Kehamilan

Menimang Cahaya Mata Kedua Tak Sama Macam Anak Sulung. Bersediakah Anda?

Share

Kami ingin bertanya kepada anda, adakah anda mempunyai perancangan atau impian untuk membentuk pasukan bola sepak daripada anak-anak anda sahaja? Berapakah jumlah ‘pemain’ yang ingin anda hasilkan? Perancangan memiliki ramai anak sememangnya kelihatan mudah, tetapi anda belum tentu bersedia dengan sebarang kemungkinan sehinggalah anda memiliki anak yang kedua dalam keluaraga. Apakah cabaran yang sering dialami oleh ibu bapa apabila anak kedua telah dilahirkan?

Reaksi anak pertama anda

Anak pertama anda mungkin akan menunjukkan beberapa perubahan kelakuan disebabkan oleh kelahiran adiknya yang baharu. Sebagai ibu bapa, anda tidak perlu memberikan terlalu banyak perhatian terhadap kelakuannya, tetapi ambil sedikit masa untuk bercakap dengannya. Anak pertama anda mungkin akan memberikan reaksi dengan cara memicit-micit lengan anak kedua atau mungkin juga mencucuk matanya. Katakan kepada anak pertama anda secara lembut bahawa perbuatan tersebut tidak boleh dilakukan. Galakkan anak pertama anda berinteraksi dengan anak kedua dengan cara yang lebih baik yang ditunjukkan oleh anda.

Masa bersama dengan anak

Jika dahulu, anda hanya menghabiskan masa melayan kehendak anak pertama anda, tetapi kini tidak lagi. Anda mempunyai tanggungjawab untuk membahagikan masa dengan baik untuk kedua-dua anak anda. Ketika mana anda sedang menyuapkan makanan kepada anak pertama anda, anak kedua anda pula merengek meminta untuk disusukan. Anda perlu bijak untuk menangani situasi yang berlaku. Mungkin anda boleh meminta saudara terekat untuk menjaga anak pertama anda sementara anda menyusukan anak kedua.

Waktu napping

Kedua-dua anak anda pasti akan mempunyai waktu nap mereka pada waktu tengah hari. Pada ketika ini, anda boleh menenangkan diri anda sebentar ketika mereka sedang tidur. Walau bagaimanapun, waktu nap juga mempunyai cabarannya yang tersendiri. Anda akan mempunyai kesukaran untuk merancang sebarang aktiviti dan keluar dari rumah. Begitu juga sekiranya salah seorang daripada mereka terjaga daripada tidur dan merengek. Rengekan yang kuat pasti akan mengejutkan anak anda yang lain daripada tidurnya.

Keluar dari rumah

Sekiranya anda rasa bahawa keluar dengan seorang bayi sudah cukup sukar, anda belum tentu dapat membayangkan bagaimana untuk keluar dari rumah bersama dua orang anak. Anda memerlukan lebih banyak masa untuk bersiap dan mempersiapkan kedua-dua anak anda. Selain itu, trip yang jauh amatlah tidak sesuai sekiranya kedua-dua anak anda masih kecil. Apatah lagi sekiranya anda perlu bersedia untuk menukar lampin dan memberi makan keduanya semasa anda dalam perjalanan.

Waktu tidur anda

Anda menidurkan kedua-dua anak anda pada waktu malam, tetapi belum pasti anda akan turut tidur dengan nyenyak pada malam tersebut. Bayi kedua anda mungkin akan mudah terjaga pada waktu tengah malam disebabkan oleh kelaparan atau ketidakselesaan yang berpunca daripada lampin. Anda tidak mempunyai sebarang pilihan selain daripada bangun tidur dan menyusukan bayi anda.

Jangan pernah menganggap setiap kelahiran baharu itu sebagai beban kepada anda. Sekiranya tidak diuji dengan kelahiran baharu, bagaimana anda boleh mengetahui tahap kemahiran anda dalam pengurusan anak dan rumah tangga? Oleh itu, anggaplah kelahiran baharu ini sebagai satu landasan untuk anda mengasah kemahiran anda untuk menjadi lebih cekap, fokus dan efektif dalam melakukan sesuatu perkara.

Published by
NuFa