Sudah menjadi kebiasaan pada zaman sekarang di mana semua peringkat umur mempunyai akses yang mudah terhadap gajet, termasuklah kanak-kanak. Namun ia bukanlah sesuatu yang menyihatkan kerana kanak-kanak main gajet tanpa kawalan boleh mengundang ketagihan melampau. Ketagihan merupakan antara bahaya gajet yang ramai ibu bapa tidak sedar.
Pengalaman daripada Puan Nadia Salwa Roslan berkenaan bagaimana dirinya mengawal penggunaan gajet terhadap anaknya sehingga si kecil tidak lagi bergantung kepada gajet setiap hari boleh dijadikan panduan.
Menurut Puan Nadia Salwa, anaknya, Nur Muhammad Ahmad Nazrin, 6, merupakan seorang yang agak aktif, manja, pemalu dan dalam masa yang sama berimaginasi tinggi.
Sepanjang membesarkan Nur Muhammad, prosesnya boleh dikatakan agak mudah kerana anak sulungnya ini bukanlah jenis kanak-kanak yang mudah buat perangai.
Namun memandangkan anak ini juga mempunyai sifat yang manja dan agak pemalu, dia sukar untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan susah berenggang dengan si ibu.
Jadi tidak hairan jika Nur Muhammad boleh menangis sehingga sebulan lamanya setiap kali dihantar ke tadika.
Menurut Puan Nadia Salwa, kesedaran untuk mengawal penggunaan gajet terhadap anaknya telah lama timbul.
Ini kerana dia mengetahui bahawa bahaya gajet dengan penggunaan yang terlalu kerap atau lama sememangnya boleh mengganggu perkembangan kanak-kanak.
Tidak dinafikan bahawa anaknya akan diberikan peluang untuk menggunakan gajet setiap hari, namun ia bukanlah sepanjang masa.
“Dalam sehari mungkin Nur Muhammad akan diberikan peluang menggunakan gajet dalam dua hingga tiga kali sahaja selama 30 hingga 45 minit.”
Tambahnya lagi, kawalan terhadap penggunaan gajet ini tidak akan menjadi sukar jika kita sebagai ibu bapa memaklumkan peraturan penggunaan gajet lebih awal kepada anak agar mereka faham sebelum menggunakannya.
Ini 5 cara Puan Nadia Salwa gunakan untuk elak anaknya ketagihan gajet:
Antara tip-tip yang digunakan oleh Puan Nadia untuk mengelakkan bahaya gajet terhadap anaknya ialah:
#1. Kurangkan main gajet bagi kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah
Ads
Menurutnya, kanak-kanak yang berusia tiga tahun ke bawah tidak seharusnya diberikan peluang main gajet tanpa kawalan atau terlalu lama.
Ibu bapa perlu meminimumkan penggunaan gajet bagi kanak-kanak pada usia sebegini. Main gajet cukup sekadar sebagai hiburan tambahan sahaja, bukan sebagai alat hiburan utama.
#2. Letakkan syarat sebelum anak main gajet
Apabila anak sudah mula menginjak umur tiga tahun, mereka sudah mula boleh memahami apa yang kita katakan kepada mereka.
Oleh itu, ibu bapa boleh meletakkan syarat tertentu sebelum membenarkan anak menggunakan gajet.
Sebagai contoh, pastikan anak sudah solat, makan atau mengemas permainan mereka sebelum dibenarkan untuk menggunakan gajet.
#3. Tetapkan had masa anak menggunakan gajet
Selain itu, ibu bapa juga perlu memberikan peringatan awal kepada anak berkenaan tempoh masa penggunaan gajet.
Menurut Puan Nadia Salwa,
Ads
“Apabila sudah tiba 5 minit terakhir, ingatkan anak bahawa masa mereka untuk menggunakan gajet hanya tinggal 5 minit sahaja lagi. Dengan cara ini, anak akan menjadi lebih peka dan akan memberikan kerjasama dengan mudah untuk memulangkan semula gajet yang telah digunakan.”
#4. Terangkan bahaya gajet kepada anak
Penerangan berkenaan keburukan dan bahaya gajet kepada anak juga amat penting, agar dia tahu dan faham mengapa tidak boleh main gajet dengan kerap.
Sebagai contoh, anda boleh katakan kepada anak bahawa gajet boleh merosakkan mata jika mereka menggunakannya dalam tempoh masa yang terlalu lama.
Apabila mereka memahami keburukan gajet, insya-Allah anak-anak boleh menerimanya dan memberikan kerjasama.
#5. Pantau siaran atau kandungan gajet yang ditonton
Ibu bapa boleh menetapkan siaran-siaran tertentu yang bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak pada gajet agar mereka tidak menonton kandungan yang tidak sepatutnya.
Jika anak anda terlihat kandungan siaran yang tidak sesuai, jangan terus memarahi atau menengking mereka kerana anak masih lagi belum matang dan tidak memahami apa yang boleh atau tidak boleh untuk ditonton.
