Nora Danish pernah mendirikan rumah tangga bersama Rizal Ashram (Jejai) pada 20 Jun 2006 dan telah berakhir pada tahun 2008 ketika usia kandungannya mencecah tiga bulan dengan talak dua. Nora telah melahirkan anak sulungnya pada January 2009.
Hari ini, Nora telah memuatnaik gambar anak sulungnya, Putra Rayqal dengan ucapan selamat hari lahir. Mengimbas kembali saat-saat sukar ketika hamil dan bersalin tanpa suami di sisi, ucapan selamat hari lahir tersebut disusuli dengan pengalaman beliau yang sangat menyentuh hati. Tabahnya seorang ibu demi anak yang tercinta. Ikuti perkongsian ini
7th January 2009 at 11.40pm he was born. Putra Rayqal Ramli , the name Rayqal was given by his daddy. Yusuff was the actual plan but somehow saya akur dengan nama itu.
When he was born , i was 26 years old. Membesarkan Rayqal dengan sendiri bersama bantuan ibu-ibu saya , Mama & Mummy @rajanoora . Merekalah suami saya ketika itu. From day one I did my check up mummy teman, sampailah masuk labour room nak melahirkan. I remembered my first argument that I had with mummy when Rayqal was still dalam pantang, mummy insisted untuk Rayqal tido di rumah mummy & I was so upset. Hahah. Those days. Kalau semua nak tahu, Rayqal loves his Tah & Atok first, baru mommy dia dan yang lain-lain. Heheh. That shows how much love Tah & Atok curahkan. dan saya sangat bersyukur. Syukur sangat. Sebab tu pertalian antara kami tidak pernah putus walau macam mana pun. Cuz we are more like a family then ex in laws.
To tell u the truth, i was weak , so weak semasa mengandungkan Qal. I cried every single day. And at the same time I needed to be strong for my baby, my fans,my family yang selalu support me day & night. I was lost.
I had nightmares, i cudnt sleep well. I prayed everyday , baca yasin every solat & mama had to give me air to drink from Ustaz Harun Din just to make sure that I akan ok & will be ok. Something that I don’t want anyone in this world to experience.
And Alhamdullilah , all that disappeared when I saw him, my putra for the first time, I held him tight, & he opened his little sepet eyes n looked at me while I fed him. Then I realised, He is the reason. He is why! He is my kekuatan! He is my Anugerah! He is the love of my life & that time i know straight away that I will be OK! Rayqal’s father (Jejai) & me, will always be a good friend, cuz we both know what is the best for the both of us. Semasa mahkamah nak bercerai pun kita boleh gelak gelak cuz ketawa kan orang lain dalam kandang mahkamah.
IKLAN
Our relationship is one in a mil. Hahahha. Bro fer life ! I sedar & belajar banyak dalam Hal ini, Allah akan duga kita, mungkin sampai tidak tertanggung, tetapi ujian itulah yang akan buat kita jadi lebih baik di masa akan datang.
I am better now , I am stronger , selalu bersyukur, tak cepat melatah, selalu berfikiran positive , fikir Yg baik tentang orang lain, semua kerana PENGALAMAN.
Jadi setiap apa yg terjadi dalam diri kita, kita hadapi dengan senyuman & sentiasa berfikir, Ada… nanti di depan sana…. KEBAHAGIAAN. InsyaAllah.
And about this cheeky loving caring boy , Rayqal. He is a blessing..Dia la teman saya kesana kesini dan layan my sewelness before I met my Nedim , imamku. U can tell from the pictures i posted. Thank u God for giving me this angel. Tidak ada lain yang saya mintak selain kebahagian buat anak-anak saya dunia dan akhirat. Thank u all for ur wishes & prayers for my teen baby.
Inilah kali pertama Nora Danish bercerita tentang pengalaman beliau mengandung dan bersalin tanpa suami disisi. Posting tersebut mendapat reaksi daripada rakan artis dan netizen.
Rata-rata kagum dengan kekuatan Nora dan mendoakan beliau, anak serta keluarga sentiasa bahagia. Ramai juga yang memuji sikap tanggungjawab bekas ibu mertua yang sentiasa menjaga Nora sehingga kini walaupun sudah lama berpisah dengan Jejai.
