Buat para isteri di luar sana, berapa ramai dikalangan kalian mengetahui ID dan PASSWORD akaun bank suami kalian? Jika belum, bincangkanlah tentang hal ini.
Hal tentang masa depan bukan setakat bincang anak-anak akan datang nak sekolah di mana? Raya tahun ini nak pakai baju warna apa? Hujung minggu nanti nak beli barang dapur berapa bajetnya?
Hal tentang PENINGGALAN perlu difikirkan sama, saat Allah masih lagi beri peluang kita tidur atas katil bersama. Kerana apabila kita dijemput Ilahi, sangat berbeza mereka yang punyai PERANCANGAN dan mereka yang tiada langsung PERBINCANGAN.
Ramai yang terkejut tidak terkata dan terus buntu tidak tahu ingin buat apa jika sewaktu hayat ini tidak pernah mereka berbicara tentang KEMATIAN. Walhal ia adalah suatu KEPASTIAN.
Fikirkan teman-teman, telah ramai kawan-kawan kita pergi pada usia sebaya kita. Kita tidak terkecuali, suatu hari nanti pasti akan mengadapNya jua.
“Sayang kena hafal Password Maybank2U Abang ni,”
Pesan Cikgu Tg lembut dalam kereta semasa perjalanan pulang ke Port Dickson dari kampung halaman semalam.
“Kalau abang meninggal nanti, perkara pertama Sayang kena buat sebelum menangis adalah keluarkan sebanyak mungkin limit harian abang,” tambah Cikgu Tg.
“Iya insyaAllah bang,” jawapannya bersahaja, mungkin memikirkan benarnya kata-kata Cikgu Tg ini tetapi berat untuk difikirkan.
“Sayang faham kalau meninggal nanti semua akaun bank, KWSP, Tabung Haji, ASB dan semua institusi kewangan yang ada akan freeze,” semestinya dia arif, semasa di USIM dulu dia mengambil jurusan Financial Math dan belajar tentang Muamalat dan Takaful ini.
“Pernah terjadi satu kes, arwah suami seorang isteri ini meninggal, si isteri dapat keluarkan setiap hari RM5,000 selama 3 hari berturut-turut sebelum akaun bank itu freeze. Alhamdulillah sekurang-kurangnya si isteri ini telah punyai RM15,000 dalam tangan untuk urusan pengebumian, langsaikan hutang-hutang arwah dan diagihkan secara faraid duit lebihan itu sebagai harta pusaka kepada yang berhak.
“Ada jugalah dapat duit sedikit sebelum menunggu DUIT HIBAH TAKAFUL RM100,000 yang ditinggalkan oleh arwah suami beliau diserahkan 4 bulan selepas itu,” Cikgu Tg memberikan contoh agar si dia ini betul-betul memahami apa yang Cikgu Tg ingin sampaikan.
Bicara ini adalah kisah benar semalam, kami berbincang dalam nada bersahaja namun betul-betul mengambil serius tentang hal ini.
Mengingat Untuk Sama-sama Beringat
– Cikgu Tg –
Calon Jenazah
Anak, Suami dan Ayah Kepada 3 Orang Anak Kecil.
kredit: Cikgu Tg Abdul Ghafar
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Berjaya Mengembara 4 Buah Negara Bersama Si Kecil, Ini Pesanan Buat Ibu Bapa Yang Ingin Bawa Anak Bercuti
Percutian antarabangsa bersama anak-anak memang pendidikan luar sekolah yang unik dan indah. Tentu sekali “bonding time” ini tidak akan dilupakan oleh anak-anak dan ibu bapa. Ibu kepada dua anak iaitu Puan Azlia Ajid mula membawa anak-anaknya bercuti keluar negara seawal umur 4 bulan lagi.
Percutian pertama bersama anak sulungnya, Harith Safwan yang ketika itu berusia 4 bulan pada tahun 2014 di Bangkok merupakan momen yang menyeronokkan dan rentetan itu dia kerap membawa anak-anaknya bercuti ke luar negara.
Empat buah negara telah dijelajahi bersama anak-anaknya Harith 6 tahun, Hasya Safiya 3 tahun iaitu Bangkok Thailand (2014), Osaka Jepun (2015), Chiang Mai Thailand (2016), Mekah & Madinah (2018), Khao Yai & Bangkok (2019), Perth Australia (2019) dan dalam persiapan untuk ke Seoul Korea pada April tahun hadapan, 2020.
Pengalaman menjelajah empat buah negara bersama si kecil memberikannya banyak pengalaman terutama sekali dalam menguruskan si kecil ketika dalam penerbangan yang panjang.