Ads
Ini adalah tugas ibu bapa untuk menerangkan kepada anak dengan sebaik mungkin agar mereka faham apa yang boleh ditonton dan apa yang tidak boleh.
Mood anak lebih gembira apabila kurang menggunakan gajet
Puan Nadia Salwa akui apabila Nur Muhammad tidak terlalu bergantung kepada gajet, anaknya itu akan lebih banyak melakukan aktiviti-aktiviti fizikal di rumah.
Selain itu, si kecil juga mempunyai lebih banyak masa untuk belajar sesuatu yang bermanfaat daripada buku-buku bacaan.
Bukan itu sahaja, mood anak ini juga lebih mudah menjadi gembira memandangkan dia menghabiskan lebih banyak masa berinteraksi dengan ibu bapanya berbanding bersama gajet.
Apabila mood anak-anak menjadi gembira, mereka akan lebih mudah mendengar kata dan tidak terlalu leka berbanding ketika menggunakan gajet.
Memandangkan Puan Nadia Salwa merupakan seorang suri rumah yang menjalankan perniagaan online, maka secara tidak langsung dirinya akan lebih banyak menggunakan telefon pintar atau tab.
Cabaran utamanya ialah, ibu ini sendiri perlu mengehadkan penggunaan telefon pintar di hadapan anak-anak agar ia menjadi contoh utama kepada si kecil.
Selain itu, dia sendiri perlu bersikap lebih tegas dan berdisiplin terhadap anaknya agar tidak dimanipulasi dengan pujuk rayu anak untuk menggunakan gajet.
Tak pernah tak sweet Datuk Fazley Yaakob dan isteri Datin Azrene Soraya Abdul Aziz. Hubungan mereka ini sentiasa nampak bahagian sejak di awal perkahwinan hinggalah selepas mendapat empat anak.
Ternyata kebahagiaan mereka itu menjadi contoh buat pasangan lain melayari rumah tangga serta mendidik anak.
Bagi penyanyi dan chef selebriti ini ramai yang memuji Fazley seorang suami yang mithali kerana sifat romantisnya dan bertanggungjawab pada isteri dan anak-anak.
Perkara itu dapat dilihat menerusi satu perkongsian di laman Instagram yang melayan isterinya, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz ketika berlangsung sebuah majlis.
Menurut Fazley, isterinya mengadu bahagian kasut yang dipakai tercabut di bahagian hadapan, tanpa berlengah, dia terus mencari cellophane tape dan menampal kasut isterinya itu.
“Hari itu semasa event, isteri saya @azrene_ahmad mengadu dekat saya bahagian depan kasut dia dah tercabut.
“Jadi bila dia berjalan, benda tu terkontang-kanting, dia kata “takpa abang, adik okay, tak malu pun kalau orang nampak.
“Tapi me being me, saya usahakan cari cellophane tape dan tampal, saya kata “adik tak perlu buka kasut, biar abang yang menyangkung buatkan,” tulisnya sebagai kapsyen.
Posting tersebut telah menerima pelbagai komen netizen dan rata-ratanya memberikan komen yang positif terhadap tindakan romantik Dr Fazley.
Panggilan Fazley untuk isteri dengan memanggil adik juga nampak sangat manja. Fazley juga akui, caranya melayan isteri bukan saja-saja tunjuk tapi untuk pastikan anak-anaknya tahu dan faham hargai orang yang kita sayang.
Walaupun anak-anak dah besar Fazley tak malu tunjuk sikap yang positif depan anak-anak. Biar semua itu akan jadi kenangan dan mereka pun akan faham dengan sendirinya.
Di ruangan komen, rata-rata netizen meninggalkan komen yang positif dan cara layanan Fazley pada isteri buatkan ramai yang kagum.
“Tak pernah tak sweet tau pasangan ni!
“Suami isteri yang humble dan sangat baik.
“Datin is so lucky!” tulis netizen.
Imbas kembali, Fazley dan isteri, Datin Azrene Ahmad mendirikan rumah tangga pada tahun 2007.
Mereka mempunyai tiga orang anak lelaki iaitu Ahmad Fariedz Shah, 11, Ahmad Fieradz Shah, 10, Ahmad Firudz Shah, 8 dan seorang anak perempuan, Alayna Selma, 2.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Masuk sahaja bulan Merdeka, ramai mak-mak mula tercari-cari pelbagai idea kreatif. Bukan sahaja untuk mempersiapkan anak dengan tema Merdeka bahkan tak kurang juga hasil kreatif mewarna tema merdeka.
Macam mana nak melukis 14 bucu bintang pada bendera Malaysia dengan cara paling pantas? Jangan bimbang! Ada cara mudah tau nak dapatkan bintang 14 bucu yang sama saiz dan bentuknya cantik seperti yang dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok bernama @herbbymall.
