Memilih Bersalin Di Rumah Sebab Takut Covid 19? Jangan Ambil Risiko – Dr Maiza

Share

Penularan pandemik Covid 19 yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa ada simptom sedikit sebanyak menimbulkan rasa risau ibu-ibu yang bakal bersalin dalam tempoh PKP dilaksanakan.

Justeru mungkin ada yang memilih untuk bersalin di rumah sendiri kerana bimbang diri dan bayi akan dijangkiti virus tersebut sekiranya keluar dan bersalin di hospital. Dr  Maiza Tusimin, Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Prince Court ketika sesi live bersama Majalah Pa& Ma menegaskan, ibu-ibu hamil jangan sesekali mengambil risiko dengan berbuat demikian.

Menurutnya ramai ibu-ibu hamil yang bertanyakan keadaan tersebut kepadanya. Namun nasihatnya tidak perlu risau kerana pihak klinik dan hospital sudah mengambil langkah-langkah pencegahan ketika merawat para pesakit yang hadir.

“Mungkin ada ibu-ibu yang takut nak ke klinik memandangkan bimbang dijangkiti, tapi usah risau kerana pihak klinik sudah mengambil langkah-langkah melakukan keselamatan. Pakai mask jika selesema atau batuk.  Jika tiba-tiba batuk ketika sampai di klinik, ikut etika atau cara batuk yang betul.  Jangan harapkan kepada doktor dan petugas kesihatan semata-mata. Kita sendiri kena alert dan menjaga diri.

“Jangan sesekali ambil risiko untuk bersalin di rumah kerana di rumah tiada petugas kesihatan yang boleh memantau proses bersalin. Jika tidak sempat ke hospital yang telah dipilih untuk bersalin, pergi sahaja ke mana-mana hospital berdekatan.

Jujur dan maklumkan jika ada kontak rapat atau gejala

“Jangan pula tertinggal buku kehamilan yang ada rekod kesihatan anda. Paling penting tolong jujur dan maklumkan kepada doktor jika ada masalah kesihatan seperti demam, batuk dan sebagainya. Jangan lupa juga untuk maklumkan jika ada kontak rapat dengan pesakit Covid-19 juga amatlah perlu dimaklumkan.”

Tambahnya lagi ibu yang bakal bersalin tidak perlu risau kerana prosedur untuk ibu bersalin yang akan dibuat ketika musim pandemik ini juga sama seperti waktu lain, Cuma jika ibu tersebut positif Covid, cara pengendalian yang akan dibuat mungkin berbeza.

“Jangan risau kerana setiap rawatan dan prosedur untuk melahirkan anak yang diberi semuanya sama, Cuma cara nak handle kes jika ibu positif Covid akan berbeza. Petugas kesihatan perlu memakai PPE sebagai langkah pencegahan supaya tidak dijangkiti kepada bayi dan juga orang sekeliling. Namun jika ibu tiada Covid, prosedurnya adalah seperti biasa.”

Ibu tidak boleh jangkiti bayi dalam kandungan

Turut ditanya apakah ibu hamil boleh mengjangkiti anak dalam kandungan, jelas Dr Maiza berdasarkan pemerhatian saintifik, tiada pemindahan virus secara langsung dari ibu kepada bayi. Yang ada Cuma melalui kontak langsung.

“Berdasarkan pemerhatian saintifik, tiada pemindahan virus direct dari ibu kepada baby. Yang ada Cuma melalui contact direct, misalnya selepas bersalin ibu positif dan terbersin, maka keadaan itu yang memungkinkan si kecil dijangkiti virus tersebut.”

Diharap dengan apa yang dijelaskan oleh Dr Maiza sedikit sebanyak memberikan kelegaan buat ibu-ibu yang bakal melahirkan. Jaga diri, amalkan langkah pencegahan dan jangan lupa untuk buat pemeriksaan berkala seperti biasa. Teruskan berdoa semoga penularan wabak ini dapat dibendung dan kita semua dapat menjalani kehidupan normal seperti dahulu.

Semoga ibu-ibu yang bakal melahirkan dipermudahkan segala urusan dan segalanya berjalan dengan lancar.

 

 

Published by
SAHR