IKLAN
I think i’ll go crazy not having my husband while giving birth, i’ll cry more than i’ll push
Tiada apa yg lebih membahagiakan seorang ibu selain dr membesarkan anak-anak sendiri, di depan mata sendiri
Nora ibu yang sgt baik, while sedang diuji dgn dugaan perkahwinan dan sedang membawa amanah Allah
IKLAN
Sedih pulak baca
Nora beruntung dapat MIL yang baik. Allah tarik sesuatu dan memberi sesuatu yang lebih baik
Bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai tersedak susu ketika berada di rumah pengasuh di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, semalam.
Dimaklumkan Pengasuh, Anaknya Tidak Sedarkan Diri
Bapa mangsa, Muhd Hafez Mohamad, 32 berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja, dan sebaik dimaklumkan pengasuh kira-kira 2.30 petang yang anaknya, Harraz tidak sedarkan diri, dia bergegas ke rumah pengasuh dengan menunggang motosikal.
Menurutnya, sebaik tiba didapati anak lelakinya dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri serta sudah kebiruan.
Terus Bawa Anak Ke Klinik Kesihatan
“Saya terus meletak anak di bahu kiri dan memecut motosikal ke Klinik Kesihatan Kampung Melayu Majidee, sejauh tiga kilometer (km), walaupun ketika itu terdetik di hati anak sudah meninggal dunia.
“Ketika di klinik, anak diberi bantuan kecemasan melalui teknik bantuan pernafasan (CPR), namun tiada respon diterima.
Ketika Badanya Ditepuk Pegawai Perubatan, Keluar Sedikit Darah Dari Mulut Bayi
“Ketika badannya ditepuk pegawai perubatan, keluar sikit darah dari mulut arwah sebelum dimaklumkan ia berpunca akibat tersedak susu,” katanya ketika ditemui menuntut jenazah anaknya di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru, hari ini.
Muhd Hafez berkata, anaknya kemudian dibawa ke HSA menaiki ambulans dan melalui prosedur sama, namun diberikan jawapan sama,” kata jurutera di sebuah syarikat swasta di Tampoi itu.
Tak Dapat Terima Hakikay Anaknya Sudah Tiada
Menurutnya, ketika itu dia seolah-olah tidak dapat menerima hakikat anaknya sudah tiada, sebelum meminta doktor yang merawat terus menyelamatkan anaknya.
“Namun selepas seketika saya sedar daripada terus memaksa doktor memberikan rawatan berulang kali lebih baik saya reda kerana dia sudah meninggal dunia,” katanya.
Buat Laporan Polis
Katanya, dia dan keluarga membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) pada jam 5.23 petang semalam.
Muhd Hafez berkata, jenazah anaknya kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HSA untuk dibedah siasat sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Rangin, Kuantan, Pahang hari ini untuk dikebumikan.
Beliau turut berharap pihak polis akan membuat siasatan secara adil dalam kes ini kerana percaya ada unsur kecuaian hingga mengakibatkan anaknya meninggal dunia.
Menyimpan Gambar Bukti
“Saya bersama isteri menyimpan gambar kecederaan pada lutut hingga buku lali arwah iaitu kesan luka, cakar dan lebam yang dilihat pada 29 Mac lalu.
“Kami mahu keadilan untuk arwah dan mungkin sifat tolak ansur kami ketika itu menyebabkan kejadian seperti ini berlaku hingga anak meninggal dunia,” katanya.
Memang ajal dan maut telah ditentukan. Tapi setiap kehilangan pasti dirasakan, apatah lagi bagi ibu yang kehilangan si kecil pernah menghuni rahimnya.
Catatan ibu ini benar-benar menyebakkan. Kuatnya berdepan dengan pemergian si kecil selepas 18 minggu dalam kandungan. Bertarung dengan asma yang teruk dan si kecil dalam kandungan, tapi siapakah kita untuk menidakkan ketentuan takdir Allah. Beliau sangat positif dan tenang dan reda. Inilah catatannya;
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang… Kenangan 21 & 22 Januari 2018 Zon Merah & Wad Rawatan Rapi (ICU) Hospital ****** Umpama mati hidup kembali!
Hasbi Allah… syukur ke hadrat-Mu kerana Engkau telah memberikanku syifa, serta memberi aku peluang kedua dengan tiupan roh yang telah Engkau kembalikan semula ke dalam jasadku yang kian terlantar rebah. Doa tanpa bicara, asbab untuk aku terus beribadah kepada-Nya.