“Zaman sekolah dulu, korang lukis bintang ni ada rupa bintang tak? Ke tak jadi, serupa tahi bintang?,” tulis muat naik perkongsian tersebut.
Barang-barang yang diperlukan untuk melukis bintang tersebut sangatlah mudah. Antara barang utama yang digunakan adalah selotaip sebagai pengukur utama selain pensel, pembaris dan pemadam.
Lukis bulatan besar sebagai tanda panduan untuk diameter luar bintang yang akan dilukis nanti.
Kemudian lukis bulatan kecil menggunakan sellotape kecil atau penutup botol yang disediakan sebelum melukis tadi. Hasil lukisan dua bentuk bulatan tadi akan menghasilkan bentuk seperti donut.
Langkah seterusnya, buat garisan lurus di tengah-tengah bulatan serta tandakan X di tengah-tengah bulatan.
Kini anda boleh garis buat segi tiga bucu bintang di bulatan tengah yang kecil tadi sebagai penanda awal.
Selepas sudah dapat dua bucu, tambahkan enam lagi bucu di setiap sisi bulatan yang masih kosong. Enam bucu sebelah kiri dan enam bucu di sebelah kanan.
Pastikan setiap kali tanda bucu garisan, anda ikut titik pusat di tengah- tengah bulatan tersebut. Proses itu dibuat supaya bila sedang lukis, anda akan dapat bucu yang seimbang kiri dan kanan.
Selepas dapat titik yang ditanda sebagai bucu, anda boleh mula buat garisan segi tiga untuk setiap bucu. Cantumkan garisan di setiap bucu sehingga dapat bilangan 14 bucu seperti pada bendera Malaysia.
Apabila bintang sudah siap, kini anda boleh padam tanda-tanda yang dibuat bagi memudahkan proses melukis bintang tersebut.
Untuk buat bulan pula, anda juga boleh menggunakan sellotape besar tadi. Hanya perlu lukis separuh daripada sellotape besar tadi, ikuti langkah berkenaan sebanyak dua kali.
Mendirikan rumahtangga satu keputusan paling besar yang perlu dilakukan seumur hidup. Ini kerana ia merangkumi cara hidup dan masa depan buat selamanya.
Perkahwinan bukanlah sesuatu perkara yang remeh-temeh. Ia melibatkan dua insan yang bersetuju untuk sentiasa bersama tidak kira susah atau senang. Termasuklah saling membantu satu sama lain ketika menjaga amanah Allah, iaitu anak.
Namun, ada juga perkara yang sering menjadi perbincangan ramai iaitu suami lepas tangan urus rumah tangga dan anak-anak atas alasan keluar cari rezeki sehingga pasangan rasa stres dan terbeban.
Akibat daripada keadaan ini, ia penyebab utama kenapa isteri-isteri di luar sana cepat letih dan akan mudah melenting kepada anak-anak. Mereka penat dan tidak cukup tangan untuk melakukan kesemua benda seorang diri.
Berikut perkongsian dari Mohd Fhais yang suka menulis ilmu keibubapaan dan kekeluargaan.
Jangan biarkan pasangan kita rasa 5 perasaan ini walaupun dengan alasan mencari rezeki
1 – Rasa Tak Selamat
Setiap hari risau, takut dan stress. Ini tak baik untuk kesihatan. Wanita ni emosinya kuat, nak beri dia rasa selamat, lindungi dulu emosi dia. Jauhkan dia dari rasa sedih, marah, kecil hati dan penat.
2 – Rasa Tak Di Hargai
Ucapan terima kasih setiap hari sangat mudah di ucap tapi tak ramai yang buat kerana rasa ia tak penting. Terima kasih jaga rumah, terima kasih jaga anak, terima kasih jaga makan minum kita. Ucap je, dan anda akan rasa perubahan ketara pada isteri.
3 – Rasa Tak Di Fahami
Bila isteri ajak berborak tu tanda dia nak meluah. Diam, fokus dan dengar baik baik kerana dalam setiap patah yang keluar dari mulut isteri itu ada maksud tersirat. Fahami isteri, fahami rumahtangga.
4 – Rasa Sunyi
Seorang diri jaga anak, seorang diri buat kerja rumah, pergi ke kedai pun seorang diri. Lama-lama rasa sunyi ni boleh jadi racun dalam diri tau.
5 – Rasa Menyesal
Akhir sekali rasa menyesal! Parah dan membawa padah jika isteri rasa begini. Elakkan la selagi masih ada harapan.
Wallahu A’lam,
Sumber: Mohd Fhais
Susah sama-sama, gembira pun sama-sama. Baru adil.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Lain dari yang lain. Jika biasanya rombongan sekolah naik bas, lain pula kisahnya sebuah sekolah tadika di Kuantan yang membawa anak-anak muridnya menaiki kapal terbang untuk lawatan ke Kuala Lumpur.