Ramai antara ibu bapa yang tidak sedar bahawa kekangan pergerakan yang diberikan kepada anak-anak, walaupun atas apa sebab sekali pun, boleh membawa banyak keburukan kepada perkembangan minda dan fizikal anak-anak. Sesekali biarkan saja anak bermain dengan messy play, demi untuk pengalaman dan perkembangan minda mereka.
Menurut Pn Noor Ashikin Ahmad, guru Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pra Sekolah mengatakan kanak-kanak yang tidak atau kurang terdedah kepada aktiviti outdoor akan menjadi lebih lemah dari segi emosi dan fizikal. Malah mereka juga kurang bijak berkomunikasi dan bergaul dengan orang lain.
Antara kesan yang berlaku kepada anak-anak kecil apabila tidak diberi peluang untuk bermain aktiviti luar adalah:
* Tidak dapat membina otot
* Kurang membakar kalori
* Kurang kemahiran mengawal emosi (lebih mudah terdedah kepada anak manja, degil dan sebagainya)
* Kurang membina kreativiti
* Kurang kemahiran penggunaan minda dan sekaligus, melemahkan kemahiran akademik (kesan jangka panjang)
Jadi biarkan sahaja bila anak hendak bermain dengan alam. Anak yang dibiarkan terasing daripada alam semulajadi seperti tumbuhan, haiwan, batu-batuan, awan, dan langit akan menikmati waktu kecil yang tidak menyeronokkan.
Mereka sepatutnya mampu melempar bola, melompat, berlari, meneroka, menyentuh, dan menikmati masa di luar. Semua ini adalah manfaat bermain di luar yang merangsang perkembangan saraf motorik.
Tak perlu jauh, bermain di halaman rumah atau taman permainan awam pun dah cukup bagi mereka. Walaupun nampak kecil, ia adalah dunia yang serba gergasi untuk mereka terokai.
Kelebihan Messy Play Dan Aktiviti Luar
* Mendukung pertumbuhan tulang yang sihat di mana sinaran matahari membantu meningkatkan vitamin D pada tubuh yang baik untuk pertumbuhan tulang anak-anak.
* Tak perlu lama, 10 hingga 15 minit sudah mencukupi untuk anak-anak menerima vitamin D untuk pertumbuhan tulang mereka.
*Menguatkan otot dan tubuh anak-anak selain dapat belajar untuk berkawan dengan rakan sebaya yang baru.
*Dapat melihat alam semulajadi malah meneroka flora dan fauna di sekeliling mereka dan memberikan pengalaman baru yang bermakna buat mereka.
* Aktiviti bermain di luar adalah bebas dan tidak berstruktur, minda mereka akan lebih berkembang kerana mereka perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan – berbanding sekadar menatap skrin televisyen atau gajet. Melalui proses ini, anak-anak belajar untuk membuat keputusan, tindakan, dan menguruskan emosi. Semua ini membantu mereka berasa lebih konfiden.
* Menggalakkan interaksi dan ekspresi emosi yang sihat. Ini disokong oleh pelbagai pemerhatian yang mendapati bahawa anak kecil akan menggunakan 5 kali ganda lebih banyak perkataan semasa bermain di luar rumah berbanding di dalam.
* Aktiviti luar bukan saja menyeronokkan, tetapi ia juga boleh membantu anak untuk menyalurkan tenaga mereka yang ‘tak pernah habis’. Bila tenaga ini dapat disalurkan dengan betul, mereka sebenarnya dapat tidur lebih awal. Sikap agresif dan tantrum merupakan salah satu tindakbalas untuk anak mengeluarkan tenaga dan mengekspresikan perasaan mereka.
* Anak bergerak lebih aktif berbanding duduk diam sahaja dan membantu langkah awal untuk mengelakkan komplikasi penyakit seperti diabetes, serangan jantung, rabun jauh, dan sebagainya.