
Selamat menyambut puteri tersayangnya pada 20 Mei lalu, Elfira Loy yang kini sedang berpantang mengakui agak mencabar menyusukan anak keduanya.
Mana tidaknya, kongsi ibu cantik manis ini, bayi perempuan yang masih belum dikongsikan nama ini minum susu setiap satu jam dan perbezaan masa juga membuatkan ia semakin sukar kata Elfira.

Menerusi Insta Storynya, Elfira berkongsi cerita.
“Dulu tak terasa sangat susahya nak breastfeed ni sebab sempat rest.
“Sekarang rasa macam berat sangat because the timing is different. Her demand is every hour feeding and each time mesti satu jam,” kongsinya menerusi Insta Story.

Malah kata Elfira lagi, dia kini juga mengalami masalah sakit pinggang hingga membuatkannya terfikir untuk menyusukan anak sambil berdiri.
Pun begitu kata Elfira, keadaannya baik-baik sahaja dan kini beransur pulih.

“Maybe because this is my second pregnancy, lain macam sakit pinggang dia. Macam nak direct feed sambil diri je better.
“Pastu cemanalah korang direct feed sambil nipple crack. Ya Allah subhanaallah.

“Memang mintak doa jelah Allah kurangkan kesakitan ni. But dont worry alhamdulillah i am better now.
“Apapun i have to take it easy kan. Kena take care of myself too,” kongsinya.

Semoga tempoh berpantang ibu cantik manis ini dipermudahkan bersama kedua anaknya. Seronok melihat perkongsian anak sulung Elfira yang memangku adiknya. Comel!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Alahan Teruk Di Awal Trimester Mengandung, Rupanya Ini Puncanya!

Kenapa rasa mual semasa mengandung? Apa agaknya pelbagai alahan lain seperti muntah dan pening-pening kepala ini berlalu.
Punca sebenarnya mual atau morning sickness masih belum dapat ditentukan. Namun, perubahan hormon mungkin memainkan peranan penting.
Tahap estrogen
Peningkatan tahap hormon estrogen di dalam badan boleh menyumbang kepada mual pagi. Namun masih belum ada kajian untuk mengesahkannya.
Tahap progesteron
Bagi wanita hamil, tahap hormon progesteron juga meningkat. Ini melegakan otot rahim dan mencegah kelahiran awal.
Pun begitu, ia boleh mengendurkan perut dan usus, mengakibatkan asid perut berlebihan dan penyakit refluks gastroesophageal atau asid refluks.

Punca Alahan Mengandung Teruk
Human chorionic gonadotropin
Tahap hormon human chorionic gonadotropin (hCG) juga meningkat dan boleh menyebabkan muntah. Ia disebabkan perkembangan embrio yang menghasilkan hormon ini sebaik sahaja persenyawaan berlaku.
Tahap hCG akan memuncak sekitar minggu ke 9-12 kehamilan, secara tidak langsung akan menyumbang kepada peningkatan loya dan muntah.
Rehat cukup
Keletihan merupakan perkara biasa semasa berbadan dua dan ia boleh memburukkan lagi rasa mual.
Walaupun punca keletihan dan loya ketika hamil masih tidak dapat ditentukan, namun ibu disarankan untuk berehat dan mendapat tidur mencukupi.

Ambil cecair
ibu amat dinasihatkan untuk kerap meminum air dalam kuantiti kecil. Ini boleh membantu mengurangkan loya dan muntah.
Anda boleh menggantikan dengan kiub ais berperisa buah seperti tembikai jika mengalami kesukaran untuk minum air kosong.
Pemakanan
Mengambil makanan dalam kuantiti kecil tetapi kerap juga merupakan salah satu cara hilangkan alahan mengandung yang berkesan. Anda juga boleh memasukkan halia dalam soda atau teh, biskut atau lozeng berperisa halia untuk mengurangkan loya.
Snek kurangkan simptom alahan
Pada waktu pagi, makan beberapa kraker atau roti bakar kering. Kerap mengunyah melalui pengambilan snek berbanding hanya mengambil tiga hidangan utama yang besar boleh mengatasi rasa mual dan mencegah perut kosong.
Berkumur
Asid daripada perut boleh merosakkan enamel pada gigi. Jika boleh bilas mulut dengan secawan air dicampur dengan sesudu teh baking soda, yang berfungsi melindungi gigi anda.

