Uncategorized

Memang Mencabar Bawa Anak Kecil Tunai Umrah, Ibu Ini Kongsi 5 Tip Untuk Persediaan Awal

Share

Cuti sekolah bakal tiba tak lama je lagi. Tentunya dah ada perancangan untuk bawa anak-anak bercuti ke mana-mana. Umrah juga biasanya dilakukan pada musim cuti sekolah terutamanya untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih kecil atau bersekolah.

Tapi senang ke nak bawa anak-anak yang masih kecil ke umrah tu? Ya lah mama dengan papa mestilah nak banyakkan beribadat sepanjang disana kan? Dalam satu perkongsian yang dibuat oleh Nur Shazareen Kamarozaman di Facebook miliknya, dia menyatakan memang mencabar bila menunaikan umrah dengan anak-anak. Tapi banyak juga keseronokan dan momen indah yang dapat diabadikan Bersama.

Dalam perkongsian tersebut juga, wanita ini berkongsi lima tip dalam mempersiapkan anak-anak sebelum menunaikan umrah Bersama-sama.

UMRAH BERSAMA ANAK-ANAK?

Umrah bersama anak-anak sememangnya mencabar. Tapi banyak keseronokan dan moment indah yang dapat dicipta.

Menunaikan ibadah umrah bersama anak-anak sudah pasti persiapannya tidak akan sama dengan pergi hanya membawa diri sendiri sahaja. Anak-anak juga perlu mempersiapkan diri mereka sebelum ke sana. Biarlah mereka faham dan bersedia untuk sama-sama beribadah di sana kelak. Walaupun mungkin mereka tidak mampu memahami sebagaimana kita, tapi sekurang-kurangnya berilah mereka peluang mengenal ibadah umrah dan jatuh cinta pada Kaabah serta bumi Haramain.

Kita sebagai ibubapalah perlu bantu memberi kefahaman dan mempersiapkan diri mereka.

Ini antara perkara yang kami lakukan sebelum ke tanah suci :

1. MEMBACA BUKU KANAK-KANAK YANG MEMPUNYAI KAITAN DENGAN IBADAH UMRAH BERSAMA MEREKA.

Alhamdulillah, kebetulan saya pernah belikan anak-anak saya buku berkaitan tempat-tempat yang disebut di dalam al-Quran. Ia termasuklah Mekah, Madinah, Kaabah, Bukit Safa dan Bukit Marwah.

Sambil melihat gambar-gambar dan ilustrasi di buku, saya menceritakan kepada Tuqo dan Taqi tentang sejarah dan maklumat berkaitan dengan tempat-tempat tersebut. Bagi saya, sekurang-kurangnya mereka sudah pernah mendengar nama-nama tempat tersebut dan sedikit kisah tentangnya.

Contohnya apabila bercerita tentang Mekah, saya katakan kepada Tuqo dan Taqi bahawa Mekah adalah tempat kelahiran junjungan besar Rasulullah SAW. Di Mekah juga nabi mula berdakwah. Tuqo pula memang suka sangat bila dengar perkataan ‘dakwah’. Seakan-akan menarik minatnya.

Kemudian saya ceritakan pula tentang Bukit Safa dan Marwah serta kisah penat lelah Saidatina Hajar berlari-lari membawa Nabi Ismail AS dan juga bagaimana wujudnya air zam-zam. Sungguh, ini antara kisah yang Tuqo sangat minat dan ingat. Apabila melihat reaksi dan responnya, seakan-akan dia tidak sabar untuk melihat sendiri Bukit Safa dan Marwah serta meneguk sendiri air zam-zam. Watak-watak seperti Saidatina Hajar juga Tuqo mampu hafal dan ingat peranannya dalam setiap kisah yang saya ceritakan. Inilah buktinya yang anak-anak dapat faham dan ingat dengan baik apa yang kita sampaikan.

Ya,mereka kelihatan seperti belum memahami. Tapi hakikatnya otak mereka sedang menerima dan mengingat dengan baik.

Selain itu, saya juga ceritakan tentang Madinah serta Raudhah sehingga membuatkan Tuqo sering meminta untuk dibawa ke Raudhah dan makam baginda Rasulullah SAW. Tak sabar-sabar!

2. TUNJUK VIDEO BERKAITAN IBADAH UMRAH

Video sangat membantu dalam mempersiapkan diri anak-anak. Ia seperti membuatkan jiwa anak-anak melompat tidak sabar mahu ke sana.

Selain itu, ia juga memberi kefahaman dan gambaran bagaimana ibadah umrah akan dilakukan seperti tawaf dan saie. Sekurang-kurangnya mereka tahu, bila sampai di Kaabah kelak, kita perlu tawaf. Tawaf itu pula maksudnya adalah mengelilingi Kaabah. Tidaklah bila sampai di sana kelak, anak-anak hanya melopong dan tertanya-tanya apa yang sedang dia lakukan.