Andai ada yang bertanya, pernahkah kau merasai mati? Ya, aku pernah merasainya. Tatkala nafas tiba-tiba tersekat di kerongkong dan kau seolah-olah sedang menunggu Malaikat Maut yang datang menjemput untuk merentap nyawa yang berdegup kencang di tangkai hati.
Allah, sakitnya sakratulmaut itu! Takdir Allah telah menentukan segalanya, tanpa kau pinta. Sekelip mata juga ianya berlaku, tanpa kau duga. Naifnya kehidupan kau, jika tiada bantuan disisi Allah. Alllahuakbar… “Adakah ini saatnya perngakhiranku dalam khusnul khotimah?”
Ahad –7 petang 21 Januari 2018 “Ayah, jom kita pergi hospital,” ujar aku dalam nada suara yang tersekat-sekat. “Ibu okey atau tidak ni?” balas suamiku dengan sedikit cemas. Hanya gelengan sahaja yang aku mampu, tanda balasan kepada persoalannya tadi. “Kakak, abang Afiq dan Afia, duduk kat rumah dahulu tau. Ayah bawa adik Afiz aje, nak hantar ibu ke hospital. Jangan keluar pergi mana-mana! Kalau ada orang datang, jangan buka pintu! Apa-apa telefon ayah dulu!” bertalu-talu arahan Encik Suami kepada anak-anak yang semuanya masih di bawah usia 12 tahun.
Lantas sahaja kunci kereta di ambil dan Encik Suami terus memecut laju membawa aku pergi ke Hospital ****** bagi mendapatkan rawatan Asma. Seingat aku, sudah hampir sebulan aku menanggung keperitan batuk berkahak dan sudah 4 kali jugalah aku pergi ke Klinik ******, waimah klinik****** bagi mendapatkan rawatan awal.
Ubat terlalu kuat & ada steroid, tak elok untuk bayi dalam kandungan
“Maaf Puan, saya hanya boleh beri rawatan Nebulizer sahaja. Saya tidak boleh beri “Predisolone” kerana ubat itu agak kuat dan ada kandungan steroid. Tak elok untuk bayi di dalam kandungan Puan, kerana ianya boleh menyebabkan keguguran,” jelas Doktor tiap kali aku pergi dapatkan rawatan.
Akur. Hanya nebulizer yang diberi bagi meredakan saluran pernafasan yang sempit, kerana Doktor tidak mahu menanggung risiko dengan memberi aku pelbagai ubat, atas alasan aku sedang mengandung! Ditambah pula dengan cuaca yang sejuk dan tekanan kerja mungkin, mengakibatkan keadaan aku bertambah teruk.
Petang Ahad itu memang aku sudah terlalu lelah, kerana aku benar-benar butuhkan kandungan oksigen. Masakan tidak, baru beberapa langkah sahaja aku sudah mulai penat. Lebih 10 sedutan ventolin telah masuk ke dalam ruang rongga paru-paruku. Namun, keadaan aku masih sama… penat!
“Ibu okey tak? Sabar ya, kejap lagi kita sampai hospital”
Ah, soalan hampir sama berulang kali ditanya oleh Encik Suami. Pedal minyak ditekan kuat agar destinasi yang dituju segera sampai. Aku hanya mendiamkan diri disebelahnya, cuba mengawal pernafasan yang sedikit tercungap. Allahu Allah…
“Jom ibu, kita dah sampai,” ujar En Suami dengan nada sedikit lega. Sementara kereta hanya dipakir sahaja di hadapan Bahagian Kecemasan Hospital ******, aku sudah dikejarkan ke “Asthma Bay” oleh Pembantu Perubatan dan diberi nebulizer.
“Puan memang ada Asma ke?’ tanya jururawat yang bertugas. Aku hanya mengangguk malas. “Kalau begitu, Puan sedut gas ini dahulu, kejap lagi Doktor yang bertugas akan datang periksa Puan ya,” lembut tutur katanya lagi walaupun aku melayannya acuh tak acuh.
Ambil nebulizer masih susah bernafas
Namun, seusai mengambil nebulizer, aku masih rasa sukar lagi untuk bernafas seperti biasa dan kuajukan perasaan ini kepada en Suami. Dengan perasaan risau, dia memaklumkan keadaan aku kepada Pembantu Doktor yang bertugas. “Puan rasa macam mana ya?” Tanya Pembantu Doktor. “Masih susah nak bernafas. Macam ada bunyi lagi”, jawabku perlahan.
