Anak menangis itu normal! Sekian lama bersama ibu dan ayah, dan kini terpaksa berpisah malah melihat wajah-wajah yang asing dan tidak biasa membuatkan anak merasa tidak selamat dan tidak selesa.
Menurut perkongsian pakar, pada usia lima tahun adalah waktu yang amat sesuai untuk diperkenalkan dengan alam persekolahan. Paling tepat namun ada cara yang perlu dipraktikan oleh mak ayah terlebih dahulu. Ini yang dikongsikan oleh Ahli Terapi Cara Kerja, Pn Maryam Jamadi.
ANAK MENANGIS KE SEKOLAH?
“Anak umur 5 tahun menangis ke tadika normal atau tidak?” Normal ya anak menangis ke sekolah atau ditinggalkan di tempat baru. Anak umur 7 tahun menangis bila pergi ke sekolah rendah pun masih dikira normal.
Masalah ini lagi normal kalau
– Anak tak pernah dihantar taska atau pengasuh.
– Jarang keluar rumah.
– Ibu suri rumah, memang sentiasa bersama dengan anak.
Punca yang biasanya buat anak menangis ke sekolah.
1. TEMPAT DAN SUASANA YANG BARU
Bayangkan 5 tahun anak duduk bersama ibu, tiba-tiba ditinggalkan ke tempat yang baru dan tidak kenal sesiapa pun. Normallah dia akan takut dan rasa tidak selamat.
Ditambah pula, keadaan bising dengan suara murid lain bercakap kuat-kuat sehingga guru pun terpaksa menjerit untuk bercakap. Mungkin guru hanya bercakap biasa, tetapi bagi anak yang dalam keadaan takut suara guru yang kuat seakan-akan memarahi dia.
Biasanya anak yang sensitif pendengaran akan ada masalah dengan bunyi yang bising atau kuat. Boleh jadi punca utama kenapa anak menangis dan tidak suka ke sekolah.
2. “SURVIVAL SKILL”
Anak yang dihantar ke taska memang akan mempunyai “survival skill” yang lebih tinggi sebab mereka sudah biasa terdedah dengan kanak-kanak lain, sudah biasa dengan keadaan hiruk-pikuk, keadaan kanak-kanak bergaduh ataupun suara guru menjerit/tegas.
Berbanding dengan anak yang kebanyakan masa duduk bersama ibu. Kalau ibu marah, dia tahu ibu marah dia seorang. Tapi kalau di sekolah, boleh jadi guru marah murid lain tapi anak rasa guru marah dia. Dia tidak tahu lagi cara nak kawal diri atau tenangkan diri sendiri.
Sentiasa rasa takut-takut dan resah bila ada situasi hiruk-pikuk.
3. SUSAH UNTUK MENGIKUT RUTIN
Kalau dirumah, ada hari bangun tidur awal, ada hari bangun tidur lambat. Kalau lapar boleh terus makan.
Tapi apabila dah ke sekolah, hari-hari perlu ikut rutin sama. Tak boleh main 24 jam, kena ikut jadual.
Jadi, memang normal anak akan lebih suka duduk rumah berbanding ke sekolah. Di rumah boleh buat apa-apa yang dia mahu tetapi di sekolah terpaksa ikut peraturan. Pijak rumput pun tak boleh 😅
4. ANAK JENIS KINESTETIK
Anak jenis kinestetik akan rasa sukar dan “terseksa” duduk lama di kerusi. Pembelajaran formal di kerusi dan meja mungkin kurang sesuai untuk anak.
Anak perlu selalu bergerak, berjalan dan berlari. Pembelajaran pula dalam keadaan sambil bermain. 🏃♂️
Sebenarnya ada banyak sahaja punca yang buat anak menangis ke sekolah, jadi mak ayah yang sedang menghadapi masalah ini boleh cuba periksa kenapa anak tak suka ke sekolah.
Untuk atasi masalah ini, boleh cuba cara ini:
1. TARIK MINAT ANAK UNTUK BELAJAR
Minat untuk belajar ini perlu dipupuk sejak kecil lagi dengan cara
– Selalu bacakan buku dengan anak.
– Cerita kepentingan ke sekolah.
– Beri anak tengok cerita situasi kanak-kanak di sekolah.
– Beritahu segala kemungkinan dan situasi yang mungkin boleh berlaku di sekolah supaya anak bersedia contohnya cara nak pergi tandas, kalau kawan ambil barang dan sebagainya.
