Membaca & Aktiviti Kraf Masa Mengandung Boleh Buat Ibu Jadi Tenang & Positif , Ibu Ini Kongsikan Apa Yang Dilakukannya

Share

Umum memang tahu aktiviti membaca dan membuat kraf semasa hamil adalah sesuatu yang baik yang boleh merangsang perkembangan positif bayi. Paling hebat bila ia dapat difailkan untuk tatapan si kecil apabilanya besar nanti.

Ibu ini, Puan Nur Anis Syazwani Azhar cukup sistematik menyusun rekod perkembangan kehamilannya. Lebih kurang scrap book, ia terisi dengan pelbagai rekod penting ibu ini sepanjang kehamilannya. Ia terbahagi kepada beberapa segmen seperti nama bayi, pemilihan nama, bedtime story, islamic learning dan beberapa segmen yang lain yang penting. Terdapat juga ruang untuk menyimpan salinan cetakan imbasan sonografi dan bukti-bukti yang telah diambil semasa hamil.

“Pada saya, setiap ibu perlu mempunyai rekod perjalanan semasa mengandung sebagai salah satu simbolik dalam usaha memperingati diri sendiri bahawa kita sudah mula diberikan tanggungjawab oleh Pencipta. Selain itu, ia bakal menjadi artifak yang bermakna kerana dibuat oleh individu yang bergelar ibu sendiri untuk seorang anaknya.

“Secara tidak langsung, perihal tersebut akan membuatkan anak berasa dihargai dan disayangi. Kasih sayang tidak semestinya dengan melaburkan wang ringgit semata-mata tetapi dengan masa yang ada itu sudah cukup memberi kesan yang bermakna. Fitrah manusia suka kepada hal-hal yang sistematik,” katanya yang bertugas sebagai seorang ibu.

MEREKODKAN SECARA SISTEMATIK BUAT DIRI TERMOTIVASI

Apabila seseorang mempengaruhi dirinya sendiri untuk melihat sesuatu yang sistematik, maka dia akan lebih termotivasi dan bersemangat dalam usaha menjadikan diri sebagai ibu yang baik dan bertanggungjawab.

DISIPLINKAN DIRI UNTUK MEMBACA

Aktiviti pembacaan pula, saya mendisiplinkan diri untuk membaca sekurang-kurang dua buah buku cerita setiap malam dengan pembacaan yang kuat dan jelas seakan-akan bercerita dengan seseorang. Seperti yang sudah lama kita ketahui, bayi sudah mula mendengar dan menerima segala input yang dilakukan oleh seseorang ibu.

AKTIVITI KRAF MEMBERIKAN KETENANGAN UNTUK JANIN DALAM KANDUNGAN

Manakala aktiviti art & kraf pula sebagai salah satu alternatif dalam menyuburkan perasaan ibu ketika hamil. Apabila ibu-ibu mengandung menghasilkan sesuatu yang kreatif pastinya akan membuatkan jiwa ibu itu seronok dan tenang. Rentetan itu, menyebabkan aura-aura  melalui hormon positif juga dirangsang oleh bayi dalam kandungan.

Sumber: Puan Nur Anis Syazwani Azhar

Published by
Azma ML