Kalau anak-anak bertanya di sana, lagi payah nak menjawab. Mana mahu fokus ibadah, mana mahu menjawab soalan anak. Jadi sebaiknya, fahamkan anak-anak terlebih dahulu sebelum berangkat ke sana.

3. SERING BERSEMBANG DAN BERCERITA DENGAN ANAK-ANAK TENTANG IBADAH UMRAH DAN KELEBIHANNYA.

Sembang secara santai itu lebih seronok. Di dalam kereta atau sambil berjalan-jalan. Bedtime story juga menjadi lebih seronok apabila bercerita tentang umrah. Barangkali mereka akan tidur dengan tenang sambil mimpi pergi ke sana mengelilingi Kaabah.

Sambil bersembang, kami kebiasaannya akan minta anak selitkan doa. Hati dan jiwa mereka masih suci. Harapan mereka terlalu tinggi. Sebaiknya kita ajar mereka supaya bergantung harap dengan Allah Yang Esa dan berdoa semoga Allah izinkan untuk ke sana kelak.

Maka akan kedengaranlah suara halus Tuqo berdoa,

“Ya Allah, kakak nak pergi Kaabah. Kakak nak minum air zam-zam. Kakak nak pergi Raudhah, nak jumpa Rasulullah”.

Kami juga turut menumpang doa dari Tuqo. Kami aminkan sama-sama tanda menyambut baik apa yang dipohon kepada Allah.

Kami jadikan topik berkaitan umrah ini sebagai topik utama perbualan kami untuk beberapa minggu sebelum berangkat. Kalau dah tak tahu nak cerita apa, kami ulang cerita yang sama. Dan saat itu, kami mula terkejut kerana Tuqo sudah pandai sambung sendiri apa yang ingin kami sampaikan. Itu merupakan satu kepuasan bagi kami sebagai ibubapa.

4. BAWA ANAK-ANAK SOLAT DI MASJID.

Untuk membiasakan diri anak-anak dan juga kami sendiri di sana kelak, beberapa minggu sebelum berangkat kami mula berlatih membawa Tuqo dan Taqi untuk solat di masjid.

Tujuannya bagi membiasakan Tuqo dan Taqi dengan suasana masjid, solat dan orang ramai, dalam masa yang sama persediaan kepada kami bagaimana untuk membawa mereka bersama kelak ketika solat di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.

Ini seolah-olah latihan praktikal buat kami anak-beranak.

Pemilihan masjid yang sesuai juga penting. Bagi saya surau tidak berapa sesuai, kerana surau bersaiz kecil. Sedangkan Masjid Nabi dan Masjidil Haram tersangatlah besar. Sudah tentu kondisinya tidak sama.

Dari simulasi praktikal ini kami dapat sesuaikan diri dan mula mendapat sedikit gambaran. Perancangan asal kelak di Tanah Haram, Taqi akan bersama saya ketika solat manakala Tuqo pula akan mengikut suami saya memandangkan Taqi agak sukar berpisah dengan saya.

Tapi keputusan berubah setelah melakukan latihan simulasi solat di masjid. Taqi rupanya lebih behave apabila bersama abahnya. Kalau dengan saya, dia akan merengek dan minta didukung ketika saya sedang solat. Tapi apabila dengan abahnya, dia setia menunggu abahnya solat dengan sangat sopan tanpa banyak ragam.Tuqo pula yang kian membesar sebenarnya memang sesuai bersama saya sebab mudah baginya untuk menyesuaikan diri dengan jemaah wanita yang lain.

5. PASANGKAN LAGU-LAGU NASYID BERKISAR UMRAH, HAJI, DAN BERKAITAN RASULULLAH SAW.

Untuk mencipta mood, saya kerap memainkan lagu-lagu yang berkaitan dengan Mekah, Madinah dan Rasulullah SAW yang kebanyakannya dinyanyikan oleh Maher Zain, Irfan Makki atau Opick seperti Medina, Labbaik Allahumma Labbaik dan Waiting For The Call.

Tiap kali mendengar lagu-lagu itu, perasaan seperti melonjak tidak sabar mahu pergi ke sana. Terasa benar rindu untuk menjadi tetamu Allah. Tuqo dan Taqi juga sering meminta supaya lagu-lagu itu tadi diulang-ulang. Seronok mereka menyanyi dan bertalbiah bersama.

Semoga sedikit perkongsian saya ini dapat membantu para ibubapa yang bercadang untuk membawa anak mereka untuk sama-sama menunaikan ibadah umrah.

Semoga Allah bakal menjemput kita semua menjadi tetamu-Nya tak lama lagi. Aminn..

Wallahua’lam.

Sumber: Nur Shazareen Kamarozaman

 

Published by
SAHR