Ramai ibu yang mengeluh anak makan banyak tapi berat tak naik-naik. Adakah anak mempunyai masalah penghadaman dan sebagainya. Tapi ibu kurang mengambil tahu carta pengambilan makanan dan diet harian yang seimbang untuk anak-anak yang betul.
“Anak saya makan banyak. Tetapi berat susah nak naik.”
Ini adalah pernyataan kebanyakan ibu ayah apabila berjumpa saya atau lewat PM mereka pada saya. Apabila ditanya contoh pengambilan makan dan diet harian, kebanyakan anak-anak tidak mendapat protein yang cukup di dalam diet harian.
Seekor ikan sehari sahaja.
Sebiji telur sekali sahaja sehari.
Ayam secubit dua setiap kali makan.
Pengambilan lauk yang terlalu sedikit akan mempengaruhi status pemakanan anak. Darah merahnya rendah. Beratnya tidak naik. Anak sentiasa lapar dan cepat tantrum. Protein bertindak untuk mengenyangkan kerana memerlukan masa yang lebih lama untuk dihadamkan.
Bagaimana memastikan anak mengambil protein yang mencukupi untuk keperluan hariannya?
Cuba lihat kembali kepada jumlah pengambilan lauk pauk yang diambilnya. Adakah mencukupi?
Lihat kembali kepada infografik di bawah.
Mengikut Malaydia Dietary Guidelines, anak berumur 3 tahun memerlukan separuh hidangan ayam, separuh hidangan ikan, separuh hidangan legume dan dua hidangan susu sehari.
Ini adalah jumlah hidangan yang sepatutnya diambil untuk anak-anak yang mempunyai berat badan yang normal dan sihat. Sekiranya anak mempunyai masalah kenaikan berat badan, seharusnya pengambilan protein adalah lebih lagi daripada jumlah ini.
Tujuan saranan mempelbagaikan pilihan makanan antara ikan, ayam dan legume kerana setiap satunya mempunyai zat yang pelbagai dan tidak sama antara satunya.
Ikan misalnya mempunyai Omega 3. Ayam mempunyai zat besi. Begitu juga daging. Kaya dengan zat besi dan vitamin B. Legume pula selain kaya dengan serat turut mempunyai pelbagai jenis mineral dan vitamin diperlukan tubuh.
Mengambil ayam sahaja menyebabkan anak kekurangan vitamin B, calcium, selenium dan fosforus yang boleh diperolehi daripada ikan dan makanan laut.
Jadikan setiap hidangan makan anak adalah berbeza pilihan lauk sebolehnya.
Satu hidangan ayam untuk tengahari, satu hidangan ikan untuk malam dan satu hidangan legume misalannya di sebelah pagi.
Infografik ini menunjukkan jumlah pengambilan untuk satu hidangan lauk pauk yang mempunyai 14g protein.
Sekiranya menurut saranan, pengambilan hanyalah 1/2 hidangan sahaja sehari bermaksud hanya 7g protein sahaja diperlukan untuk setiap jenis makanan. Atau separuh daripada jumlah hidangan di atas.
Sama juga dengan jumlah hidangan untuk daging dan ayam. Kebiasannya anak usia 1-3 tidak suka makan ayam atau daging kerana perlu dikunyah dan sedikit liat. Adakala ibu ayah yang jarang memberikan daging di dalam hidangan anak seharian.
Apa yang boleh dibuat sekiranya anak tidak mahu makan isi ayam atau hanya kunyah ayam dan kemudian meluahkannya kembali?
Ayam atau daging boleh dikisarkan dan dicampurkan ke dalam makanan atau sup untuk dihirup anak. Pastikan setiap hidangan yang diambil mestilah mencukupi saiz hidangannya.
Sekiranya hidangan mee atau bihun atau pasta dan sebagainya, ambil sesenduk mee sesuai untuk pengambilan anak sahaja. Pecahkan sebiji telur dan gaulkan bersama hidangan tadi. Bukan bersama hidangan untuk seisi keluarga. Ini akan menggalakkan anak mengambil protein dengan mencukupi.
Sumber: Ruqqyah Muhd