Pergi umrah dengan bayi? Tak menyusahkan ke? Walaupun mencabar tapi tiada yang lebih manis melainkan kenangan mengerjakan umrah dengan membawa bayi bersama.
Cabaran memang ada bagi keluarga yang membawa anak kecil mengerjakan umrah namun keseronokan berada di Tanah Suci membuatkan sesiapa pun sabar menghadapi ujian tersebut.
Pengalaman manis yang dilalui oleh Nor Asmah ketika mengerjakan umrah bersama keluarga serta bayinya sangat-sangat manis untuk dikenang.
PENGALAMAN DAN TIP MENUNAIKAN IBADAH UMRAH BERSAMA ANAK KECIL
Alhamdullilah bulan Disember 2017 merupakan pengalaman yang paling indah dan manis dalam kehidupan kerana, Allah mengizinkan kami sekeluarga (suami,anak, adik beradik, makcik dan saudara-mara kami) telah pergi menunaikan ibadah umrah bersama-sama. Alhamdullillah perjalanan dengan lancar dan dipermudahkan.
Pengalaman membawa bayi untuk mengerjakan ibadah umrah merupakan pengalaman yang sangat manis walaupun ia merupakan cabaran buat kami.
Syukur pada Rabb kerana kami diberi peluang untuk sama-sama mengerjakan umrah bersama anak kecil dengan mudah. Dengan doa dan, alhamdulillah, Aqill tak banyak ragam sepanjang penerbangan dalam pesawat.
Muhammad Aqill Rayyan adalah anak pertama kami. Saya berniat untuk membawa Aqill bersama kami menunaikan ibadah umrah sekiranya ada rezeki.
Alhamdulillah, dalam usia Aqill genap 1 tahun, Allah izinkan kami membawa Aqill bersama. Sebelum pergi, saya banyak membaca blog-blog berkaitan dengan bayi.
Banyak maklumat yang diperolehi. Dengan sedikit pengalaman, saya ingin share kepada semua, apa yang perlu kita sediakan sebelum berangkat menunaikan umrah bagi yang membawa bayi atau anak kecil.
Saya sediakan 1 bag bagasi khas untuk Aqill dan satu beg belakang khas untuk Aqill di bawa ke mana-mana seperti dalam pesawat, masjid, membeli-belah dan ketika ziarah.
Di antara perkara penting yang perlu dibuat ialah ketika mula mendaftar umrah. Kalau boleh kita terus booking sekali “baby basinet”.
Baby basinet ini adalah katil baby yang dipasang di dinding di hadapan tempat duduk kita. Kebiasaanya mesti seat kita di hadapan sekali. Ini penting apabila bayi mula tidur dan kita boleh letakkan ke dalam basinet ni. Sekurang-kurangnya kita boleh rehat.
Perkara lain yang perlu diambil perhatian ialah pakaian bayi. Saya pergi bulan 12 (musim sejuk) di Haramain. Cuaca di Madinah lebih sejuk berbanding di Mekah. Sediakan pakaian panjang, seluar panjang, baju sejuk baby, sarung tangan dan stoking untuk bayi.
Saya bawa segala ubat- ubatan. Alhamdullilah Aqill sihat semasa di Madinah dan Mekah. Sentiasa berdoa dan berikan serta minumkan air zam-zam pada anak kecil sepanjang di Madinah dan mekah. Air zam-zam adalah ubat paling mujarab.
Jangan lupa bawak mainan anak dan download cerita yang anak suka tengok, ni penting bila dalam flight (9 jam) supaya anak tak boring. Makanan anak seperti coklat atau biskut perlu sentiasa ada. Contoh bila dalam flight, kat masjid, dalam bas dan lain-lain.
Carrier dan stroller dua-dua saya bawa. Tapi saya banyak guna carrier sebab Aqill tak nak duduk dalam stoller. Stroller tak boleh bawa masuk dalam Masjid Nabawi.
Sekiranya membawa stroller, hanya di luar masjid sahaja. Pengalaman saya, solat subuh di luar masjid kerana membawa Aqill dalam stroller yang sedang nyenyak tidur, suhu ketika itu teramat sejuk beserta dengan tiupan angin di Madinah, mujur saya persiapkan diri dengan lapisan baju tebal.
Tisu basah amat penting untuk dibawa ke mana-mana dan sediakan di dalam beg baby bersama ketika kita berada di dalam masjid, bas dan dalam pesawat. Bawa ikut keperluan.
Perlu membawa pampers yang mencukupi dan tahan dari kebocoran. Sediakan beberapa keping pampers di dalam bag baby untuk di bawa ke pesawat. Dan selebihnya saya letak di dalam bag bagasi khas untuk Aqill. Dinasihatkan ketika membuat tawaf dan saie serta sepanjang membuat umrah, hendaklah ditukar pampers bayi terlebih dahulu.
Aqill menyusu botol dengan susu formula. Saya bawa susu formula dengan secukupnya. Termos juga saya bawa untuk diletakkan di dalam beg kecil.
Cabaran
Membawa anak kecil, memang mencabar. Ketika di masjid, Aqill terlalu aktif dan berlari-lari ketika saya sedang solat dan pengalaman menjatuhkan kerusi jemaah ketika sedang solat.
Tetapi jangan sesekali kita merasakan susah dan marah anak, malah banyakkan berdoa supaya dipermudahkan segala urusan ketika melakukan ibadah.
Perbaiki niat dan sentiasa bersabar. Perbanyakkan doa agar kita dapat membuat Umrah dengan rahmat dari Allah. Alhamdulillah, Allah sentiasa permudahkan urusan umrah kami.
Allah izinkan Aqill untuk mengucup dan mencium kaabah (kiswah) dan tidak meragam ketika sedang membuat tawaf dan saie. Doakan kami sekeluarga sentiasa menjadi tetamu Mu ya Allah…
Sumber: Nor Asmah