Elakkan pencetus
Sesetengah bau, rasa atau kedua-duanya boleh mencetuskan mual pagi. Mengenal pasti dan mengelakkan pencetus boleh membantu anda mengurangkan kekerapan dan keterukan loya dan muntah.
Ubat alternatif
Pelbagai ubat hilangkan mual mengandung boleh membantu mengatasi morning sickness seperti:
Akutekanan – Terdapat gelang acupressure boleh didapati tanpa preskripsi di kebanyakan farmasi. Bagi sesetengah individu penggunaan gelang ini dapat membantu mengatasi loya
Aromaterapi – Walaupun hanya sedikit penyelidikan dilakukan, namun terdapat aroma tertentu menggunakan minyak pati boleh membantu sesetengah individu mengatasi mual pagi
Vitamin B6 – Pengambilan vitamin tambahan ini selain vitamin pranatal dikatakan dapat mengurangkan gejala mual pagi bagi sesetengah ibu hamil.
Menarik: Uqasha Senrose Tayang Wajah Anak Selepas Dua Bulan, “Comelnya Macam Ibu”?
Majlis Aqiqah & Kesyukuran Anak Kamal Adli, Uqasha Meriah, Cantik Serba Merah Jambu
Dato Siti Nurhaliza Tak Fokus Hamil Lagi, Mahu Jaga Kesihatan, “Dulu Ada Masalah Uri Melekat”

Wow best giler! Inilah peluang untuk semua followers Pa&Ma dan Pn Nad Masrom bersama rakan-rakan menyambut MINGGU PENYUSUAN SEDUNIA bersama-sama di WEBINAR PENYUSUAN – SYOKNYA SUSUKAN ANAK!
Tunjukkan kuasa ibu menyusu mampu gegarkan webinar ini dengan kehadiran seramai yang boleh. Sambil-sambil itu kita tambah lagi ilmu penyusuan.
Bukan itu sahaja ya, ada banyak hadiah cabutan menarik kita sediakan. Antaranya, baucar penginapan 2H 1M di hotel best, pam susu elektrik serta banyak lagi.
Rugi kalau tak join, penyertaan percuma! Daftar sekarang dengan klik saja di sini 👇🏼https://docs.google.com/forms/d/1ri7TZR7G3fyj2GXVQDHoBaEyhUkdGoF3KZZJt18GmEQ/edit?usp=forms_home&ths=true
Dah daftar terus join Grup Telegram di bawah 👇🏻
https://t.me/+t5RGPHBUsBQ4NTU1 untuk kita kongsikan segala info dan link Webinar!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Terkena Jangkitan Kuman Dalam Darah & Radang Peparu, Anak Bawah 5 Tahun Boleh Maut!

Meningitis, radang paru-paru, jangkitan kuman dalam darah, sinusitis & jangkitan telinga adalah antara penyakit-penyakit yang boleh menjangkiti kanak-kanak dan bayi. Perkongsian doktor ini amat bermanfaat untuk menanganinya.
Dr Syahr Musafir berkongsi mengenai bahayanya serangan bakteria streptococcus pneumoniae yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti meningitis, radang paru-paru, jangkitan kuman dalam darah, sinusitis & jangkitan telinga. Malah lebih teruk lagi ia boleh menyebabkan kecacatan sekiranya.

Tindakan ibu bapa memberikan anak suntikan vaksin pneumococcal berupaya mengurangkan risiko kesan dan komplikasi yang mungkin terjadi seperti kecacatan kekal (pekak, kerosakan otak, atau kehilangan tangan atau kaki) atau kematian. berikut ialah perkongsian beliau;
Esok nak masuk tahun baru 2019, sudah pasti ramai yang menyusun-nyusun azam baru. Buat para ibu bapa, saya nak kongsi vaksin pneumococcal (Pneumococcal Vaccine). Manalah tahu boleh dijadikan sebagai salah satu AZAM 2019.

