Mula dikenali ketika menyertai sebuah rancangan realiti tidak lama dahulu. Orangnya cantik, berdarah kacukan Melayu dan Arab. Lufya Omar, berkongsi cerita tentang pengalaman menyusukan anaknya, Laana Haura Che Muhammad Hafiz yang kini berusia setahun lapan bulan.
Boleh Lufya kongsikan pengalaman melahirkan dan menyusukan Haura?
“Ketika hamilkan Haura, berat saya mencecah 80kg. Memang berat naik mendadak sebab saya banyak makan waktu mengandung tu. Saya bersalin di Pusat Perubatan Tropicana, Petaling Jaya. Alhamdulillah, saya berpeluang melahirkan Haura secara normal dengan beratnya ketika itu 3.39kg. Saya menunggu waktu bersalin tu lama sangat. Dalam sehari, bukaan hanya 1-3sm sahaja. Air ketuban dah keluar, jadi doktor terus bawa saya masuk ke bilik bersalin.
Artikel Menarik: [Walaupun Haid Tak Datang Masa Menyusu, tetap Boleh ‘Termengandung’. Hati-Hati Mama!]
Memandangkan suami saya seorang doktor, dia memang berniat untuk menyambut kelahiran anak kami sendiri. Dia teruja dan banyak beri sokongan sepanjang proses kelahiran. Yang buat saya lebih terharu adalah momen ketika dia sendiri yang memotong tali pusat Haura ketika itu. Sesungguhnya pengalaman Haura ni sesuatu yang teristimewa buat saya dan suami.
Pada awalnya memang saya tidak pandai menyusukan Haura. Maklumlah kali pertama menjadi seorang ibu. Kesukarannya ketika itu adalah dia menolak untuk menghisap susu badan. Haura hanya melekap sekejap sahaja, kemudian dia berhenti. Susu lambat keluar, jadi dia marah. Untuk mengalakkan penghasilan susu badan, saya amalkan minum susu yang dicampurkan dengan kurma dan badam. Sempat jugalah Haura merasa susu badan saya secara ekslusif selama beberapa bulan.
Artikel menarik: [Bayi Hanya Perlukan 7 Mainan Ini. Tak Payah Membazir Beli Yang Tak Perlu]
Buat para ibu yang menyusukan anak, teruskan usaha anda. Saya bersetuju susu ibu adalah yang terbaik untuk anak-anak kerana ia membekalkan nutrien yang cukup, menguatkan sistem imun dan buat anak-anak cepat sembuh dari penyakit kuning. Menakjubkan, susu ibu ni memang tinggi khasiatnya kerana ia juga baik untuk anak-anak yang ada alahan atau ekzema.”
Boleh Lufya kongsikan apa makanan kegemaran Haura?
“Apa yang boleh saya katakan, Haura ni tak cerewet. Dia seorang pemakan. Saya masak sendiri untuknya di rumah. Kegemaran Haura cukup ringkas, nasi putih bersala telur dan kicap. Ataupun nasi putih dengan ikan goreng. Selain itu, Haura sukakan nasi ayam.
Bagi memastikan Haura mendapat nutrisi yang secukupnya, saya berikan dia susu kambing. Dia sangat sukakan rasa susu kambing. Selain nasi, Haura juga suka makan telur putih yang direbus, madu, kurma dan keju.”