagaimana menangani kebimbangan anda.

Selain itu, anda juga boleh cuba beberapa teknik relaksasi seperti regangan, yoga, urutan, pernafasan dalam dan mandian panas sebelum masuk tidur, yang mana boleh membantu anda menenangkan minda dan merehatkan otot.

#2: KURANGKAN TIDUR PADA WAKTU SIANG

Tidur pada siang hari, terutama semasa trimester pertama, adalah digalakkan untuk wanita hamil. Akan tetapi, ia adakalanya membuatkan anda lebih sukar untuk tidur pada waktu malam kerana anda sudah cukup rehat pada waktu siang.

#3: DAPATKAN POSISI PALING SELESA

Anda boleh mencuba posisi tidur yang baru untuk mencari cara yang lebih selesa untuk anda tidur. Bantal tidur boleh digunakan untuk menyokong keselesaan anda semasa trimester ketiga. Terdapat pelbagai cara untuk menggunakan bantal seperti meletakkannya di bawah kepala ataupun lengan anda, mengepit bantal antara dua lutut ataupun menyelitkan sedikit di bahagian belakang badan anda. Carilah posisi yang mana anda selesa.

#4: CIPTA SUASANA TIDUR

Pastikan bilik anda menyediakan suhu dan nyalaan lampu yang selesa untuk anda tidur. Nyalaan biru yang datang dari telefon bimbit, tablet, ataupun jam digital di sebelah meja tidur anda mungkin boleh mengganggu waktu tidur anda. Sebelum tidur, pastikan anda menutup suis televisyen, komputer, dan semua sumber nyalaan biru.

#5: RANCANG PEMAKANAN ANDA DENGAN BIJAK

Minum segelas susu suam boleh membantu memberikan anda mood tidur. Makanan yang tinggi karbohidrat, seperti roti ataupun biskut, juga boleh membantu anda ingin tidur.

Sebagai tambahan, snek yang tinggi protein juga boleh memastikan tahap gula darah meningkat dan boleh mencegah mimpi buruk, sakit kepala, dan rasa panas. Namun, anda perlu selesai makan sekurang-kurangnya satu jam sebelum waktu tidur anda.Selain itu, elakkan juga makan makanan berat pada lewat malam.

#6: BERSENAM SETIAP HARI

Senaman harian semasa hamil menggalakkan kesihatan fizikal dan mental. Senaman juga boleh membantu anda tidur lebih lena. Walau bagaimanapun, senaman yang keterlaluan dalam masa empat jam sebelum tidur adalah perlu dielakkan ibu hamil.

Sumber: Hello Doktor

Tinggalkan Komen