Doktor dipanggil untuk memeriksa semula bahagian belakang badanku dengan menggunakan stetoskop. “Puan, keadaan Puan sekarang ini agak “severe” dan kami akan menghantar Puan ke Zon Merah untuk rawatan rapi,’ kata Doktor itu lagi.
Allahu Allah… agak cemas bunyinya!
Terus sahaja aku ditolak dengan menggunakan kerusi roda menuju ke Zon Merah. Sesampai aku di sana, doktor yang bertugas menyuruh aku mengira nombor 1 hingga 10.
Namun, pertuturan aku tersekat di nombor 4, dan aku sudah mulai tercungap. Aku kemudiannya diminta baring di atas katil yang disediakan, sementara tangan kiriku dicucuk dengan branula. Terasa sejuk apabila “Hydrocort” dimasukkan ke dalam tubuh ini yang bertujuan untuk membuka ruang saluran pernafasan. Nebulizer kali kedua juga diberi. Alhamdulillah, aku sudah mula rasa tenang.
Melihat keadaanku yang agak stabil, suami meminta izin untuk keluar sekejap kerana ingin melayan anak yang kecil untuk membeli makanan. Aku sekadar mengiyakan sahaja permintaannya itu. Namun, tidak sampai 5 minit suami keluar dari Zon Merah, tiba-tiba aku mengalami kesukaran untuk bernafas yang teramat sangat. Allahuakbar!!!
Tiada tangisan yang berlagu. Tiada tutur bicara yang hendak diungkap
Lidahku kaku untuk menuturkan walau hanya sepatah kata. Hanya lambaian tangan memanggil Doktor yang sedang bertugas, mengharap mereka segera meluru ke arah ku. Ya Allah, terasa diri ini terlalu dekat dengan-Mu.
“Mazlinda…Mazlinda…sedut gas ini perlahan-lahan. Tarik nafas, hembus. Tarik nafas, hembus”, kata Doktor yang sudah pun duduk di birai katil. “Allah, sesungguhnya aku sudah tidak merasai langsung nafas untuk dihela. Bantulah aku Ya Allah,” membungkam kata-kataku di dalam hati.
“Mazlinda, kami tengok keadaan Mazlinda agak kritikal. Kami terpaksa mengambil keputusan untuk memasukkan tiub di dalam badan ya,” serius sahaja pertuturan Doktor Pakar yang kebetulan baru sahaja turun mengawasi Zon Merah.
“Cepat buat pengumuman. Panggil suami Mazlinda sekarang juga!” jeritnya dengan kuat. Pasrah dan menyerah. Aku tidak mampu lagi hendak bernafas. Hanya mengharap keajaiban daripada-Nya. Sungguh, lidahku sudah kelu untuk meneruskan bicara. Di ingatanku, terbayang jelas wajah suami, anak-anak, mak abah dan adik-beradik yang disayangi.
Nafas terlalu genting untuk dikecap
“Mazlinda, mengucap sekarang. Kami nak bius awak”, kata Doktor Pakar kepadaku di saat nafasku terlalu genting untuk dikecapi.
Ya Allah, sungguh diri ini berasa terlalu dekat dengan-Mu. Hanya dengan beberapa kali lafaz syahadah, aku terus berasa seperti di awang-awangan. Hidup atau matikah? Aku sendiri tidak pasti.
Suami yang baru sahaja melangkah ke ruangan menunggu di luar, terus bergegas masuk ke Zon Merah setelah namanya dipanggil berulang kali.
Allahuakbar! Seakan hilang arah tujunya membayangkan kehilangan kasih sayang seorang isteri. Hanya tangisan yang mengiringinya sewaktu melihat keadaan aku yang sedang bertarung nyawa, melihat doktor bertungkus lumus menyelamatkan aku. Anak kecil yang berada disisi suami pula, diam terkedu tanpa kata. Hanya menepuk lembut badan si ayah, seolah-olah memahami apa yang sedang berlaku.
Perpisahan, mungkin berlaku!
Bertambah kencang degupan jantung si suami tatkala melihat aku berombak dada menahan kesakitan, diampuh pula perasaan resah bilamana dia melihat aku berada di tempat arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir. Pastinya kenangan 7 tahun yang lalu sedikit terusik dan menggetarkan jiwanya. Allahu Allah…
Bayi di dalam kandungan? Doktor awal-awal sudah memaklumkan yang mereka akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa ibu dahulu, tanpa memeriksa keadaan bayi. Sekali lagi suami pasrah. Segalanya diserahkan bulat-bulat kepada-Nya !
