Terbaru, pelakon dan usahawan Yana Samsudin memaklumkan dirinya sedang hamil enam bulan. Berkongsi berita itu kepada umum ketika majlis pelancaran produk minuman susu oat jenamanya iaitu Bagoos yang berlangsung di KLCC.
Menurutnya tiada niat untuk menyembunyikan kehamilan cahaya mata ketiganya itu, sebaliknya lebih selesa untuk tidak menghebohkan kepada umum.
Berbeza dengan kehamilannya sebelum ini untuk anak yang pertama dan kedua, suami berkongsi berita gembira tersebut. Namun untuk anak yang ketiga ini Yana akan maklumkan bahawa dirinya tengah hamil jika ada yang bertanya dan lihat perubahan fizikal saya.
“Memang cara saya daripada anak pertama dan kedua bila usia dah tujuh lapan bulan baru hebohkan pada orang ramai. Sebabnya saya kan ada PCOS (sindrom ovari polisistik) yang saya tak tahu tarikh subur. Saya pula dah tiga kali keguguran.
“Bagi saya, kalau masih awal hamil itu kalau tak cakap pun tidak apa lagi kot. Tiada niat pun tak nak beritahu, siapa nampak saya tidak menidakkan. Alhamdulillah dah enam bulan, insya-Allah hujung bulan Januari atau awal Februari tahun depan saya bersalin,” jelasnya.
Dalam masa sama, Yana turut berkongsi pengalaman dengan mendedahkan dirinya mengalami alahan yang teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital beberapa kali untuk kandungan kali ini.
“Saya alami alahan yang sangat teruk. Siang malam rasa susah nak bangun. Baring je selalu, nak makan pun tak lalu sangat. Sampai banyak kali juga masuk keluar hospital.
“Masuk air dalam badan banyak kali, masukkan vitamin juga. Sampai dah masuk kandungan lima bulan baru okay sikit. Dah la masa lima bulan tu saya diuji juga dengan Influenza A,” kongsinya lagi yang akan melahirkan zuriat ketiganya itu dengan kaedah pembedahan.