Penyakit pneumokokus adalah jangkitan yang disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai Streptococcus pneumoniae yang menjangkiti orang dewasa dan kanak-kanak. Tetapi lebih berisiko kepada kanak-kanak dan orang tua.
Bakteria ini boleh membawa pelbagai jenis jangkitan termasuk jangkitan paru-paru / peradangan (radang paru-paru), meningitis (keradangan membran yang mengelilingi saraf tunjang atau otak), sepsis (jangkitan dalam darah), sinusitis (jangkitan sinus) dan otitis media (jangkitan telinga bahagian tengah).
Kalau tak silap, tahun ini ada viral kes meningitis yang melibatkan kanak-kanak.
SERANGANNYA BOLEH MENYEBABKAN KECACATAN KEKAL & KEMATIAN
Terdapat banyak jenis strain (jenis) Streptococcus pneumoniae (sekitar 90 jenis atau serotaip) tetapi hanya minoriti strain (kira-kira 20 serotaip) menyebabkan penyakit pneumokokus. Majoriti jangkitan ini serius dan memerlukan rawatan di hospital, kecacatan kekal (pekak, kerosakan otak, atau kehilangan tangan atau kaki) atau kematian.
Pada tahun 2008, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization (WHO)) menganggarkan bahawa daripada 8.8juta kematian tahunan di seluruh dunia dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun, 476000 kematian adalah disebabkan oleh jangkitan pneumokokal. Kadar kematian dan penyakit adalah lebih tinggi di negara-negara membangun dengan majoriti kematian yang dilaporkan di Afrika dan Asia.

WALAU PUN ANTIBIOTIK BOLEH MENGUBATI, VAKSIN PILIHAN TERBAIK
Walaupun rawatan antibiotik untuk penyakit pneumokokus boleh didapati, beberapa jenis bakteria ini ‘lebih kuat’ berbanding antibiotik. Maksudnya, antibiotik tak mampu menyelesaikan jangkitan bakteria.
Memandangkan penyakit pneumokokus adalah penyakit yang boleh dielakkan dengan pengambilan vaksin, vaksinasi adalah pilihan terbaik. Di Malaysia, penyakit pneumokokus adalah salah satu daripada penyakit yang boleh dielakkan melalui vaksin untuk membantu melindungi daripada penyakit serius, komplikasi dan menyelamatkan nyawa.
Vaksin ini mencegah penyakit. Antibiotik itu mengubati. Mencegah lebih baik daripada mengubati.
CARA PEREBAKAN BAKTERIA STREPTOCOCCUS PNEUMONIAE
Streptococcus pneumoniae boleh tersebar dengan mudah melalui permukaan yang dijangkiti, dan daripada orang ke orang apabila terdapat hubungan langsung atau melalui titisan, contohnya apabila orang yang dijangkiti bersin atau batuk. Bukan semua orang yang telah terdedah kepada bakteria, akan mengalami gejala penyakit pneumokokus.
Sesetengah orang membawa Streptococcus pneumoniae (biasanya dalam hidung dan tekak) tanpa menunjukkan tanda-tanda gejala penyakit itu sendiri tetapi boleh menyebarkannya kepada individu yang tidak dijangkiti.
Kanak-kanak sangat terdedah kepada jangkitan tersebut. Maka, vaksin memberi perlindungan terhadap risiko ini. Terutama anak-anak yang bersekolah, bersukan, aktiviti outdoor malah anak-anak yang ditinggalkan di pusat/rumah asuhan, nurseri dan sebagainya.
VAKSIN PNEUMOCOCCAL
Pada masa ini terdapat dua jenis vaksin pneumokokus: vaksin polysaccharide pneumokokus (pneumococcal polysaccharide vaccine) dan vaksin konjugasi pneumokokus (pneumococcal conjugate vaccine). Untuk kanak-kanak dan orang normal (kurang dari 65 tahun) yang tiada risiko tinggi jangkitan kerana masalah imunisasi tersensitif, mendapatkan vaksin konjugasi pneumokokus (pneumococcal conjugate vaccine) sudah cukup bagus.
Vaksin konjugasi pneumokokus (pneumococcal conjugate vaccine) pula ada dua jenis:
(1) Prevenar13, yang melindungi daripada 13 jenis serotaip bakteria.
(2) Synflorix, yang melindungi daripada 10 jenis bakteria Streptococcus pneumoniae.

