Masih Pakai Lampin Tapi Mampu Hafal 30 Juzuk Al-Quran, Anak Autisme Buat Ramai Kagum

Share

Dilahirkan dengan autisme ringan membuatkan Muhammad Ammar Qayyim yang berusia 11 tahun masih berperangai keanak-anakan seperti kanak-kanak tadika.

Tidak seperti rakan sebayanya, kanak-kanak yang mesra dipanggil Ammar Qayyim itu masih memakai lampin pakai buang untuk membuang air besar dan menyusu botol ketika tidur malam.

Malah, apabila berborak dengannya dapat dikesan pemikiran dan tutur katanya juga tidak seperti rakan sebaya sebaliknya berperwatakan kanak-kanak berusia lima atau enam tahun.

Namun, apa yang membanggakan anak bongsu daripada dua beradik ini memiliki kelebihan istimewa apabila mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran seawal usia lapan tahun.

Masih Berbotol Susu & Tak Mampu Uruskan Diri

Menurut ibunya, Saadiah Saad, 50, meskipun berusia 11 tahun anaknya masih tidak mampu menguruskan diri sendiri termasuk masih berbotol susu.

“Kalau perasan tingkah lakunya tidak sama macam umurnya. Sepatutnya umur 11 tahun rancak bercerita dan bercakap, tetapi dia macam kanak-kanak sekolah tadika.

“Dia masih tidak boleh uruskan diri, segalanya masih perlukan bantuan, contohnya kita masih kena arahkan ambil buku, ambil beg itu ini.

“Sampai sekarang pun, balik sekolah dan waktu malam hendak tidur dia mahu menyusu botol,”

Pakar Sahkan Anak Mereka Lewat Empat Tahun Dari Usia Sebenar

Katanya, dia dan suaminya, Nazeri Arshad, 47, menghantar anak mereka bertemu pakar sebelum disahkan perkembangan kanak-kanak itu lewat empat tahun dari usia sebenar.

“Dari segi fizikalnya dia nampak normal, tetapi pada umurnya 11 tahun dia berperangai macam kanak-kanak empat tahun ke belakang termasuk komunikasinya kurang, kosa kata tidak banyak selain tidak boleh proses atau memahami apa orang tanya.

“Pada peringkat permulaan doktor tidak boleh diagnosis masalahnya melainkan menganggap masalah dialaminya sebagai perkembangan lewat, tetapi makin meningkat umurnya barulah doktor sahkan dia ada autisme ringan.

“Secara peribadi, pada mulanya sukar untuk saya terima, ibu bapa mana yang tidak terasa apatah lagi ini kali pertama terjadi dalam keluarga kami, tetapi hidup perlu diteruskan.

SAADIAH dan Nazeri tidak pernah berputus asa dalam membesarkan Ammar.

“Kami positif mungkin Allah sudah pilih ada anak syurga macam ini. Saya selalu berdoa bila al-Quran sentiasa berdamping dengannya, semoga Allah sentiasa menjaga dirinya,” katanya.

Kelebihanya Mula Dikesan

Sementara itu, Nazeri berkata, kelebihan Ammar Qayyim menghafaz mula dikesan selepas pakar sebuah pusat rehabilitasi mengesan kecenderungan dan mengesyorkan belajar di Akademi Darul Huffaz (ADH) International Tahfiz & Science Academy Malaysia.

“Seminggu dia belajar di ADH, ramai ustaz kagum dengannya kerana boleh menghafaz al-Quran pada usia baru mencecah tujuh tahun ketika itu.

“Mereka menguji hafazannya, Ammar Qayyim mampu sambung ayat seterusnya dan boleh meneka surah apa dan ayat ke berapa dengan tepat,” katanya.

Ibu Bapa Yang Ada Anak Istimewa, Jangan Cepat Putus Asa

Katanya, ibu bapa yang memiliki anak istimewa jangan cepat putus asa sebaliknya kenali dan sokonglah kecenderungan anak hingga berjaya.

“Memang ada perancangan untuknya melanjutkan pelajaran dalam bidang tafsir dan ilmu hadis di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) yang ada menawarkan bidang pengajian untuk pelajar tahfiz tahap syahadah.

