Kalau nak latih anak bijak menyimpan dan menghargai kewangan, perlulah dipupuk sejak mereka masih kecil. Sebagai inisiatif untuk memberi pendedahan tentang manfaat menyimpan, Pa&Ma dengan kerjasama Simpan SSPN telah menganjurkan Simpan Challenge Hunt yang berlangsung pada 29 Jun 2024 yang lalu.
Acara tersebut telah berlangsung di Zoo Melaka & Taman Burung, Ayer Keroh, Melaka. Seramai 100 peserta iaitu ibu, ayah dan anak-anak melibatkan 25 keluarga telah mendaftar untuk turut serta.
Acara ini telah diadakan untuk kali ketiga secara ‘on ground’ selepas diadakan di The Bentong Farm, Pahang tahun lepas dan Legoland Malaysia, Johor pada bulan Mac yang lalu. Seperti biasa acara tahunan Pa&Ma dan Simpan SSPN ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Menariknya kali ini, selain anak-anak didedahkan dengan kebaikan membuat simpanan demi masa depan, mereka juga dapat belajar tentang haiwan dan alam semulajadi!
Berkumpul Dari Awal Pagi
Ternyata semua peserta bersemangat untuk menyahut cabaran Simpan Challenge Hunt kerana mereka telah berkumpul seawal jam 8.00 pagi untuk pendaftaran. Tambah meriah kerana setiap peserta diberikan t-shirt khas berwarna hijau tua dan semuanya tampil sedondon dengan tema renjer.
Usai pendaftaran, para peserta berkumpul untuk mendengarkan ucapan aluan dari Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid. Selain itu juga, para peserta telah diberikan penerangan ringkas bagaimana Simpan Challenge Hunt akan berjalan.
Peserta Perlu Lalu 5 Checkpoint Mencabar!
Supaya anak-anak lebih menghargai nilai wang dan suka menyimpan, setiap peserta diminta untuk pergi ke 5 checkpoint berbeza.
Sebelum mula menjelajah ke seluruh kawasan Zoo Melaka & Taman Burung, para peserta diminta menyelesaikan tugasan pertama iaitu dekorasi tabung PTPTN. Ternyata kesemua peserta sangat kreatif dan menggunakan bahan-bahan hiasan yang diberikan untuk mencantikkan tabung mereka. Selesai menghantar tabung, para peserta diberikan token serta klu untuk tugasan seterusnya.
Suasana menjadi gamat kerana setiap peserta bersungguh-sungguh untuk memenuhi arahan serta menjalankan tugasan yang diberi. Anak-anak pula seronok kerana dapat belajar banyak perkara baharu serta begitu teruja setiap kali mendapat token dari renjer bertugas.
Antara checkpoint yang perlu peserta pergi adalah seperti Dinosaur Encounter, Rhino, Chimpanzee, Elephant dan Capuchin. Tugasan yang perlu diselesaikan oleh para peserta adalah seperti menyelesaikan puzzle, meniup belon, permainan mengumpul getah menggunakan straw serta banyak lagi.
Dapat Hadiah Dari Simpan SSPN Cawangan Melaka
Sementara menunggu keputusan akhir, para peserta juga telah menyertai sesi istimewa bersama Simpan SSPN. Semua peserta memberikan tumpuan penuh kepada setiap maklumat yang dikongsikan oleh pihak Simpan SSPN dan berjaya menjawab soalan yang ditanyakan. Peserta yang menjawab soalan dengan betul diberikan hadiah istimewa dari Simpan SSPN.
Semua Dapat Cabutan Istimewa!
Bukan itu saja, acara cabutan istimewa turut diadakan dan kesemua 25 keluarga berjaya memenangi hadiah menarik seperti baucar Texas Chicken, beg sekolah PTPTN serta hadiah-hadiah utama seperti penginapan di hotel, cermin mata serta beg tangan berjenama. Gamat suasana!
Tahniah Kepada Pemenang!
Terdapat tiga kategori khas yang diberikan kepada para peserta dan kesemua pemenang membawa pulang sebuah hamper istimewa dari Pa&Ma. Untuk kategori khas Simpanan Terbanyak (token paling banyak diterima oleh keluarga) dimenangi oleh famili Puan Khadijah Ishak. Sementara itu untuk anugerah khas Pakaian Keluarga Tercantik dimenangi oleh famili Puan Siti Norhafizah. Untuk anugerah khas Dekorasi Tabung tercantik pula disandang oleh famili Puan Nur Aini.
Tahniah buat kesemua pemenang! Untuk pemenang tempat pertama, menerima wang tunai RM300 yang dikreditkan ke akaun Simpan SSPN adalah keluarga Puan Fatin Rimaton manakala tempat kedua pula disandang oleh famili Puan Yanti Sharida menerima RM200 akaun Simpan SSPN beserta barangan eksklusif tajaan Simpan SSPN dan hamper istimewa dari Pa&Ma.
Pemenang tempat ketiga pula adalah keluarga Puan Nik Nurul Atiqah yang mendapat RM150 akaun Simpan SSPN beserta barangan eksklusif tajaan Simpan SSPN dan hamper istimewa dari Pa&Ma.
Pemenang-pemenang saguhati pula menerima RM50 yang dikreditkan ke akaun Simpan SSPN setiap seorang beserta barangan eksklusif tajaan Simpan SSPN dan hamper istimewa dari Pa&Ma. Tahniah kepada keluarga Puan Juzairina dan Puan Khadijah.
Hadiah-hadiah telah disampaikan kepada para pemenang oleh Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Puan Wan Zawiah Wan Abu Bakar yang merupakan Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat & Pemasaran PTPTN diiringi Editor Pengurusan Family & Parenting, Puan Wan Erni Liza.
Ternyata Simpan Challenge Hunt yang diadakan kali ini telah mengukir senyuman di wajah para peserta serta banyak memberi pendedahan kepada mereka tentang Simpan SSPN. Para peserta terutamanya anak-anak kecil juga dapat belajar tentang kepentingan menyimpan serta acara pada hari tersebut merupakan ‘bonding time’ terbaik antara ibu ayah dan anak-anak.
Tahniah kepada semua peserta dan teruskan memberi sokongan kepada Pa&Ma dan Simpan SSPN!