VAKSIN PNEUMOCOCCAL INI ADALAH INISIATIF SENDIRI
Anak-anak kami, Along ST (7 tahun 5 bulan) dan Angah IY (5 tahun 2 bulan) mendapat vaksin ini secara percuma di Australia kerana perlindungan insurans – diberikan secara 3 dos berkala sebelum umur 2 tahun.
Namun di Malaysia, vaksin ini tidak tersenarai dalam vaksinasi percuma. Mungkin salah satu sebabnya adalah vaksin ini berkos tinggi dan masih tidak berisiko tinggi. Di Australia, caj yang dikenakan adalah AUD$380 hingga $450 untuk 1 suntikan vaksin ini jika bukan rakyat Australia yang tiada perlindungan insurans.
Jadi, untuk anak-anak kami yang lahir di Malaysia, perlu dapatkan vaksinasi ini melalui inisiatif sendiri.
HARGA & DOS VAKSIN UNTUK KANAK-KANAK
Saya survey harganya dalam range RM270 hingga RM350 untuk Prevenar13, dan RM230 hingga RM280 bagi Synflorix. Saya mendapatkan khidmat vaksinasi ini di sebuah klinik swasta di Kota Bharu, dengan harga RM270 untuk Prevenar13 (Kena PM kalau nak tahu klinik mana) untuk anak ke-3 kami, Aboy HE (2 tahun). Tahun lepas RM250, tahun ni naik harga dah.
Jika tak silap saya, di Selangor, boleh dapatkan vaksinasi ini di hospital/klinik kerajaan dengan bayaran RM230 (Synflorix). RM230 ni kira murah sangat dah ni.
Untuk anak bawah 2 tahun, perlu pergi ke klinik 2 hingga 3 kali kerana suntikan vaksin ini dos berkala bagi anak berusia kurang 2 tahun. Tetapi apabila menjangkau 2 tahun, hanya 1 dos (1 suntikan) sahaja.
UNTUK ANAK 2 TAHUN KE BAWAH PERLU DOS BERKALA

Kalau nak mudah, boleh buat macam saya ni, pergi bila anak sudah berumur 2 tahun untuk 1 kali suntikan sahaja. Tetapi risikonya anak tiada perlindungan vaksin sebelum berumur 2 tahun. Ada risiko di situ, yang tak patut diambil tetapi diambil sebab kos. Saya ambil risiko ini sebab anak-anak saya dijaga sendiri oleh isteri saya di rumah, tidak dihantar ke pengasuh dan sebagainya.
Saya sekadar berkongsi, para ibu bapa boleh jadikan azam tahun 2019 untuk vaksinkan anak-anak secara tambahan. Boleh menabung RM25 setiap bulan supaya dapat kumpul RM300 pada bulan Disember 2019, boleh pergi suntikkan anak dengan vaksin ini penghujung tahun 2019. RM300 itu masih berbaki, boleh beli aiskrim. Heheh. Berbaloi.
Saya pula, dapat gaji bulan Januari nanti, akan mula asingkan RM15 menabung bagi tujuan vaksinasi ini, untuk anak ke-4 kami, Adik AL (1 bulan 24 hari), supaya cukup RM300 pada Disember 2020 (ketika umur 2 tahun). InsyaAllah.
Sumber: Syahr Musafir
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jalan Dah Buka 5cm Pun, Tetap Kena Solat. Sebelum ‘Berjuang’ Doa Banyak-Banyak

Ramai ibu yang sedang menunggu masa untuk melahirkan anak ‘terlupa’ untuk solat. Sedangkan selagi bayi belum keluar, diwajibkan untuk melaksanakan rukun Islam ini. Namun ada yang terlepas pandang dan menganggap bila kontraksi dan bukaan dah ada bermakna solat itu tak perlu.
Sedangkan waktu kita menunggu untuk ‘berjuang’ antara hidup dan mati inilah sepatutnya dilakukan dulu selain minta doa banyak-banyak agar Allah permudahkan semuanya.
Seperti yang dikongsikan oleh Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat , sebelum melahirkan bayi, ibu tetap wajib menunaikan solat. Begitu juga dalam perkongsian di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang turut menjelaskan hukum sebenar mengenai hal ini.




