“Menangis, Tak Nak Makan.” Ibu Cerita Anak-Anak ‘Mogok’ Kalau Bibik Tak Ada

Share

Anak-anak memerlukan kehadiran ibu ayah di sisi mereka. Kadang-kadang kehidupan mewah pun tiada guna untuk mereka. Mereka hanya mahukan perhatian, sebab itulah kadang-kadang mereka akan buat perangai. Kita pula menganggap anak nakal dan memarahi mereka.

Bayangkan betapa sedihnya hati seorang anak, apabila ibu ayahnya tidak menghiraukan mereka. Sibuk dengan kerja atau ralit melayan handphone sehingga kehadiran anak-anak langsung tidak diendahkan. Begitu juga dengan pengakuan ibu beranak tiga ini, yang menceritakan bagaimana anak-anaknya lebih sayangkan pembantu rumah mereka.

Saya Wanita Bekerjaya, Suami Seorang Doktor

Assalamualaikum semua. Nama saya Zue. Saya malu nak menceritakan hal ni, tapi saya rasa tak salah nak dikongsikan dengan semua ibu di luar sana. Saya sudah berkahwin dan ada 3 orang anak. 2 perempuan dan seorang lelaki. Yang sulung usianya dah 10 tahun, adiknya 7 dan yang bongsu 4 tahun. Saya wanita bekerjaya, pegang jawatan besar di pejabat.

Di situlah silapnya. Saya selalu sibuk di pejabat. Ada saja meeting dan kursus yang saya kena attend. Staf di bawah seliaan saya juga agak ramai. Jadi saya memang banyak hal yang perlu difikirkan. Sampai soal anak-anak saya ketepikan.

Suami pun sibuk orangnya. Bertugas sebagai seorang doktor di hospital swasta. Selalu on call, jadi dia pun jarang ada masa untuk anak-anak. Kami percaya, ibu bapa yang baik adalah yang dapat sediakan segala kemewahan untuk anak-anak. Minta apa saja, semuanya kami akan belikan.

Bersyukur Ada Bibik Ram, Banyak Membantu

Di rumah, saya gajikan pembantu rumah. Orangnya rajin dan boleh diharap. Sepanjang usia anak saya yang bongsu, memang dia lah yang menjaganya. Macam anak sendiri. Sampaikan kalau nak tidur malam pun nak tidur dengan Bibik Ram. Andainya kami nak keluar ke mana-mana, semua anak akan minta Bibik Ram untuk ikut. Kalau dia tak mahu, mereka sanggup tak keluar dari terpaksa tinggalkan dia.

Saya dan suami bersyukur, sebab waktu tu kami rasa baguslah ada yang sayang dan ambil berat hal anak-anak. Bibik Ram memang baik dan jujur orangnya.

Pernah suatu hari, saya dapat bercuti selama seminggu. Saya rancang nak bawa anak-anak melancong ke Australia. Bibik Ram pun saya ajak sekali tapi malangnya dia minta mahu pulang ke kampung waktu itu. “Alang-alang ibu bercuti, saya mohon izin mahu jenguk ibu ayah saya di kampung.” Lalu saya benarkan.

Anak Tak Seronok Bercuti Dengan Saya

Hari pertama di Australia, anak-anak dah mula buat perangai. Yang si adik, (saya gelarkan anak saya Baby), tak boleh tidur. Dia menangis-nangis cari Bibik Ram. Yang abangnya pula (Naufal), pun tak mahu makan apa yang saya masak. Saya minta suami belikan makanan luar pun dia tak mahu.

Anak sulung saya (Rania), terus beritahu yang mereka tak suka bercuti dengan saya di Australia. “Bibik Ram tak ada. We can’t eat, we can’t sleep. We miss her, mom.” Itulah kata anak sulung saya. Bayangkan, saya ibu mereka yang ada depan mata mereka ni, tak dapat gantikan tempat pembantu rumah saya sendiri! Waktu tu, hampir gugur jantung saya. Nak menangis pun ada!

Dipendekkan cerita, selesai bercuti kami semua pulang ke Malaysia dan esoknya kami jemput Bibik Ram pula di airport. Bayangkan betapa happy anak-anak saya terutamanya Baby. Jumpa saja dengan Bibik Ram, dia tak mahu lepas. Berkepit saja. Saya sedih, tapi bila tengok anak seronok saya jadi gembira.

Sedih Baca Karangan Anak

Suatu hari, terlintas saya nak check buku sekolah Rania. Bukan apa, saya tengok dia ralit menulis karangan lepas makan malam tadi. Jadi bila dia dah tidur, saya pun buka buka dia. Waktu ni, saya tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan saya.

Cikgu BM Rania minta anak murid menulis tentang ibu masing-masing. Bila baca karangan Rania, air mata saya mengalir deras. Permulaannya saja dah buat saya sedih sangat.

“Nama ibu saya Zurina. Dia seorang yang baik dan cantik. Tapi saya tak selalu jumpa dia, jadi saya tak tahu nak tulis apa-apa tentang ibu saya. Saya ada seorang ibu lain, namanya Bibik Ram. Dia bekerja di rumah saya…………..”

Dan seterusnya karangan itu semuanya menceritakan tentang Bibik Ram. Sedihnya hati saya. Anak saya lebih kenal dengan pembantu rumah kami berbanding ibunya sendiri.

Esoknya, saya ambil cuti separuh hari. Sebelum anak-anak balik, saya nak jumpa sendiri dengan Bibik Ram. Banyak yang ingin saya tanyakan padanya. Alhamdulillah, Bibik Ram banyak sedarkan saya. Rupa-rupanya memang dah lama saya dan suami abaikan anak-anak kami. Saya nekad, saya nak berubah!

Alhamdulillah, sekarang saya dah boleh bahagikan masa untuk bekerja dan bersama keluarga. Saya uruskan semuanya sendiri. Cuma ada pembantu rumah yang balik hari untuk tolong saya sikit-sikit. Sesibuk mana pun saya, saya akan pastikan saya akan masak untuk anak-anak.

Masih Berhubung Dengan Bibik Ram
Bibik Ram? Ini kisah 2 tahun lepas. Dia pun dah pulang ke Indonesia semula untuk menjaga orang tuanya. Awalnya susah juga nak berpisah, Baby sampai demam kerana rindukan dia. Tapi dah lama-lama, dia semakin mesra dengan saya. Hubungan kami dengan Bibik Ram pun masih baik. Ada masa, kami akan video call dengannya.
Mujurlah saya sempat tersedar sebelum semuanya terlewat. Terima kasih Bik, kamu buat saya ‘buka mata’. Kalau tidak, mungkin sampai sekarang saya masih sibuk kejarkan harta dunia semata-mata. Buat ibu di luar sana, sesibuk mana pun anda janganlah abaikan anak-anak. Mereka masih kecil, waktu inilah paling sesuai untuk habiskan masa dengan mereka. Jangan sampai terlambat, takut menyesal di kemudian hari.
Untuk anda yang mahu berkongsi kisah atau pengalaman yang menarik, bolehlah klik ke KONGSI CERITA.
Published by
Emy H