Menu Pantang Tak Pernah Membosankan, 8 Resipi Berpantang Buat Ibu Turun Berat Lebih Cepat!

Share

Siapa kata makanan berpantang membosankan dan tidak sedap seperti makanan yang kita ambil setiap hari? Menu berpantang sememangnya dihasilkan daripada menu-menu terpilih malah merupakan menu yang sihat dan segar buat ibu yang baru melahirkan anak.

Soal bosan, tidak pedas dan tidak berempah bukan alasan. Jika kita bijak mevariasikan gabungan dalam menu, makanan berpantang selama 44 hari ini menjadi menu yang bakal dirindui selepas habis tempoh berpantang. Tak gitu?

Selain perlukan makanan untuk membekalkan susu buat bayi, makanan juga menjadi penyumbang untuk ibu kembali menjadi sihat dan cergas selepas kehabisan tenaga yang banyak ketika bersalin. Jadi ibu perlu makan lebih dengan berselera. Namun awas jangan terlebih, berat badan anda bakal naik!

Bagi memastikan berat turun lebih pantas, elakkan sama sekali minyak dalam tumisan anda. Lebihkan menu rebus dan panggang serta menu ringkas. Resipi hebat buat anda seperti di bawah:


IKAN SELAR SINGGANG

Bahan-bahan:
2 ekor ikan kelar
2 biji bawang merah -dihiris
2 ulas bawang putih -dihiris
1 batang serai -diketuk
½ inci lengkuas -diketuk
Sedikit garam
Sedikit serbuk kunyit

Cara Memasak:
1. Didihkan air dalam periuk bersama serbuk kunyit, bahan hirisan, serai dan lengkuas.
2. Masukkan ikan dan perasakan dengan garam secukup rasa.
3. Biarkan masak dan angkat.

LOBAK PUTIH TUMIS KERING

Bahan-bahan:
1 biji lobak putih -dihiris nipis
2 biji bawang kecil
2 ulas bawang putih
Sedikit halia
Segenggam ikan bilis
Garam secukup rasa

Cara Memasak:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia.
2. Masukkan ikan bilis dan biarkan masak seketika.
3. Masukkan lobak merah dan biarkan masak sekejap.
4. Perasakan dengan garam dan angkat.


ROTI PITA TUNA
Bahan-bahan:
4 keping roti pita
1 tin kecil ikan tuna
1 biji bawang merah -dicincang halus
2 helai daun salad
4 keping hirisan tomato
Secubit serbuk lada hitam
Sedikit perahan limau nipis
Mayonise secukup rasa

Cara Memasak:
1. Roti pita dibakar di atas gril sehingga menjadi cukup panas. Kemudian angkat dan potong dua.
2. Isikan setiap poket dengan sehelai daun salad dan kepingan tomato.
3. Gaulkan isi tuna bersama bawang merah, serbuk lada hitam mayones dan perahan limau nipis sehingga sebati.
4. Isikan inti tuna ini secukupnya ke dalam roti pita. Sedia dihidang.

SUP IKAN HARUAN
Bahan-bahan:
1 ekor ikan haruan -saiz kecil
2 biji bawang kecil -dihiris
2 ulas bawang merah -dihiris
½ inci halia -dihiris
1 batang serai
2 keping asam keping
1 biji cili merah
1 biji tomato
Garam dan air secukupnya

Cara Memasak:
1. Didihkan bahan hiris bersama serai yang diketuk.
2. Masukkan ikan dan biarkan masak seketika.
3. Masukkan asam keping, tomato dan cili merah serta perasakan dengan garam.
4. Apabila mendidih, angkat dan hidangkan bersama nasi panas.

SAWI TUMIS AIR
Bahan-bahan:
Sawi secukupnya
2 biji bawang merah -dihiris
2 ulas bawang putih -dihiris
1 biji cili merah -dihiris
Minyak dan garam secukup rasa
Sedikit air

Cara Memasak:
1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang merah dan bawang putih hingga kekuningan.
2. Masukkan cili merah dan biarkan masak sekejap.
3. Masukkan sayur bersama air dan perasakan dengan garam secukupnya.
4. Biarkan masak sekejap dan angkat.

BUBUR NASI HALIA
Bahan-bahan:
½ cawan beras
Sedikit garam
½ inci halia -dihiris nipis dan digoreng
Air secukupnya

Cara Memasak:
1. Basuh beras bersih.
2. Biarkan dimasak lama hingga menjadi bubur.
3. Tambah air sedikit demi sedikit dan biarkan dimasak lagi hingga pekat.
4. Hidangkan bersama halia yang siap digoreng.

BOTOK ULAM IKAN TENGGIRI

Bahan-bahan:
4 keping ikan tenggiri
8 helai daun betik
2 helai daun kunyit
4 helai daun cekur
1 sudu makan air asam jawa
Sedikit santan
Garam secukup rasa

Bahan B:
4 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
1 batang serai
1 ½ sudu teh rempah kari

Cara Memasak:
1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan B hingga garing.
2. Kemudian masukkan sedikit santan, air asam jawa dan garam secukupnya. Biarkan masak hingga sedikit pekat.
3. Angkat dan sejukkan.
4. Ambil daun pisang, susun daun-daun dan letakkan rempah yang siap dimasak dan letakkan ikan tenggiri.
5. Letakkan lagi daun dan kukus hingga masak.

IKAN SELAR BAKAR DAN AIR ASAM

Bahan-bahan:
1 ekor ikan selar
Serbuk kunyit dan garam

Bahan Air Asam:
2 biji cili padi
½ biji cili merah
1 biji bawang merah
Air asam secukupnya
Garam secukupnya
Sedikit belacan

Cara Memasak:
1. Gaulkan ikan selar bersama garam dan serbuk kunyit kemudian bakar hingga masak.
2. Untuk penyediaan air asam pula, satukan kesemua bahan dan gaul sebati.
3. Hidangkan bersama ikan bakar dan nasi panas.

Published by
SRM