Soalan:
Apakah hukum bagi wanita yang keluar darah bercampur lendir beberapa hari sebelum bersalin? Adakah dia perlu mandi wajib dan bersolat? Bagaimana pula sekiranya air ketuban keluar secara berterusan sebelum bersalin?
Jawapan:
Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الله إليه الملك، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Hadis di atas menerangkan tentang proses kejadian manusia mengikut peringkat-peringkat tertentu di dalam rahim ibu sehinggalah proses kelahiran. Pakar perubatan mengatakan antara tanda-tanda awal proses kelahiran ialah keluar lendir bercampur darah keluar dari faraj, pecah air ketuban, sakit semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang. Rujuk: www.myhealth.gov.my
Berdasarkan persoalan di atas, apakah hukum lendir bercampur darah dan air ketuban yang keluar sebelum proses kelahiran ini?
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita
Ulama’ membahagikan darah yang keluar daripada faraj wanita kepada beberapa kategori, di antaranya:
Pertama: Haid
Darah haid ialah darah tabi’e (semula jadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan yakni darah itu keluar daripada rahim yang terletak di bahagian bawah saluran kencingnya semasa waktu sihatnya dan ia keluar pada hari-hari haid iaitu dalam tempoh haid selepas dia mencapai peringkat umur baligh. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 36).

Kedua: Nifas
Darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan ssetelah kosongnya rahim tersebut (tempat peranakan) daripada janin atau ketulan darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin, yakni walaupun yang keluar daripada tempat peranakan itu ialah ketulan darah (alaqah) atau ketulan daging (mudghah). (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Izalah al-Iltibas, hlm.803).
Ketiga: Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar daripada azal (hujung urat) yang berada di bawah rahim selepas tempoh sebanyak-banyak haid dan selepas tempoh sebanyak-banyak nifas, sama ada keluarnya istihadhah itu mengiringi kesan (bekas) darah haid atau tidak mengiringi darah haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 214).
Keadaan istihadhah:
Bagi darah istihadhah ada dua keadaan:
Pertama: Sama ada darah tersebut keluar berterusan selepas haid atau nifas yakni melebihi tempoh sebanyak-banyak haid atau nifas.
Kedua: Darah tersebut keluar bukan selepas haid atau nifas tetapi ia tidak memenuhi mana-mana syarat haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 219).
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita sebelum bersalin
Secara kebiasaannya para ibu akan mengalami darah bercampur lendir keluar daripada rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung bayi dari dinding rahim bahagian bawah. Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim.
Darah yang keluar kerana sakit hendak beranak ini dinamakan dam al-thalaq iaitu darah sakit hendak beranak. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie, darah yang keluar daripada faraj wanita sebelum beranak bukanlah dalam kategori darah haid atau darah nifas tetapi ia adalah darah fasad. Ini juga adalah pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Al-’Inayah Syarh al-Hidayah, 1/165; Al-Insof, 1/392).
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 1/175)
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Darah ini tidak dinamakan darah haid atau darah nifas kerana ia merupakan kesan daripada kesakitan hendak beranak. Dan juga tidak dinamakan darah nifas kerana darah tersebut keluar sebelum kelahiran sepenuhnya anak tersebut yakni darah itu keluar bersama keluarnya anak. Jadi kedua-dua darah tersebut ialah darah yang keluar semasa sakit hendak beranak dan darah yang keluar bersama kelahiran anak adalah dam al-thalaq (darah rosak) kecuali sekiranya darah tersebut berhubung dengan darah haid yang sebelumnya, maka ia dihukumkan darah haid (sekiranya menepati syarat-syarat haid)”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Justeru, di sisi mazhab Syafie hukum darah yang keluar sebelum bersalin ialah darah fasad (rosak) dan bukannya darah haid atau darah nifas. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid sebelum itu dan mencukupi syarat-syarat darah haid maka ia dianggap darah haid kerana wanita yang hamil juga didatangi haid menurut pandangan yang sahih dalam mazhab syafie . (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/355).
Oleh itu, hukumnya adalah seperti hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwudhuk dan mengerjakan solat seperti biasa. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: (جاءت فاطمة بنت أبي حبيش إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقالت: يا رسول، إني امرأة أستحاض فلا أطهر، أفأَدَعُ الصلاة؟ قال: ((لا، إنما ذلك عِرْقٌ وليس بحيضٍ، فإذا أقبَلَت حيضتُك فدَعِي الصلاة، وإذا أدبَرَت فاغسلي عنك الدم ثم صلِّي )
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha: Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: “Wahai Rasululullah, aku adalah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi S.A.W: “Janganlah kamu meninggalkan solat, hanyasanya istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila ia putus yakni berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.
Riwayat al-Bukhari (255)
Justeru, wajib bagi orang yang beristihadhah atau orang mengambil hukum istihadhah melakukan perkara berikut sebelum menunaikan solat:
Membasuh faraj. Menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya supaya darah tidak menitis keluar. Wajib membalut faraj dengan kain atau seumpamanya yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar. Bersuci dengan berwudhuk atau bertayammum. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/278)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Definisi Air Ketuban
Air ketuban atau dikenali sebagai cecair amniotik dalam istilah perubatan ialah cecair jernih yang berwarna agak kekuningan yang meliputi janin di dalam rahim sepanjang proses kehamilan, ia berada di dalam kantung ketuban dan mempunyai banyak fungsi.
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Para ulama’ mengatakan bahawa air ketuban tidak termasuk dalam kategori nifas, kerana darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim wanita. Sedangkan air ketuban ialah ialah cecair yang berada dalam kantung ketuban yang meliputi janin. Justeru air itu keluar akibat daripada pecahnya kantung ketuban untuk memudahkan proses bersalin.
Di sisi mazhab Syafie hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk kerana semua perkara yang keluar daripada dua jalan adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’ dan pandangan yang muktamad di sisi mazhab Maliki. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111; Bada’ie al-Sona’ie, 1/24; Hasyiyah al-Dasuqi, 1/175; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/73).
Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Salah satu daripadanya (perkara yang membatalkan wudhuk) ialah keluarnya sesuatu daripada qubul dan dubur kecuali mani. Yang dimaksudkan sesuatu itu ialah keluar sesuatu samada dalam bentuk zat (ain) atau angin, yang suci yang atau yang bernajis, yang kering atau basah, yang keluar secara kebiaasaan seperti seperti kencing atau secara jarang-jarang, yang sedikit atau banyak, yang keluar secara semulajadi atau dipaksa”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111).
Berkata Imam al-Dasuqi: “Dan wajib berwudhuk apabila keluarnya ia (air ketuban) iaitu darah putih yang keluar ketika dekatnya proses bersalin kerana hukumnya sama seperti hukum air kencing”. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/286).
Justeru, di sisi mazhab Syafie, hukum air ketuban adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwudhuk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering. Namun sebegitu, sekiranya air ketuban itu berterusan keluar, maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah, maka diwajibkan bagi para wanita menjaga beberapa perkara sebelum menunaikan solat sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Cara Mengerjakan Solat Ketika Sakit
Oleh itu, tetap diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat ketika dia sakit hendak beranak, walaupun setelah keluar air ketuban atau darah daripada faraj sebelum beranak kerana darah itu dihukumkan sebagai darah rosak.

Sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka solat secara duduk, sekiranya tidak mampu maka solat secara mengiring di atas lambung kanan, sekiranya tidak mampu maka solat secara berbaring menelentang dan sekiranya tidak mampu maka solat melalui isyarat mata. Hal ini sebagaimana hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Namun begitu, sekiranya keadaannya sangat sakit sehingga tidak mampu untuk mengerjakan solat, maka wajib ke atas wanita itu menqadha’ solatnya kelak.
Setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
Di sisi mazhab Syafie, darah yang keluar sebelum bersalin atau dam al-thalaq dihukumkan sebagai darah fasad (rosak) iaitu hukumnya seperti hukum istihadhah. Justeru diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat kerana kewajipan solat tidak gugur. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan haid yang sebelumnya maka ia dihukumkan sebagai darah haid (sekiranya mencukupi syarat-syarat haid).
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin ialah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Oleh itu diwajibkan ke atas wanita untuk bersuci kemudiannya menunaikan solat setelah air ketubannya kering. Namun sekiranya air ketuban itu keluar secara berterusan maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah.
Diwajibkan bagi wanita yang mengalami keadaan-keadaan istihadhah seperti yang telah disebutkan sebelum ini untuk menjaga beberapa perkara yang perlu dijaga oleh seseorang yang beristihadhah sebelum menunaikan solat (sebagaimana yang telah disebutkan di atas).
Sekiranya seseorang wanita tidak mampu untuk menunaikan solat kerana sakit hendak beranak, maka hendaklah dia solat mengikut kemampuannya iaitu samada solat secara duduk atau berbaring di atas lambung kanan atau berbaring menelentang atau melalui isyarat mata. Namun sekiranya dia tetap tidak mampu untuk bersolat, maka wajib ke atasnya untuk menqadha’ solatnya itu kelak. Wallahu a’lam.
Kredit: Dr Muhammad Izzat & Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