Bawa Stroller Yang Ringan
Stroller yang ringan sangat membantu sepanjang perjalanan. Bayi kecil boleh diletak dalam stroller dan ibu bapa hanya fokus pada anak-anak yang lebih besar. Barang yang dibawa juga boleh digantung pada stroller.
Bonus: Ibu bapa dengan anak kecil selalunya diberi kelebihan fast track lane untuk check in di imigresen sesetengah lapangan terbang seperti di Bangkok. Stroller adalah penanda yang paling jelas kelihatan untuk petugas memberikan laluan kepada ibu bapa.
Beratur Paling Hadapan Atau Terakhir
Beratur paling hadapan atau yang terakhir ketika di pintu perlepasan untuk mengelakkan anak-anak rasa tidak selesa ketika beratur panjang dan dalam keadaan sesak. Ada syarikat penerbangan yang memberi kemudahan untuk memasuki pesawat paling awal selepas penerbangan kelas bisnes seperti Malaysia Airlines dan Thai Airways.
Penggunaan Bassinet
Sebaiknya pastikan keadaan yang selesa di dalam pesawat dengan memilih seat dengan betul. Jika anak berusia 2 tahun ke bawah, tempah penggunaan Bassinet di dalam pesawat terutama sekali untuk penerbangan malam atau panjang. Ia membolehkan anak-anak berehat dengan selesa.
Buat pemilihan tempat duduk atau seat untuk memastikan ahli keluarga duduk bersama. Kedudukan pada baris paling hadapan menyediakan ruang yang luas untuk anak-anak kecik berdiri sekiranya letih duduk.
Bekalan Makanan Dalam Hand Carry Bag
Bekalan makanan seperti biskut, roti yang secukupnya di dalam bagasi “hand carry” untuk sepanjang di lapangan terbang sebelum berlepas, ketika di dalam pesawat dan sehingga sampai ke penginapan. Anak-anak akan selalunya tenang bila dapat makan!
Tempahan makanan juga adalahh sebaiknya ditempah juga untuk anak-anak. Selalunya pilihan untuk kids meal adalah sangat menarik dan sedap. Anak-anak akan teruja bila dapat set makanan sendiri!
Hand Carry Bag
Bawa Hand Carry Bag yang lengkap untuk sepanjang perjalanan;
– 2 baju persalinan untuk setiap anak
– Bekalan susu
– Baby wipes 80 keping 1 bungkus
– Disposable fragrance plastic dispenser 1 set untuk buang sampah dan lampin pakai buang
– 4-5 keping lampin pakai buang
– 1-2 mainan setiap anak
Sentiasa Menyusu/Beri Susu Ketika Berlepas & Mendarat
Perubahan tekanan udara didalam pesawat boleh menyebabkan bayi kecil tidak selesa dan menangis dengan kuat. Sebaiknya anak-anak diberi minum susu atau air secara berterusan ketika berlepas dan mendarat. Tip ini pasti berkesan!
Pakaikan Baju Sejuk
Penghawa dingin didalam pesawat boleh dikategorikan sebagai sangat sejuk. Membawa jaket atau baju tebal akan membantu anak-anak kecil berada dalam keadaan selesa.
Kemudahan pesawat seperti hiburan di dalam pesawat dengan variasi rancangan kartun dan permainan adalah antara alat terbaik untuk menghiburkan anak-anak sepanjang perjalanan terutama sekali perjalanan yang jauh dan memakan masa.
Kredit: Azlia Ajid
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tak Salah Isteri Larang Suami Berpoligami Kalau Suami Tak Mampu, Mufti Jelaskan Hukumnya
Soalan:
Apakah hukumnya jika isteri melarang suami untuk berpoligami?
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.
Tidak berdosa hukum ke atas seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya. Hanya sanya perkara yang dilarang oleh Hukum Syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi Syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Adapun jika melarang dengan menjustifikasikan dengan perkara-perkara yang disyariatkan maka adalah dibenarkan dan dianjurkan. Misalnya, jika berpoligami akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan qismah (pembahagian hari antara isteri) isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan melarang serta menghalang itu adalah adalah suatu nasihat yang terpuji dalam agama.
Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
إِنَّ بَنِي هِشَامِ بْنِ المُغِيرَةِ اسْتَأْذَنُوا فِي أَنْ يُنْكِحُوا ابْنَتَهُمْ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ، فَلاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، إِلَّا أَنْ يُرِيدَ ابْنُ أَبِي طَالِبٍ أَنْ يُطَلِّقَ ابْنَتِي وَيَنْكِحَ ابْنَتَهُمْ، فَإِنَّمَا هِيَ بَضْعَةٌ مِنِّي، يُرِيبُنِي مَا أَرَابَهَا، وَيُؤْذِينِي مَا آذَاهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.”
Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”
Ibn Hajar juga membawa riwayat al-Zuhri yang menyebut sabda Rasulullah ﷺ:
وَأَنَا أَتَخَوَّفُ أَنْ تُفْتَنَ فِي دِينِهَا يَعْنِي أَنَّهَا لَا تَصْبِرُ عَلَى الْغَيْرَةِ فَيَقَعُ مِنْهَا فِي حَقِّ زَوْجِهَا فِي حَالِ الْغَضَبِ مَا لَا يَلِيقُ بِحَالِهَا فِي الدِّينِ
Maksudnya: “Dan aku risau bahawa agamanya (yakni Fatimah) akan ditimpa ujian fitnah,” yakni Fatimah menjadi tidak sabar kerana cemburu lalu berlaku sesuatu yang tidak layak pada darjat beliau pada agama daripada beliau semasa marah.”
Rujuk Fath al-Bari (9/329)
Dalam hadis riwayat Muslim menyebut bahawa Ali bin Talib telah meminang anak Abu Jahal (yang sudah Islam), sedangkan beliau telah bernikah dengan Fatimah, anak perempuan Rasulullah ﷺ. Apabila Fatimah mendengar hal itu, beliau berjumpa Nabi ﷺ dan berkata kepada beliau: “Sesungguhnya kaummu telah mengatakan bahawa engkau tidak marah demi anakmu, apabila Ali bernikah dengan anak Abu Jahal.” Berkata Miswar (perawi hadis): Lalu Nabi ﷺ bangkit dan aku mendengar baginda bersyahadah kemudian berkhutbah:
أَمَّا بَعْدُ، فَإِنِّي أَنْكَحْتُ أَبَا الْعَاصِ بْنَ الرَّبِيعِ، فَحَدَّثَنِي، فَصَدَقَنِي وَإِنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ مُضْغَةٌ مِنِّي، وَإِنَّمَا أَكْرَهُ أَنْ يَفْتِنُوهَا، وَإِنَّهَا، وَاللهِ لَا تَجْتَمِعُ بِنْتُ رَسُولِ اللهِ وَبِنْتُ عَدُوِّ اللهِ عِنْدَ رَجُلٍ وَاحِدٍ أَبَدًا
Maksudnya: “Amma ba’du, sesungguhnya aku telah menikahkan Abu al-`Aas bin al-Rabi’ (suami Zainab) lalu memberitahuku dan membenarkanku. Sesungguhnya Fatimah binti Muhammad adalah segumpal daging dariku, dan sesungguhnya aku benci apa sahaja yang membawa fitnah kepadanya. Demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.”
Berkata al-Miswar: lalu Ali meninggalkan pinangannya.
Riwayat Muslim (2449)
Dalam riwayat al-Bukhari disebut:
وَإِنِّي لَسْتُ أُحَرِّمُ حَلاَلًا، وَلاَ أُحِلُّ حَرَامًا، وَلَكِنْ وَاللَّهِ لاَ تَجْتَمِعُ بِنْتُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَبِنْتُ عَدُوِّ اللَّهِ أَبَدًا
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak mengharamkan apa yang halal dan tidak menghalalkan apa yang haram, tetapi demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.”
Riwayat al-Bukhari (no. 3110)
Berkata Imam al-Nawawi: “Ertinya aku tidak ada berkata suatu perkara yang bertentangan dengan hukum Allah, maka apabila Allah hukumkan perkara itu adalah halal maka aku tidak akan mengharamkannya, dan jika perkara itu Allah haramkan aku aku tidak akan menghalalkan dan aku tidak akan diam daripada mengharamkannya kerana diamnya aku adalah penghalalan baginya. Dan menjadilah daripada kalangan wanita yang diharamkan berkahwin ialah menghimpunkan antara anak Nabi Allah dan musuh Allah.”
Rujuk al-Minhaj Syarh al-Nawawi `ala Muslim (4/15-16)
Jika kita melihat daripada sudut fiqh, ternyata poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa hal yang mendatang, hukumnya boleh berubah kepada tiga (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/25-26;
Disunatkan: Ini sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya. Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan Syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah ﷺ, Para Tabi’ie dan generasi selepas mereka.
