Menabung Sejak Gael Dalam Kandungan, Wany Masukkan RM50 Dalam Tabung Setiap Hari

Share

Mendekati wanita ini yang pernah viral tahun lalu kerana membuat simpanan hampir RM14,000 dalam tempoh enam bulan. Menurut Siti Nurhazwani Mohd Zabri atau selesa dipanggil Wany, pada asalnya dia buat simpanan untuk menyambut kelahiran anaknya. Kini selepas melahirkan, Wany masih meneruskan tabungan tersebut sejak anaknya berusia satu bulan.

Memandangkan Wany memang suka menabung sejak kecil, katanya tabungan dibuat apabila dia ada sasaran tertentu. Jika mahu dapatkan barangan berjenama, dia akan menyimpan wang untuk membeli tanpa perlu berhutang.

Simpan RM50 Setiap Hari, Cukup RM5000 Simpan Dalam Bank

Apabila ditanyakan tentang jumlah nilai wang yang disimpan, Wany memberitahu yang dia akan masukkan RM50 setiap hari untuk tabungan anaknya, Andra Gael Mateen Mohamed Azemi, 6 bulan. Wany memberitahu, dia mempunyai rezeki yang lebih untuk membuat tabungan RM50 setiap hari.

Wany dan anaknya, Gael

“Alhamdulillah mungkin rezeki saya mampu menyimpan sebanyak itu setiap hari. Tetapi tak salah untuk buat simpanan kurang dari itu. Ikut kemampuan kita,” terang Wany apabila ditanya tentang jumlah wang yang dia simpan setiap hari. Tambah Wany lagi, simpanan begini mudah dia kawal. Cukup RM5000 setiap kali menabung, saya akan pastikan duit itu dimasukkan ke bank,” kata Wany.

Tanda Pada Kalendar Untuk Pastikan Tabungan Konsisten

Wany memberitahu yang dia menjalankan perniagaan sendiri bersama suami. Dia membuat tabungan sebagai persediaan jika ada sebarang kecemasan. Biarpun ada mengambil pelan insuran untuk Gael, Wany tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan membuat simpanan. “Saya ambil insurans untuk anak, tetapi ada masa tertentu kita perlu mendahulukan duit sendiri. Sebab itulah, saya selesa jika ada wang simpanan sebagai persediaan,” kata Wany.

Untuk membuat tabungan, perlu ada disiplin. Wany mengiyakan perkara itu. Menurutnya, dia seorang yang sangat disiplin dalam membuat tabungan. Wany akan membuat tanda di kalendar bagi memastikan duit yang dimasukkan ke dalam tabung direkodkan. Menurut Wany, dia lebih berdisiplin sekarang kerana banyak memikirkan soal masa hadapan. Tambah pula dia dan suami, Mohamed Azemi Ab Johar, bekerja sendiri. “Sebab itulah kami kena konsisten untuk buat tabungan, tak boleh mengelat,” beritahu Wany.

Buat Simpanan Fikirkan Anak

“Saya dan suami hanya fikirkan tentang masa depan anak. Sebab itulah kami memilih cara ini untuk menabung. Dalam simpanan sekarang ada RM6700, tapi biasanya apabila tabungan dah capai RM5000, saya akan masukkan ke bank,” kata Wany menjawab tentang jumlah tabungannya. Kata Wany, dia mula menyimpan untuk Gael sejak anaknya itu berumur satu bulan.

Wany dan suami konsisten buat tabungan untuk Gael demi masa depannya

Cara Wany menyimpan duitnya adalah dengan menggunakan sebuah bekas kecil. Dia akan sumbat kesemua duit di dalam itu sehingga jika ia benar-benar padat. “Tujuan saya menggunakan bekas kecil adalah sebab saya tak mahu fikir ada duit banyak dalam tu. Nanti akan terasa nak ambil untuk gunakan ke arah lain. Jadi bila guna bekas kecil dan disumbat padat, nampak macam tak ada apa dalam tu,” seloroh Wany. Sewaktu hamilkan anaknya itu, Wany memilih sebuah tabung berbentuk buah nanas. Tak sangka apabila dikeluarkan, banyak juga duit di dalamnya.

Bercerita tentang pengalamannya membuat tabungan, dia sebenarnya sudah mula menyimpan serba sedikit sebelum disahkan mengandung. Pada waktu itu, Wany dan suami berhasrat untuk gunakan hasil simpanan itu untuk beli barangan bayi serta bersalin di hospital swasta. Apabila disahkan hamil, terus sahaja Wany memulakan tabungan RM50 setiap hari.

Didik Diri Menabung Sejak Kecil

Wany turut memberitahu bahawa dia memang suka menabung. Sejak kecil, dia sudah mendidik diri untuk mengumpul duit belanja yang diberi kepadanya. Kalau tidak 50 sen, 20 sen pun jadi. Asalkan ada duit untuk disimpan pada hari tersebut.

Dia memberitahu yang amalan menabung ini akan diajarkan kepada Gael supaya anaknya itu juga suka menyimpan sepertinya. “Semoga bila dia melihat ibunya simpan duit, dia pun akan ikut. Saya berhasrat untuk mengajar dia kepentingan dan kebaikan menabung,” akhiri Wany.

 

 

Published by
Emy H