Ya Allah, apakah perpisahan ini benar-benar terjadi? Bangunlah sayang….!!!!!!!
La hawla wala quwata illah billah…. Tiba-tiba hatiku tersentak. Ketika Doktor memasukkan tiub di dalam badanku, aku seakan tersedar! Mungkin bius tidak berapa kuat dan aku mendengar pertuturan sesama Doktor, walaupun ianya tidak berapa jelas.
Namun, aku tidak berdaya langsung hendak membuka mata atau menggerakkan tubuh badan. Ada ketika, aku seperti tidak bernafas! Aku dapat rasakan rohku sedang merawang mencari Nur untuk bersatu semula dengan jasadku.
Suami bertambah tidak keruan, bilamana dia melihat satu garisan panjang yang terpapar di mesin bersebelahan denganku. “Ibuuuuuu…..,” jerit Encik Suami meraung. Ya Allah, apakah perpisahan ini benar-benar terjadi? Namun, kuasa Allah tiada siapa yang mampu menghalangnya. Syukur ke hadrat-Mubilamana getaran bacaan nadi itu kembali turun naik. Tawakkalna-Alai-Allah… Bangunlah sayang….!!!!!!!
Isnin – 12 tgh malam 22 Januari 2018 Sanah helwah buat aku! Syukur alhamdulillah. Allah telah memanjangkan usiaku yang ke 37 tahun.
Menjengah ke tengah malam setelah diriku di “intubated”, aku ditolak oleh Jururawat ke wad di Unit Rawatan Rapi apabila Doktor melihat keadaan aku agak stabil di Zon Merah.
Sementara itu, kedua pergelangan tanganku diikat kerana Doktor risau aku akan hilang kawalan dan mencabut tiub dimulut. Dengan bantuan “ventilation”, aku berupaya untuk bernafas dan terus bernafas. Syukur padamu Ya Allah!
Suami ada memberitahu, Doktor telah menambah bius lagi semasa aku berasa di Unit Rawatan Rapi yang membuatkan terus aku terlena sehingga jam 2 petang keesokan harinya.
Allah! Allah! Jam 2 petang keesokan harinya, aku mulai tersedar dari lenaku. Sesekali mesin di sebelahku berbunyi tanda isyarat. Tekak pula sudah merasa haus. Tepat jam 4 petang, Doktor datang memeriksa aku dan membuat keputusan untuk mencabut tiub di mulut, kerana ingin aku bernafas tanpa bergantung sepenuhnya kepada “ventilator”. Semasa proses mencabut tiub, aku dalam keadaan sedar dan tidak bius sedikit pun. Allahuakbar…sakitnya hanya Dia yang mengerti.
Sabar dalam tangisan!
Oksigen terus diberikan kepadaku dengan memasang tiub kecil di hidung pula dan mereka memantau kandungan oksigen yang telah mereka telah periksa dgn ujian darah. Setiap beberapa jam, pasti darahku diambil di atas buku lali kanan. Kaki lenguh yg teramat… sabar dalam tangisan!
Jam 10 malam, Jururawat meminta suamiku membeli makanan yang lembut untuk aku makan. Sementara Encik Suami turun ke bawah, 2 orang Jururawat datang ke arahku dan menyatakn hasrat untuk mencuci seluruh badanku dan aku mengiyakan sahaja. Entah bagaimana, ketika mereka menjirus badanku dan mula menyabun ke seluruh tubuhku, tiba-tiba bibir aku terketar-ketar menahan kesejukan.
Astagfirullah hal a’zim… nafas terasa penat sangat dan asma mula menyerang kembali. Ya Allah! Kelam kabut Jururawat tadi membalut seluruh tubuhku dengan selimut dan bantuan pernafasan diberikan. Allahu Allah. Sedikit cemas dan aku masih lagi trauma. Tentunya Encik Suami juga kembali risau.
Rabu – 12 tengahari 24 Januari 2018 Syukur alhamdulillah. Setelah 3 hari di Unit Rawatan Rapi, aku dipindahkan pula ke wad biasa. Kesihatan aku bertambah stabil.
Khamis – 11.30 pagi 25 Januari 2018 Pagi ini, Doktor daripada bahagian Obstetrik dan Ginekologi datang ke wad dan membawa aku ke klinik pakar O&G yang terletak di aras bawah dengan menggunakan kerusi roda. Sepanjang turun ke bawah, hati berdebar-debar dengan risau akan keadaan bayi dalam kandunganku ini, yang baru sahaja berusia 12 minggu. Bermacam-macam yang aku fikirkan.