Tetapi pendapat saya, tidak adil untuk kita terus beri komen pada mak ayah seakan-akan tidak pernah tarik minat anak untuk belajar sekiranya anak menangis ke sekolah. Menangis ke sekolah dan minat untuk belajar adalah topik yang berbeza.
2. MENANGIS ITU NORMAL
– Kalau setiap kali anak menangis kita marah dia menangis atau suruh berhenti menangis serta merta, percayalah anak memang tak akan berhenti menangis malah akan lagi lama menangis.
– Beritahu anak yang kita faham kenapa dia menangis dan cerita juga kisah kita sendiri menangis ke sekolah (kalau ada).
– Beri masa anak menangis, kita diam sahaja teman anak menangis. Apabila anak sudah lega dan puas menangis, barulah kita ajar cara untuk tenangkan diri. Sentiasa beri sokongan terhadap keperluan emosi anak.
3. TANYA KENAPA ANAK TAK MAHU KE SEKOLAH
– Pasti ada punca kenapa anak menangis,
Tak mahu bangun pagi?
Mengantuk sebab tidur lewat?
Takut dengan cikgu?
Kawan-kawan bising?
Tak suka duduk lama?
Bosan?
4. CARI JALAN PENYELESAIAN
– Mengantuk sebab tidur lewat?
Pastikan anak tidur cukup, 3-5 tahun (10-13 jam sehari) 6-12 tahun (9-12 jam sehari).
– Takut dengan cikgu?
Beritahu yang cikgu tak marah, tapi suara cikgu memang kuat.
– Tak suka duduk lama?
Minta anak bangun awal sedikit dan minta dia berlari, melompat keliling rumah sebelum datang sekolah. Penuhkah tangki keperluan bergerak anak sebelum anak perlu duduk lama.
– Bosan?
Beri anak bawa 1 mainan ke sekolah (kalau dibenarkan) ataupun belikan keychain jenis “fidget toy” untuk tenang anak bila dia bosan.
– Takut suasana baru?
Boleh bawa 1 barang dari rumah yang anak memang sayang, supaya dia rasa selamat. Dalam kes anak menangis ke sekolah, tiada sesiapa yang salah.
Kita pun tak tahu cerita dari pihak guru, mungkin bilangan murid terlalu ramai untuk guru periksa masalah setiap seorang murid. Toleransi mendengar budak menangis juga berbeza setiap orang.
Tapi bagi saya
1. Mungkin terlalu awal untuk klasifikasikan normal atau tidak normal hanya dalam minggu pertama.
2. Anak 5 tahun sekiranya tidak membaca dan menulis masih dikira normal. Lagi-lagi 2 tahun menghadapi zaman pandemik, anak kurang terdedah dengan dunia luar.
3. Mungkin ambil masa untuk anak sesuaikan diri dengan persekitaran.
Tetapi kalau memang anak menangis sepanjang di sekolah, mungkin mak ayah boleh cuba hantar anak selang sehari dahulu. Beri anak timeline untuk bersedia, beritahu seminggu ini sahaja datang berselang seli hari. Minggu depan perlu hadir seminggu penuh.
Hari yang tidak hadir ke sekolah, buat simulasi ke sekolah. Pakai baju sekolah dan ikut jadual sekolah.
Jadi, mak ayah yang sedang mengalami masalah ini boleh cuba dahulu cara di atas. Kalau mak dah cuba pelbagai cara dan anak tetap menangis ke sekolah berterusan selama 2 minggu, mungkin boleh dapatkan bantuan terapis cara kerja.
Kebiasaannya kami akan lakukan penilaian kesediaan anak ke sekolah dan penilaian menulis. InsyaAllah kami dapat membantu mak ayah yang mengalami masalah ini.
Menarik: Sebak Gembira Ragam 5 Anak Selebriti Ke Sekolah, Semua Comel-Comel Belaka!
Dah tak ada idea nak masakkan apa untuk anak, semua dia tolak. Tak tahulah di mana silapnya padahal dah cuba macam-macam resipi. Untuk mommies yang ada masalah anak susah makan, jom segera dapatkan e-book 100++ Resipi Si Manja & Tip Untuk Mama!
Hanya RM20, memang berbaloi dengan pelbagai resipi menarik serta info pemakanan anak. Klik saja https://toko.ideaktiv.com/product/e-book-resipiselerasimanja/ untuk dapatkan e-book istimewa ini!
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!