Geram, Melenting & Marah Bila Anak Buat Salah Berulang Kali? Sebenarnya Ibu Ayah Lupa Untuk Buat 1 Perkara Ini

Share

Melenting dan marah memang tidak dapat lari bila berhadapan dengan anak-anak yang membuat kesalahan berulang kali. Tapi apakah perkara ini betul untuk dilakukan kepada anak kecil yang masih sedang mempelajari tentang dunia ini menerusi bermain dan mencuba?

Salah sangka dan sangkaan buruk menjadikan ibu ayah seolah-olah hakim untuk menilai dan menghukum. Insiden-insiden kecil yang berlaku di dalam kehidupan sehari-hari mungkin menyebabkan ibu ayah marah, tapi jika sangkaan baik diberikan kepada anak-anak, tentu proses mendidik menjadi lebih mudah.

Perkongsian daripada kaunselor Puan Farhan ini benar-benar membuka mata supaya tidak terlalu bersangka negatif kepada si kecil. Siasat dan tanya dulu sebelum marah!

Sebagai manusia yang normal, kita suka bersangka sangka. Kadang kadang sangkaan kita itu menyebabkan kita selalu melihat perkara negatif dalam diri anak anak.

Kita sangka apa yang kita lihat dan fikir itu selalu benar, walaupun hakikatnya tidak semua sangkaan kita itu benar.

BANYAK KERENAH TAPI PERLU BERSANGKA BAIK

Setiap hari, dalam berhadapan dengan anak anak, terlalu banyak kerenah mereka yang kita harus hadapi. Sampai satu tahap kita susah mahu bersangka baik dengan anak anak.

PERISTIWA 1: BUKA PINTU PETI SEJUK LAMA

Pada suatu hari saya sedang sibuk memasak di dapur. Kemudian melihat anak saya membuka peti ais dan berdiri lama di depan pintu.

Kemudian, apa yang terjadi, saya marah dia kerana sangkaan saya dia mahu bermain main sahaja.

“Kakak, jangan main dalam peti ais, nanti rosak peti ais tu!”

Saya menegur dia dengan suara yang agak tinggi. Kemudian, anak saya pandang muka saya dan dengan muka yang sayu. Dia berkata

“Kakak lapar lah ibu, nak makan”

Alahai, rupanya lapar nak makan.

Saya sudah bersangka yang buruk kepada anak saya, rupa rupanya dia lapar. Mungkin sudah tidak faham sangat menunggu makanannya disediakan.

PERISTIWA 2: CURAH MAKANAN IKAN BANYAK & IKAN MATI

Saya teringat juga satu peristiwa di mana anak saya telah memasukkan makanan ikan dengan banyaknya ke dalam akuarium.

Perbuatan itu telah menyebabkan air keruh dan ada ikan yang mati.

Sangka saya, dia buat itu suka suka dan memang ada niat yang tidak baik pada ikan ikan tersebut. Saat itu saya rasa sangka kecewa dan marah. Namun, ketika itu saya sabar dan bertanya kenapa dia melakukan perbuatan itu.

Kata anak saya, dia sebenarnya mahu beri ikan makan. Ikan nampak lapar, tetapi entah bagaimana penutup makanan ikan itu terbuka dan tumpah lah makanan ikan dengan banyak.

Ketika saya dengar penjelasan dia saya terdiam. Begitu banyak sangkaan buruk kepada perbuatannya itu. Sedang hakikatnya dia sebenarnya ingin memberi ikan makan dan bukannya sengaja ingin membuat ikan tersebut mati.

IBU AYAH PERLU BERSANGKA BAIK SUPAYA DIDIKAN LEBIH BERHIKMAH

Dalam mendidik anak, kita perlu banyak meletakkan sangkaan baik kepada mereka.

Anak kacau kita solat sebenarnya dia nak solat bersama, tapi belum tahu bagaimana untuk melakukannya.

Anak suka lawan kita mungkin kerana kita selalu berkasar pada mereka.

Bermula dengan sangkaan yang baik lah kita akan semakin rajin memberi nasihat dengan lembut dan berhikmah dalam mendidik anak-anak.

TANPA SANGKA BAIK, KITA AKAN SELALU NAMPAK BURUK ANAK

Tanpa sangka baik kita akan sentiasa nampak keburukan pada anak anak. Walau kita berdoa, kita selitkan kemarahan kita, nasihat pun selalu diberi dengan bebelan yang menyakitkan.

Selalu selitkan dalam doa kita:

“Ya Allah, aku tahu anak aku baik, anak aku soleh solehah. Jika dia berbuat silap atau salah mungkin dia tidak sengaja atau dia belum mampu untuk mengawal dirinya, berilah kekuatan untuk aku melihat kebaikan dalam setiap perbuatan anak anak”

SANGKA BAIK & SABAR AKAN DIBERI GANJARAN BESAR, BERLAPANG DADALAH IBU AYAH

Saya faham nak bersangka baik dengan anak bukan mudah. Kita akan selalu rasa anak kita nakal, menyusahkan, menyakitkan hati, tak dengar kata.?

Namun, ingatlah satu perkara, Ibu bapa yang sentiasa memandang kebaikan pada anaknya, bersangka baik dan bersabar atas setiap perbuatan anak anak akan diberi ganjaran yang cukup besar.

TIADA ADA ANAK YANG NAKAL, YANG ADA HANYA ORANG TUA YANG TIDAK SABAR

“Tidak ada anak yang nakal, yang ada hanyalah anak yang belum tahu. Tidak ada anak yang nakal, yang ada hanyalah orang tua yang tak sabar. Tidak ada anak yang nakal, yang ada hanyalah pendidik yang terburu-buru melihat hasil.”

Habib Muhammad Al-Habsyi

Fikir yang baik baik, natijahnya pasti akan baik.

Sumber: Puan Farhan

Published by
Azma ML