“Insya-Allah, doa banyak-banyak ya ibu andai ada lagi rezeki buat kita. Semoga Allah memberi segala kebaikan untuk ibu dan anak di dalam kandungan ini,” kata En Suami dengan penuh harapan.
Walaupun Encik Suami cuba merawat hati yang gundah gulana, namun aku masih resah. Menanti giliran untuk di “scan”, membuat hati aku bertambah tidak keruan. Sambil aku mengusap lembut perutku, aku berdoa agar bayi di dalam kandunganku ini juga mengerti.
“Puan baring di atas katil ini dahulu ya. Sekejap lagi Doktor Pakar akan datang memeriksa Puan,” kata Jururawat itu kepadaku. Ya Allah. Ya Rahman. Ya Rahim.
Menitis air mata ini, bila aku nampak degupan jantung bayi di paparan itu. Mimpikah aku? Tidak. Aku tidak bermimpi. Bayi di dalam kandungan masih berada di dalam keadaan sempurna dan baik-baik sahaja. Syukur ke hadrat-Mu Ya Allah… masih ada lagi rezeki untuk kami. Nikmat apa lagi yang ingin kau dustai?
Selasa – 10.00 pagi 30 Januari 2018
Hari ini genap hari ke 10 aku di wad. Pakar Perubatan Pernafasan memeriksa aku buat kali terakhirnya sebelum membenarkan aku pulang. Beliau memantau keadaan aku dari sehari ke sehari, bagi mengelakkan sebarang komplikasi.
Kesan luka dan bengkak akibat dimasukkan tiub tempoh hari, boleh menyebabkan saluran pernafasan tertutup kembali. Tambahan pula, aku sedang mengandung dan kandungan oksigen mestilah mencukupi untuk bayi juga.
Semoga bayiku diberikan kesihatan baik…
“Ya Allah, Kau berikanlah kesihatan yang baik buat aku. Semoga bayi di dalam kandungan ini juga diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan sehingga aku melahirkannya,”doaku di dalam hati.
Terima kasih yang telah mendoakan kesejahteraan aku. Sesungguhnya doa kalian telah dimakbulkan oleh-Nya. Asbab di sebalik apa yang terjadi ini, pasti Allah kurniakan hikmahnya. BarakAllahu feekum…
Khamis – 10.15pagi 15 Mac 2018
Seawal jam 8.40 pagi, kami sudah sampai di perkarangan Klinik Obstetrik dan Ginekologi, **** untuk berjumpa dengan Doktor bagi pemeriksaan bayi di dalam kandunganku. Walaupun sudah ramai ibu-ibu mengandung yang menunggu giliran, kami tetap sabar menanti kerana hari ini ada ujian imbasan sekali.
“Sekejap ya ayah, ibu nak pergi beli “hot chocolate” dan roti. Lapar pula,”ujarku kepada Encik Suami. Setelah sekian lama menunggu, nombor pun dipanggil. Lantas sahaja kami bangun dan menuju ke bilik “scan” sebelum berjumpa dengan Doktor. Aku diminta baring di atas katil yang disediakan. Tak sabar nak melihat pergerakan bayi di dalam kandunganku ini. Namun, semasa di dalam proses mengimbas, Doktor berulang kali menekan perutku sambil matanya tepat ke paparan.
Kenapa dengan bayi saya?
Hatiku sudah berdegup kencang, bilamana Doktor mengukur kebesaran bayi dan jelas terpapar ukurannya baru mencecah 14 minggu lebih sahaja. Sedangkan ketika itu, bayi aku sudah berusia 18 minggu.
“Kenapa Doktor? Bayi saya kecil ke?,” tanyaku cemas. “Tidak. Saya masih tidak dapat mengesan jantung bayi,” jawab Doktor itu kepadaku. Kami pun saling diam membisu dan berpandangan sesama sendiri. Encik Suami sudah menggengam erat tanganku, seolah-seolah memberi isyarat meminta aku sabar, sementara kami menanti kehadiran 3 orang Doktor lain datang memeriksa aku.
“Assalamualaikum Puan Mazlinda. Saya Doktor *****, Pakar bahagian Obstetrik dan Ginekologi. Izinkan saya memeriksa kandungan Puan ya,” ujar salah seorang Doktor dengan lembut.