“Ada pelbagai cadangan daripada ustaznya termasuk hantar ke Bangladesh, Pakistan, Indonesia dan Arab Saudi, tetapi sebagai ibu bapa kami belum sampai sejauh itu kerana tahu kemampuan anak kami lebih-lebih lagi belum pandai berdikari,” katanya.

‘Ammar Qayyim pelajar yang hebat’

Kelebihanya Anugerah Luar Biasa Dari Allah

Kelebihan dimiliki Muhammad Ammar Qayyim, 11, anugerah luar biasa kurniaan Allah, namun faktor kejayaan kanak-kanak istimewa itu mampu menghafaz 30 juzuk didorong oleh kesabaran dan komitmen tinggi keluarganya.

Pengasas Akademi Darul Huffaz (ADH) International Tahfiz & Science Academy Malaysia Sheikh Lokman Shazly Azlanii Zaharin berkata, Ammar Qayyim muncul huffaz termuda pernah dilahirkan ADH sejak penubuhannya pada 2007 kerana melepasi ujian peringkat tertinggi tahfiz, syahadah tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya mengesan kelebihan Ammar Qayyim ketika kanak-kanak itu berusia lapan tahun sebelum meminta guru sekolah terbabit membimbingnya dengan betul.

“Apabila mengetahui kelebihannya itu, saya minta gurunya membimbingnya, malah semua guru tahfiz diberikan tugasan menyemak keseluruhan 30 juzuk hafazannya berjumlah 6,236 ayat daripada 604 muka surat dengan teliti.

“Alhamdulillah, walaupun perangainya masih kebudak-budakan, anak ini berjaya buktikan kemampuannya membaca dari juzuk satu hingga 30 selama enam hari dengan kesalahan 14 saja pada ujian program syahadah yang kita lakukan tahun lalu.

“Untuk makluman, kita sasarkan seseorang boleh ke program syahadah paling kurang 15 kesalahan saja, maknanya Ammar Qayyim hebat kerana sudah melepasi tahap itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro di ADH Taman Putra Kajang di sini.

Menurutnya, faktor terbesar kejayaan Ammar Qayyim kerana dorongan dan sokongan keluarganya selain berkat istiqamah tenaga pengajar ADH.

Faktor Kejayaan Ammar Adalah Usaha Ibu Bapanya

“Antara faktor penting dalam kejayaan Ammar Qayyim ini adalah usaha, saya tengok usaha ini dilakukan ibu bapanya sangat hebat termasuk komitmen mereka.

“Saya tahu, mungkin kanak-kanak autisme seperti Ammar Qayyim ada kerenahnya termasuk sukar ke sekolah, tetapi ibu bapanya mempunyai kesabaran tinggi menghantar anak mereka menuntut ilmu.

“Ternyata Allah tidak sia-siakan pengorbanan mereka itu dengan terhasilnya sesuatu sangat hebat ini yang bagi saya juga satu kebanggaan kami di ADH,” katanya.

Sementara itu, guru penyelaras akademik sekolah rendah ADH, Nor Atiqah Abd Aziz berkata, mereka tidak mengukur pencapaian akademik Ammar Qayyim dengan pelajar lain.

“Kita tidak boleh bandingkan pencapaian akademik Ammar Qayyim dengan pelajar sebayanya kerana dia istimewa, namun tahun demi tahun memang ada kemajuan.

“Dia boleh membaca, menulis bahasa Melayu, Inggeris dan Arab dan Jawi cuma dia tidak boleh proses apa yang dibaca kena penjelasan lanjut dari guru.

“Dulu, dia tidak boleh membezakan kelas akademik dan tahfiz, tetapi kini dia sudah boleh bezakan keduanya.

“Paling penting, kemahiran sosial dan komunikasi bersama rakan dan guru semakin bertambah baik malah dia kini tidak lagi makan bersuap seperti saat pertama memasuki sekolah ini dulu,” katanya.

Rata-rata netizen berbangga dan kagum dengan ibu bapa dan anak ini.

Sumber: Hmetro

Published by
NuFa