Melahirkan Tiba-Tiba Tanpa Dijangka Atau Secara Kecemasan , Apa Mama & Orang Sekeliling Perlu Buat. Ikuti Panduan Daripada Doktor O&G Ini

Share

Kelahiran boleh berlaku di mana-mana, malah beberapa hari awal daripada Tarikh jangkaan. Ada ibu yang terpaksa bersalin di rumah atau di dalam kenderaan kerana tidak sempat untuk ke hospital.  Situasi ini memang tidak dirancang dan berlaku secara tiba-tiba. Maka ibu-ibu persiapkan diri kerana sesiapa sahaja boleh melalui detik melahirkan sebegini.

Menurut  Dr Nurul Azwa Hasny, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, SALAM Shah Alam Specialist Hospital, kelahiran kecemasan atau Born Before Arrival  ini boleh berlaku.

“Kelahiran boleh berlaku bila-bila masa dan di mana sahaja. Lebih-lebih lagi bagi kehamilan yang sihat dan kandungan sudah melewati usia 37 minggu. Sebaik-baiknya sentiasa bawa bersama buku rekod pemeriksaan kehamilan dan beg hospital yang berisi kelengkapan bersalin apabila kandungan menghampiri tarikh jangkaan bersalin.”

BAGI YANG RASA NAK BERSALIN KETIKA MEMANDU ATAU DI RUMAH BERSEORANGAN

Bagi kes yang melibatkan sakit tiba-tiba ketika memandu di jalan raya atau ketika berseorangan di rumah, beberapa langkah perlu dilakukan untuk memastikan proses kelahiran yang selamat.

  1. Sekiranya ibu terbabit sedang memandu, maka dia perlulah berhenti di tempat yang selamat seperti di lorong kecemasan, stesen minyak atau tempat rehat R&R, yang mana terdekat.
  2. Minta bantuan orang ramai untuk menghubungi talian kecemasan Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 bagi mendapatkan bantuan kecemasan, diikuti dengan ahli keluarga yang terdekat.
  3. Jika tidak ada orang lain bersama, hubungi 999 sendiri dan ikut arahan paramedik MERS dengan tenang. Paramedik MERS memerlukan maklumat akan lokasi ibu bagi memudahkan bantuan kecemasan disalurkan.
  4. Bagi ibu yang berseorangan di rumah, cuba berbaring di atas katil atau permukaan yang rata. Tinggikan kepala dengan bantal. Dengar arahan paramedik MERS dengan teliti.
  5. Pastikan ibu menarik nafas yang dalam dan perlahan di antara kontraksi.

TANDA-TANDA KELAHIRAN AMAT DEKAT

Ibu perlu tahu tanda-tanda ini supaya boleh mengenal pasti bahawa kelahiran akan berlaku dan tidak sempat untuk ke hospital. Pada kebiasaannya bagi anak pertama, kelahiran akan mengambil masa lebih lama manakala bagi kehamilan anak kedua dan seterusnya akan berlaku lebih cepat.

  • Kontraksi yang kerap iaitu antara dua hingga tiga minit sekali.
  • Gesaan untuk meneran atau rasa ingin buang air besar.
  • Air ketuban keluar dengan banyak secara tiba-tiba.
  • Dapat melihat atau sentuh kepala bayi di kemaluan faraj.

4 KEPERLUAN ASAS PERLU ADA

Selain segera mendapatkan bantuan kecemasan, sekiranya masih sempat, sediakan peralatan asas bagi memastikan kelahiran lebih mudah dikendalikan.

Sediakan alas tempat perbaringan seperti plastik alas meja atau hamparan kain yang tebal. Ini kerana proses kelahiran akan melibatkan pengeluaran lendir dan darah yang banyak dan alas tersebut memudahkan proses membersihkan kelak.

  1. Kain cadar, kain selimut, kain batik atau tuala bersih dan kering.
  2. Kain lampin untuk menyambut bayi dan kain untuk membalutnya.
  3. Air suam yang diletakkan dalam besen yang bersih. Ia diperlukan untuk membuang kekotoran lendir pada bayi dan mencuci tangan.

* Sekiranya tiada sebarang kain seperti dinyatakan, kertas atau suratkhabar kering boleh digunakan.