Degupan jantung & pergerakan bayi tiada lagi…
Aku hanya membalas sahaja dengan sebuah anggukan dan memerhati sahaja beliau memeriksa kandungan ini. “Macam ni Puan, sepatutnya kandungan Puan sudah berusia 18 minggu. Akan tetapi, saya melihat ukuran bayi Puan masih lagi 14 minggu lebih dan saya tidak dapat mengesan jantung, juga pergerakan bayi. Maafkan saya Puan, bayi Puan sudah tiada,” Innalillah hi waiinaila hirojiun….
Airmata mengalir deras bagaikan empangan sudah pecah! Encik Suami memujuk hatiku dengan menyuruh aku istigfar dan sabar dengan dugaan yang diberi. Ternyata Allah lebih menyayanginya. Allah! Allah! Sekali lagi dugaan untuk kami sekeluarga. Pasti ada hikmah yang ingin disampaikan.
Bagaimana untukku lahirkan bayi yang sudah tidak bernyawa ini?
Dalam menahan esak tangis, aku dimasukkan ke wad bersalin di tingkat 1. Perasaan semakin libang libur apabila kiri, kanan dan hadapan katil dipenuhi ibu-ibu yang sudah melahirkan bayi mereka. Mendengar sahaja suara tangisan si kecil, buat diriku lemah. Bagaimana ingin aku lahirkan bayi yang sudah meninggal dunia, jika aku sendiri tidak kuat?
“Sabar banyak-banyak ibu. Allah beri ujian sebab Dia sayangkan kita. Ibu kena redha ya,” kata Encik Suami memberi kata-kata semangat. “Dikala hati sedang gundah gelana. Maka ingatlah Allah kerana dengan mengingati Allah, hti kita akan menjadi tenteram” – Qa Arra’Du:28.
Ku bacakan Yaasin khas untukmu, malam terakhir dalam rahim ibu
Malam itu, aku membaca surah Yasin dan aku sedekahkan buat anak di dalam kandunganku. Allahurobbi, tenangnya ku rasa ketika itu. Aku buang jauh-jauh kesedihan yang mencengkam di lubuk sanubari. Aku mesti rehat secukupnya kerana esok aku akan melahirkan bayi ini secara normal.
“Tidurlah dengan tenang duhai anakku, buat sekelian kalinya di dalam rahim ibu,”
Jumaat – 8.00 pagi 16 Mac 2018
Pagi Jumaat yang barokah, Doktor sudah memasukkan ubat dan kira-kira jam 11 pagi, aku sudah mulai rasa kontraksi untuk bersalin. Ya, rasanya sama seperti hendak bersalin bayi yang cukup kandungannya. En Suami sudah bersedia dengan kelengkapan dan memaklumkan kepada ibunya, juga penggali kubur yang akan menguruskan jenazah bayi kami.
Menjelang Zohor, aku sudah rasa sakit yang teramat. Seusai diperiksa oleh Doktor, aku pun baring di atas katil wad. Tidak semena, aku rasa seperti ada sesuatu yang keluar dengan pantas. Hilang segala sakit kontraksi dan sakit pinggang yang ku tanggung tadi.
Wildan syurga ibu sempurna kejadiannya
“Ya Allah! Nurse….nurse….,” jeritku sambil tangan melambai memanggil Jururawat. Lantas sahaja mereka datang dan menutup tirai di sekeliling katil. Doktor juga dipanggil untuk proses kelahiran wildan syurga. Alhamdulillah, semuanya dipermudakan oleh-Nya. Mengalir lagi airmata ini tanda syukur melihat jasad wildan syurga yang sudah sempurna kejadiannya.
Muhammad Adam Bin Mohd Hairil nama diberi. Jenazahnya disempurnakan di bilik mayat diaras bawah hospital, sambil ditemani oleh Encik Suami. Sebelum jenazah di bawa pulang ke rumah, Encik Suami membawa wildan syurga yang diletakkan di dalam bakul naik semula ke wad untuk berjumpa denganku.
