Selalu demam dan mengadu sakit kepala, rupanya sel kanser bersarang dalam tubuh kecil ini. Tanpa disangka pada usia muda telah diuji kanser neuroblastoma tahap 4.
Tiada lagi gelak tawa dan kelincahan. Kini yang tinggal hanyalah anak kecil yang terlantar menahan kesakitan. Hati ibu bapa mana tahan untuk melihat si kecil kesayangan kini tidak lagi ceria.
Pada usia yang muda ditakdirkan untuk diuji dengan barah. Tubuh kecil Nur Husna Arina Mohd Hafiz, 2 tahun kini menanggung penderitaan akibat kanser darah. Lebih menyayatkan hati, matanya juga semakin besar akibat daripada kanser yang dialami.
Segalanya bermula sejak seminggu selepas sambutan Aidilfitri baru-baru ini. Nur Husna dikatakan kerap demam serta sakit kepala.
Bapanya, Mohd Hafiz Mohd Yusof, 29, berkata hasil pemeriksaan di hospital mendapati terdapat ketumbuhan di belakang kepala Nur Husna Aina. Tanpa disangka, ia adalah petanda anak bongsu daripada dua beradik itu dikesan mengidap kanser itu
Tambah Mohd Hafiz, ketumbuhan itu mengakibatkan urat tertarik hingga mata Nur Husna semakin membesar.
“Terdapat juga ketumbuhan di belakang mata dan setiap hari, Nur Husna akan menangis dengan menyebut ‘sakit’.
“Pada mulanya, dia hanya demam biasa kemudian kembali sembuh. Tapi demam datang semula lalu kami membawanya ke Hospital Balik Pulau,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Dia yang menetap di Tanjong, Pulau Pinang berkata, anaknya kemudian dirujuk ke Hospital Pulau Pinang sebelum disahkan mengidap kanser darah.
“Hati siapa tidak sedih apabila mendapat tahu penyakit anak. Dulu dia seorang yang aktif malah suaranya sentiasa memecah keheningan rumah ini.
“Tapi sekarang, dia terlantar menahan kesakitan. Dia boleh duduk tapi tidak lama kerana sakit,” katanya.
Kisah sedih Nur Husna Arina tular selepas ibunya, Jasmin Bakar memuat naik status meminta orang ramai mendoakan anaknya sembuh selepas mengidap neuroblastoma tahap empat.
Dalam status itu, Jasmin menulis:
Mohd Hafiz berkata, Nur Husna Arina akan mula menjalani rawatan kimoterapi bagi merawat kanser yang dideritainya itu.
Bapa ini juga turut menceritakan keadaan si bungsu yang kini tidak boleh makan dalam kuantiti yang banyak dan bertahan dengan ubat-ubatan. Lebih memilukan, Mohd Hafiz berharap rakyat Malaysia terus mendoakan Nur Husna agar sembuh segera. Impiannnya ialah untuk melihat Nur Husna kembali ceria.
“Dia tidak boleh makan banyak, kalau makan nasi, hanya satu atau dua suap. Doktor ada memberi ubat dan antibiotik serta menambah darah.
“Kami tidak mengharap apa-apa cuma minta rakyat Malaysia berdoa semoga Nur Arina Husna cepat sembuh. Kami mahu melihat dia kembali ceria seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Sumber: Harian Metro & FB Jasmin Bakar