Dimakruhkan: Jika semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau syak terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Ini kerana tidak ada keperluan untuknya. Juga kerana terdapat kemungkinan berlakunya mudarat ke atas isteri-isteri kerana tidak mampu berlaku adil. Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan untuk tidak menambah isteri lebih satu tanpa ada keperluan yang zahir.“ Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/127).
Diharamkan: Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak bias dan pilih kasih, atau kerana keadaannya yang fakir. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh mendatangkan mudarat dan membalas mudarat dengan mudarat yang lain.”
Riwayat Malik (31) dalam al-Muwatto’
Ini sesuai dengan firman Allah ﷻ:
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُو
Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”
(Surah al-Nisa’: 3)
Maksud “keadilan” yang dijadikan kriteria di atas ini adalah tanggungjawab ke atas lelaki dalam keadilan dan sama rata dalam pemberian nafkah, tempat tinggal, kehidupan bersama yang berkualiti, dan menunaikan hak-hak isteri. Manakala soal hati dan perasaan adalah perkara yang relatif dan sukar dikawal. Oleh itu, perbezaan dalam hal emosi tidak membawa kepada dosa, sekiranya dijaga aspek zahir dan tidak membawa kepada kezaliman dan penganiayaan. Ini yang dimaksudkan dalam firman Allah ﷻ:
وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nisa’: 129)
Oleh sebab itu, Rasulullah ﷺ sendiri adalah seorang yang paling adil terhadap isteri-isteri baginda pada memberi mereka pembahagian hari dan muamalat yang baik, namun baginda lebih menyayangi Aisyah R.Anha. Baginda berdoa:
اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ، فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ
Maksudnya: “Ya Allah, inilah pembagianku yang aku mampu, maka janganlah Engkau cela aku pada sesuatu yang Engkau mampu dan tidak aku mampu.”
Riwayat Abu Daud (1822). Beliau berkata; “yaitu hati.”
Kembali kepada perbincangan asal, apabila hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi mubah, sunat dan haram, maka tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan. Justeru, ia bukan sahaja masuk dalam bab nasihat yang baik antara Muslim, tetapi juga adalah sebahagian perlaksanaan konsep Syura yang dituntut oleh Syarak. Ini kerana seorang wanita apabila mengetahui suaminya ingin memadukannya, perlu memastikan hak-hak dirinya seperti nafkah yang telah ditentukan mengikut uruf dan persetujuan bersama, tidak dilanggar atau ditindas apabila berlakunya poligami. Dalam erti kata lain, seorang isteri ada hak menyuara pendapat yang berbeza dalam sesi syura bersama suami untuk berkahwin lain. Hak kebebasan berpendapat dalam sistem Syura ini dinaskan dalam al-Quran. Firman Allah ﷺ:
وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
Maksudnya: “Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”
(Surah Ali Imran: 159)
Berkata Syeikh Muhammad Tohir Ibn Asyur: “Maka telah jelaslah bahawa musyawarah yang disuruh oleh ayat ini di sini adalah musyawarah pada hal ehwal umat dan maslahat-maslahatnya. Allah telah mengarahkan perlaksanaannya di sini dan telah memujinya ketika menceritakan tentang kaum Ansar dalam firman-Nya Ta’la yang lain:
وَأَمْرُهُمْ شُورى بَيْنَهُمْ
Maksudnya: “dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;”
(Surah al-Syura: 38)
dan Allah telah mensyaratkannya dalam urusan keluarga seperti mana firman-Nya:
فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَن تَرَاضٍ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا ۗ
Maksudnya: “Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya);”
(Surah al-Baqarah: 233)
Maka Allah telah mensyariatkan dengan ayat-ayat yang telah disebutkan tadi perlaksanaan musyawarah pada pelbagai lapisan maslahat; iaitu maslahat keluarga, kabilah, negeri dan maslahat umat keseluruhan.”
Rujuk Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir (4/147-148)
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum isteri melarang suaminya untuk berpoligami tidak berdosa, sekiranya dibuat atas dasar nasihat, Syura demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap haknya. Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan masyarakat agar sentiasa mendidik wanita dengan keperibadian Muslimah dan menjaga hak-hak mereka daripada ditindas atau dilanggar. Inilah pesanan Rasulullah ﷺ dalam khutbah terakhir beliau yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA:
اتَّقُوا اللهَ فِي النِّسَاءِ، فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانَةِ اللهِ، وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللهِ، وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah, dan telah halal bermesraan secara seksual bagi kaum dengan kalimah Allah… dan ke menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikan nafkah rezeki kepada mereka dan pakaian dengan ukuran yang makruf.”