Ciumlah sepuasnya ibu, biar Adam pergi dengan tenang
“Ibu, adik Adam ibu….,” dihulur jenazah kecil yang sudah pun dikafankan kepadaku. “Ciumlah sepuasnya ibu, buat kali terakhir. Jangan ditangisi pemergiannya, biarkan adik Adam pergi dengan tenang. Tempatnya sudah ada di syurga Allah. Insya-Allah, moga kita ketemu juga nanti,” kata Encik Suami tenang. Allah Allah…
Kita sama-sama bertarung nyawa, manakan ibu tidak sedih
Ibu mana yang tidak sedih bila anaknya pergi buat selamanya. Walaupun kami belum bersua di alam fana, namun kami pernah bersama selama 4 bulan.
Sama-sama bertarung nyawa saat aku sesak nafas dan dimasukan tiub pernafasan satu ketika dahulu. Sama-sama menahan kesakitan, saat badan ku berselirat wayar di badan. Sama-sama merasai aliran pelbagai ubat-ubatan yang mengalir di dalam tubuh ini.
Kenangan dengan Adam ibu ikat ketat-ketat dalam ingatan
Aku percaya takdir Illahi. Aku tahu Allah Maha Mengetahui. Dia pastinya tahu apa yang terbaik untuk aku. Dan dengan perlahan-lahan, aku letakkan semula jenazah adik Adam di dalam bakul untuk En Suami bawa pulang, seterusnya disemadikan di tanah perkuburan.
Akan aku simpan ketat-ketat kenangan ini di dalam memoir hingga ke akhir hayatku. Akan aku ceritakan kisah adik Adam kepada anak-anak yang lain, agar mereka mengambil tauladan agar sentiasa berkasih sayang sesama adik-beradik. Akan aku ingatkan mereka, agar sedekahkan Al-Fatihah buat adik Adam selepas tiap kali solat.
Adam, damailah di singgahsana
Doa buatmu adik Adam. Kami akan sentiasa menyayangimu sepertimana anak-anak yang lain. Damailah kau di singgahsana. Betapa beruntungnya kami punyai wildan syurga yang boleh menarik kami ke syurga Allah.
Al-Fatihah.
“Setiap kali kita rasa kecewa, cuba tanya hati kita pada manusia atau pada Allah. Jika fokus manusia dan dunia, kau akan tertekan. Tapi jika kau fokus pada Allah dan akhirat, nescaya kita akan tenang dan redha”
“Kehadiran bayi lelaki ini pengubat rindu buat arwah. Sampaikan rambut pun sama, betul anak ayah ni.” Kongsi seorang ibu muda yang kisahnya pernah tular sebelum ini kerana pemergian suami secara mengejut sewaktu baru mengecapi alam perkahwinan genap dua bulan.
Lebuh memilukan, Airina Roslan atau mesra di sapa Erin, 24, tidak sangka selepas tiga hari pemergian suami, dia mendapat tahu dirinya mengandung.
Walaupun hanya dua bulan dapat melayari perkahwinan itu, pengganti bayi dalam kandungan itulah pengubat rindu buat arwah suaminya.
Erin pernah berkongsi walaupun hatinya sedih kerana tak sangka cepatnya Allah ambil suami, tapi dia mesti kuat demi bayi.
Suami kena serangan jantung masa main futsal
Sebelum ini, suaminya yang dikenali sebagai Muhammad Amirul Ashraf, 25 tahun, meninggal dunia genap dua bulan perkahwinan mereka, selepas arwah terkena serangan jantung ketika bermain futsal.
Tuhan itu Maha Adil, setelah tiga hari suami meninggal dunia, Erin disahkan hamil. Walaupun berita gembira itu tidak dapat dikongsikan bersama suami tercinta, namun kehadiran zuriat itu sedikit sebanyak menjadi pengubat rindu.
Anak yang ditinggalkan ini penghubung tanda cinta buat suami yang pergi buat selama-lamanya.
Terbaru melalui perkongsian di instagram dan IG storynya, Erin yang telah selamat melahirkan bayi lelaki yang diberi nama Ali, bersyukur Allah mempermudahkan urusannya walaupun tanpa kehadiran suami di sisi.
Bukan mudah melalui detik ini berseorangan, tetapi demi anak kekuatan itu datang dengan sendirinya.
Dalam perkongsiannya itu, Erin turut kagum dengan ibu-ibu yang mempunyai pengalaman bersalin banyak kali kerana bukan mudah melalui detik ini. Sakitnya Allah yang tahu.
Dia juga turut menitipkan pesanan kepada suami-suami bahawa betapa besarnya pengorbanan isteri ketika berjuang melahirkan zuriat. Ia antara hidup dan mati buat seorang wanita.
Sumber: IG Airina Roslan
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!