TIP ELAK PANIK DAN BERSEDIA SEGERA

Ibu perlulah berkeyakinan diri untuk melalui proses bersalin walau pun terpaksa melakukannya seorang diri atau tanpa sempat ke hospital. Kata Dr Nurul Azwa, jika kedudukan bayi betul dan sudah berada di bahagian rongga pelvis, kelahiran akan mudah dan tidak mengambil masa yang lama.

Walau pun begitu, pastikan faktor kebersihan dititikberatkan untuk mengelakkan jangkitan kuman kepada ibu dan anak. Ibu perlu mencuci bahagian intim dengan air atau dengan sabun dan air sebelum proses kelahiran.Dalam keadaan cemas begini, suami, ibu atau sesiapa sahaja yang akan menyambut bayi juga perlu bersih.

Ibu tidak perlu meneran bagi kes kelahiran seperti ini. Sebaik-baiknya jangan meneran. Beberapa teknik pernafasan boleh dilakukan seperti menarik nafas yang dalam dan perlahan atau pernafasan “panting”; iaitu bernafas dengan kuat dan cepat.

Pernafasan ini penting bagi mengelakkan ibu meneran dan bayi meluncur keluar dengan sendirinya. Ia juga dapat membantu mengelakkan koyakan pada tisu-tisu lembut, melengahkan masa untuk persiapan dan mengelakkan kecederaan atau bayi terjatuh jika ibu masih belum dalam posisi yang membolehkannya menyambut bayi.

APA PERLU BUAT BILA SI KECIL SUDAH KELUAR!

  1. Saat ini ibu atau orang yang menyambut bayi perlulah bersedia untuk mengampu kepala, bahu bayi dan badannya keluar untuk mengelakkan koyakan teruk pada ibu. Berhati-hati semasa menyambut kelahiran kerana bayi selalunya licin.
  2. Perhatikan kedudukan tali pusat. Longgarkan untuk mengelakkan ia mencerut leher atau badan bayi.
  3. JANGAN POTONG TALI PUSAT UNTUK MENGELAKKAN JANGKITAN KUMAN!
  4. Lap seluruh badan bayi terutama pada bahagian mulut dan hidung yang mungkin mempunyai lendir dengan kain lembut seperti kain lampin.
  5. Sambil mengelap, urut perlahan bahagian belakang bayi dan kaki untuk merangsang bayi menangis supaya dia boleh bernafas dengan baik.
  6. Letakkan bayi di dada ibu (atau perut ibu jika tali pusat pendek) secara menangkup atau melekap untuk sentuhan kulit ke kulit. Selimutkan tubuh bayi untuk mengelakkan kesejukan.
  7. Sambut uri keluar dan biarkan tali pusat tidak dipotong. Tunggu sehingga paramedik atau bidan  memotongnya menggunakan peralatan yang steril.
  8. Dapatkan posisi yang selesa untuk ibu boleh memulakan penyusuan kali pertama. Elakkan ibu sejuk dengan membersihkan ibu dan menukar kain yang basah.
  9. Sementara menunggu kehadiran paramedik, duduk bersama ibu dan bayi sepanjang masa bagi memastikan kedua-duanya dalam keadaan baik. Peralatan bayi dan ibu boleh disediakan kerana kemungkinan ibu dan bayi akan ditahan di hospital.

Dr Nurul Azwa menegaskan bersalin di rumah amat tidak digalakkan tanpa dikendalikan oleh anggota kesihatan terlatih. Ini adalah kerana komplikasi bersalin boleh meragut nyawa ibu dan anak yang dikandung

Sekiranya sudah hampir dengan tarikh bersalin, anda perlu memastikan yang;

  1. Anda menyimpan nombor telefon klinik atau jururawat berdekatan untuk dihubungi sekiranya berlaku kes sebegini.
  2. Pastikan telefon boleh berfungsi sebagai persediaan.
  3. Tidak berada keseorangan di rumah atau membuat perjalanan jauh seorang diri apabila kandungan mencecah 37 minggu atau tarikh bersalin semakin hampir.

sumber: Majalah Pa&Ma

Published by
Azma ML