Masuk Usia 2 Tahun Anak Tunjuk Bakat Menconteng. Bukan Hanya Dinding, Sofa, Peti Ais Pun Diconteng!

Share

Ibu, anda pasti pernah alami situasi anak conteng dinding di rumah walaupun dilarang berulang kali, kan? Itu semuanya ada kaitan dengan proses perkembangan mereka.

Mari ikuti penjelasan ini.

Mengapa anak gemar conteng dinding?

Tabiat conteng dinding adalah disebabkan koordinasi motor anak yang masih dalam proses perkembangan.

Ini sekali gus menyebabkan mereka tidak selesa untuk melukis pada sehelai kertas sambil duduk di atas meja.

Namun, pastinya perlakuan mereka menconteng pada dinding menimbulkan kemarahan anda sebagai ibu bapa, kan?

Ya, tidak salah memarahi anak untuk mengajar mereka.

Walau bagaimanapun, jika kita lebih memfokuskan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik, pastinya anak akan dapat memahami apa yang cuma anda sampaikan.

Dalam perkongsian artikel ini, anda akan memahami mengapa anak suka conteng dinding dan cara terbaik untuk mengatasi tabiat tersebut.

Proses perkembangan kreativiti

Apabila anak semakin membesar, mereka akan mengembangkan minat yang tinggi terhadap seni dan kreativiti.

Dalam masa yang sama, wujud rasa ingin tahu dalam diri anak.

Ini sekali gus mendorong mereka berusaha untuk mengekspresikan diri dan berkomunikasi dengan individu lain dengan cara yang berbeza.

Seiring dengan proses perkembangan kawalan motor, anak juga akan mempunyai keinginan untuk menunjukkan kemampuan dalam menggerakkan jari dan tangan secara terkoordinasi.

Hasilnya, mereka melihat dinding (dan mungkin juga perabut) sebagai tempat sesuai untuk mempamerkan kreativiti dan kawalan motor yang baik.

Jadi, usah pelik jika anda terlihat anak conteng dinding dengan pelbagai bentuk atau imej.

Conteng dinding untuk perhatian

Seperti seorang individu dewasa, anak kecil juga sensitif terhadap reaksi mereka yang berada di sekelilingnya.

Sekiranya anak menyedari bahawa anda akan bertindak secara dramatik terhadap hasil ‘lukisan’ pada dinding, mereka mungkin melakukannya secara berkala untuk mendapatkan lebih banyak perhatian dan reaksi daripada ibu bapanya.

Jadi tanpa anda sedar, tindak balas anda mungkin menjadi salah satu sebab utama mengapa anak suka conteng dinding walaupun telah dimarahi berulang kali.

Fasa pertumbuhan normal

Mencecah usia 2 tahun, si manja akan mula melalui fasa artistik yang dicirikan dengan melukis di dinding.

Semasa fasa ini, dinding menjadi pilihan kanvas yang sesuai kerana anak dapat menyokong tangan dan hujung mata krayon (atau sebarang alat tulis) dengan mudah, ketika melukis.

Sebagai ibu bapa yang memahami proses perkembangan ini, pasti hasil conteng dinding tersebut dapat membuat anda berasa teruja melihat usaha si manja dalam menjadi ‘seniman’.

5 tip elak anak menconteng pada dinding

Walau bagaimanapun, pastinya agak memenatkan untuk perlu mengecat semula dinding secara berkala untuk menutup hasil contengan tersebut, kan?

Jadi berikut beberapa tip untuk anda cuba:

1. Lembaran dinding seperti papan hitam

Lembaran dinding ini boleh dibeli dalam pelbagai saiz di kedai alatan persekolahan. Malah, untuk ibu bapa yang sibuk, ia juga boleh didapati dalam talian.

Ia adalah permukaan licin dengan fungsi seperti papan hitam. Sebarang alat tulis, terutamanya pen marker amat mudah digunakan pada lembaran ini.

Lembaran dinding ini boleh ditampal pada sebarang permukaan rata. Sudah tentu ia merupakan pilihan ideal untuk mencegah anak daripada conteng dinding.

2. Papan hitam

Papan hitam merupakan antara pilihan biasa yang sering digunakan bagi mengatasi masalah anak yang suka melukis di dinding.

Walau bagaimanapun, jika anak mempunyai alahan atau menhidap asma, papan hitam pilihan yang perlu dielakkan.

Ini kerana debu yang dihasilkan oleh kapur boleh membahayakan kesihatan mereka.

Tetapi, sekiranya si manja tidak mengalami sebarang masalah kesihatan, penggunaan papan hitam sangat sesuai.

Ia juga boleh digunakan semula secara berterusan tanpa memerlukan penyelenggaraan yang banyak.

3. Cat atau krayon yang mudah dibersihkan

Terdapat pilihan cat yang mudah dibersihkan tanpa meninggalkan kesan. Jadi pastinya anda boleh memadamkan segala hasil contengan anak pada dinding.

Selain itu, anda juga boleh memberikan anak krayon khas yang boleh dibersihkan dengan mudah menggunakan kain kering atau separa basah.

Ya, cara ini tidak mencegah anak daripada conteng dinding. Pun begitu, ia merupakan langkah penyelesaian mudah tanpa perlu mengecat dinding semula.

4. Kreativiti dan tanggungjawab

Ada sesetengah anak, walaupun telah diberikan ruang khas untuk melukis, tetap memilih untuk menconteng pada dinding.

Usah terus memarahi mereka.

Sebaliknya, apa kata anda berikan tanggungjawab kepada anak untuk membersihkan segala hasil contengan dinding.

Ini merupakan antara langkah terbaik untuk memupuk rasa tanggungjawab pada diri anak.

5. Kertas besar

Pilihan lain yang boleh mencegah anak daripada conteng dinding adalah dengan melekatkan kertas putih bersaiz besar pada dinding menggunakan pita pelekat.

Ia memberikan anak ruang khas untuk menconteng dan boleh terus ditanggalkan apabila sudah dipenuhi dengan hasil lukisan.

Kesimpulan

Seiring peredaran masa, proses perkembangan anak akan berlaku meliputi kemahiran motor mereka.

Jadi, untuk mengelakkan anak conteng dinding, sediakan ruang khas untuk mereka mengekspresikan kreativiti tersebut.

Krayon, kapur serta pensil warna adalah pilihan terbaik untuk digunakan anak.

Kredit: Hello Doktor

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
NuFa