Mata Bayi Asyik Meliar? Ini Cara Mak Ayah Nak Tahu Perkembangan Penglihatan Si Manja

Share

Dalam tahun pertama kehidupan, penglihatan bayi berkembang dengan cepat. Namun perkembangan bayi ini berbeza daripada apa yang dilihat oleh ibu bapa.

Baca: Sweetnya Ustaz, Puisi Cinta Ustaz Don Daniyal Sempena Hari Lahir Isteri, Warganet Puji Romantik

Mata Bayi Asyik Meliar? Ini Cara Mak Ayah Nak Tahu Perkembangan Penglihatan Si Manja

Perkembangan penglihatan bayi

Semasa dilahirkan, bayi tidak dapat melihat seperti kanak-kanak atau individu dewasa yang lebih tua.

Keadaan ini disebabkan mata dan sistem visual mereka tidak berkembang sepenuhnya lagi.

Pun begitu, terdapat peningkatan yang ketara berlaku dalam beberapa bulan pertama kehidupan melibatkan perkembangan bayi.

Berikut adalah antara beberapa perkara yang perlu diperhatikan dalam aspek tumbesaran penglihatan bayi.

Seperkara penting perlu ibu bapa ingat adalah setiap anak mempunyai proses tumbesaran berbeza.

Perkembangan bayi: 0 hingga 4 bulan

Selepas dilahirkan, penglihatan bayi dipenuhi dengan pelbagai rangsangan visual.

Secara kasarnya anda melihat bayi seakan menyasarkan fokus pandangannya kepada satu arah.

Tetapi hakikatnya mereka belum mengembangkan kemampuan untuk membezakan antara 2 sasaran atau mengalihkan pandangan di antara 2 imej gambar.

Umumnya, fokus utama mereka adalah pada objek pada jarak 8 hingga 10 inci daripada wajah mereka atau jarak ke wajah ibu bapa.

Pada bulan-bulan pertama kehidupan, mata mula bekerjasama dan penglihatan bayi akan bertambah baik.

Koordinasi mata mula berkembang ketika si manja mula mengesan objek yang bergerak.

Menjelang minggu ke-8 selepas dilahirkan, bayi akan lebih mudah memusatkan fokus mereka pada wajah ibu bapa atau individu lain yang berdekatan dengannya.

Bagi 2 bulan pertama perkembangan bayi, mata mereka tidak terkoordinasi dengan baik dan mungkin tampak meliar pandangannya.

Tiada apa yang perlu ibu bapa bimbangkan, ia perkara normal.

Namun, andainya pandangan meliar itu berterusan, pemeriksaan perlu dilakukan.

Pada sekitar usia 3 bulan, mata bayi sudah boleh mula untuk mengikuti pergerakan objek dan mencari barang.

Perkembangan bayi: 5 hingga 8 bulan

Dalam tempoh ini, kawalan pergerakan mata dan kemahiran koordinasi mata-tubuh terus bertambah baik.

Persepsi kedalaman – kemampuan untuk menilai apakah objek berada dekat atau jauh – tidak wujud semasa bayi dilahirkan.

Ia hanya berlaku dalam perkembangan penglihatan bayi pada sekitar bulan ke-5 kehidupan si manja apabila mata mampu bekerjasama untuk membentuk pandangan 3 dimensi dunia.

Penglihatan warna bayi tidak begitu sensitif seperti individu dewasa.

Pun begitu, dipercayai bahawa bayi mempunyai penglihatan warna yang baik pada usia 5 bulan.

Kebanyakan bayi akan mula merangkak apabila usia mereka mencecah sekitar 8 bulan.

Proses merangkak ini akan membantu mengembangkan koordinasi mata-tangan-kaki-tubuh.

Namun, jika si manja kurang merangkak, mereka dikatakan tidak dapat belajar menggunakan mata mereka seperti bayi yang banyak merangkak.

Jadi  ibu ayah perlu menggalakkan anak untuk banyak merangkak, okay?

Perkembangan bayi: 9 hingga 12 bulan

Apabila bayi berusia 9 bulan, mereka akan mula menarik diri untuk berubah kepada posisi berdiri.

Mencapai usia 10 bulan, bayi biasanya sudah mampu untuk mencengkam objek menggunakan ibu jari dan jari telunjuk.

Si manja sudah mencecah usia 12 bulan? Kebanyakan bayi pada usia ini sudah mahir merangkak dan mula untuk berjalan.

Sebagai ibu bapa, anda tidak digalakkan untuk melangkau proses merangkak bayi.

Ini kerana ia penting untuk membantu si manja mengembangkan koordinasi mata-tangan yang lebih baik.

Dalam aspek perkembangan penglihatan bayi pula, mereka kini sudah dapat menilai jarak sesuatu objek dengan cukup baik dan berupaya membaling barang secara tepat.

Perkembangan bayi: 1 hingga 2 tahun

Menjengah usia 2 tahun, koordinasi mata-tangan dan persepsi kedalaman mata anak harus berkembang dengan baik.

Si manja pada usia ini sangat berminat untuk meneroka persekitaran, melihat dan mendengar.

Mereka umumnya sudah mampu mengenali objek yang biasa dilihat serta gambar di dalam buku.

Anak anda juga mempunyai kemahiran untuk menconteng menggunakan krayon atau pensil warna.

Mengenali tanda masalah pada penglihatan bayi

Kewujudan masalah mata dan penglihatan kepada bayi jarang berlaku.

Kebanyakan bayi dapat memulakan kehidupan dengan mata sihat dan mula mengembangkan kemampuan visual yang diperlukan sepanjang hidup tanpa sebarang masalah.

Namun, dalam sesetengah kes, bayi mungkin berisiko untuk mengalami masalah mata dan penglihatan.

Berikut antara tanda yang perlu dikenal pasti oleh ibu bapa sebagai petunjuk kepada masalah mata dan penglihatan bayi:

  • Tangisan berlebihan mungkin petunjuk kepada saluran air mata tersumbat
  • Kelopak mata berwarna merah atau tertutup boleh menjadi tanda jangkitan mata
  • Pergerakan mata yang berterusan mungkin isyarat kepada masalah pada kawalan otot mata
  • Kepekaan terlalu tinggi terhadap cahaya mungkin menunjukkan peningkatan tekanan pada mata
  • Kemunculan lapisan putih pada anak mata mungkin petanda masalah barah mata

Kewujudan mana-mana gejala di atas perlu diberikan perhatian serta pemeriksaan segera oleh pakar optometri.

Pantau perkembangan bayi

Sebagai salah satu daripada 5 deria, penglihatan bayi penting dalam membantu mereka menavigasi dan mengetahui lebih banyak mengenai dunia baharu mereka.

Jangan lupa untuk melakukan rutin pemeriksaan mata anak bagi memastikan tahap kesihatan penglihatan adalah terbaik.

Baca: 20 Minit Cukup Jadikan Anak Bijak! Formulanya, Jangan Layan Telefon Bimbit Masa Layan Anak

Kredit: Hello Doktor

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
NuFa