Hujan lebat berterusan membawa khabar duka kepada penduduk Kampung Bukit Apit, Ajil, Kuala Berang Terengganu apabila kejadian tanah runtuh hari ini meragut nyawa dua beradik.
Mangsa, Puteri Sajidah Azman, 16, dan adiknya Siti Fatimah, 13, ditemukan tidak bernyawa oleh pasukan penyelamat, masing-masing pada jam 6.32 petang dan 6.59 petang. Kejadian tragis itu turut melibatkan abang mereka, Uzair, 17, yang ditemukan selamat lebih awal pada jam 5.17 petang.
Tanah runtuh yang berlaku sekitar jam 4.30 petang itu mengejutkan penduduk kampung, yang tidak menyangka musim hujan kali ini akan membawa malapetaka sebegini.
“Saya dengar suara meminta tolong, tapi saya tak dapat buat apa-apa sebab tak tahu mereka ada di mana,” kata Danial Arabi, 36, jiran kepada keluarga mangsa, yang menjadi saksi pertama selepas kejadian.
Menurut Danial, keadaan ketika itu sangat mencemaskan. Hujan lebat dan tanah yang terus bergerak membuatkan usaha menyelamat menjadi sukar.
“Semuanya berlaku terlalu pantas. Kami tak pernah sangka kawasan rumah mereka yang nampak selamat ini boleh terkena tanah runtuh,” tambahnya dengan nada sebak.
Tragedi ini menimbulkan kesedihan mendalam buat seluruh penduduk kampung, yang rata-rata tidak menyangka bencana tanah runtuh boleh terjadi di kawasan mereka. Musim hujan yang biasanya dinanti-nantikan untuk menyuburkan tanah, kali ini menjadi penyebab kehilangan dua nyawa muda yang masih punya banyak impian.
Pasukan penyelamat kini masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca tanah runtuh. Penduduk sekitar dinasihatkan untuk terus berhati-hati, terutama dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Duka yang sukar dilupakan ini meninggalkan parut mendalam, bukan hanya buat keluarga mangsa tetapi juga komuniti kecil Kampung Bukit Apit yang terkejut dengan insiden itu.
Salam takziah buat seluruh ahli keluarga.
Sumber: Harian Metro & Bernama