Riwayat al-Nasaie (no. 9135)
Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua.
Sumber: Laman Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Isteri Dalam Pantang, Tak Minta Lebih Pun. Cukup Suami Bantu Apa Yang Patut, Urus Anak Dah Ok
Fahamilah emosi, hati isteri berpantang ni umpama tisu. Waktu ini apa sahaja yang buatkannya rasa sedih, tertekan kesannya sangat teruk. Dalam tempoh ini wanita berpantang kena berada dalam keadaan tenang dan gembira.
Penting buat suami untuk sentiasa memberi sokongan, membantu apa yang patut dan menjaga perasaan isteri. Ibaratnya jiwa wanita berpantang ni sangat sensitif.
Apa salahnya sama-sama bantu jaga anak, sedia makanan berpantang, uruskan kerja rumah atau apa yang patut bagi elakkan isteri rasa tertekan. Tak sempurna tak apa asalkan ada kesungguhan nak buat.
Perkongsian dari Azlan Noor apa yang suami boleh buat bila isteri berpantang perlu difahami dan bukanlah biar isteri uruskan semua atas alasan tak pandai.
Cerita perjalanan isteri mengandung ni tak habis pada bab melahirkan baby je sebenarnya. Ketahuilah, dalam tempoh berpantang itu lah si isteri dambakan sokongan daripada suami.
Satu malam tu, “Papa..Papa..Baby berak ni. Jom tolong mama basuh jap.”
Tiba-tiba surihati datang kejut saya sambil dukung baby. Saya tanya pukul berapa sekarang ni. Pukul tiga pagi katanya.
Saya bingkas bangun dan terus ke dapur. Air suam untuk basuh berak surihati saya dah sediakan. Tinggal nak basuh je. Saya pangku baby di tangan kanan, sambil tangan kiri stand by nak gosok najis. Sambil surihati tuang air, sambil gosok. Saya sempat curi tengok muka dia. Dah macam hape dah.
Esoknya saya tanya berapa kali baby bangun malam tadi. Empat kali termasuk berak semalam. Patut la muka lesu dan serabai macam Hantu Kak Limah.
Masa tu saya terfikir, rupanya inilah yang saya terlepas pandang sebelum ni. Orang perempuan, derita mengandung dan sakit bersalin belum reda, nak kena jaga anak baru lahir masa dalam pantang pulak.
Dulu tak fikir sangat pasal ni. Saya anggap berpantang ni biasa-biasa je. Semua perempuan bersalin kena lalui.
Rupa-rupanya tak!
Apabila makin banyak cerita ibu meroyan, bunuh anak sendiri dan bunuh diri akibat stress dan depresi semasa berpantang, saya sedar suami lah yang kena bagi support paling kuat kepada isteri.
Sebab bila suami tak memahami dan tak membantu, dengan luka kat bawah yang tak baik lagi, tenaga hilang masa bersalin yang belum berganti, anak baru lahir pulak meragam, isteri mudah tertekan dan mental mudah koyak.
Tak susah sebenarnya nak bagi sokongan. Sekecil-kecil ‘moral support’ pun isteri rasa besar.
Macam baby saya yang baru lahir tu doktor check ada demam kuning. Dah kena tahan wad. Malam ondaway pergi hospital tu, masa berhenti kat trafic light, saya tengok surihati pandang keluar. Jauh sekali pandangannya. Saya tahu dia risaukan baby kami tu.
Saya tak cakap apa apa, saya pegang tangan kanan dia dengan tangan kiri. Tak semena-mena saya nampak air mata mengalir kat pipi dia. Allah..Terus tersebut dalam hati,
“Ya Tuhan, selamatkan lah anak kami. Tenangkanlah hati aku dan isteri. Permudahkanlah urusan kami.
Saya genggam erat tangan dia sampailah ke hospital.
Sekurang-kurangnya, dia tahu saya pun turut sedih. Paling penting, dia tahu saya ada bersamanya, walau apa yang terjadi.
Suami jangan ambil mudah bab isteri berpantang. Rendahkan ego dan ringankan tulang untuk bantu isteri.
- Jaga isteri masa berpantang kalau rasa nak isteri cepat sihat dan kembali seperti sedia kala. Rebuskan air herba, sediakan air mandian, ambil baju, bra dan spender. Sapukan krim barut kat perut dan ikat bengkung isteri. Carikan tukang urut untuk betulkan peranakan isteri. Tak lupa, sediakan masakkan makanan isteri berpantang. Jangan main bedal.
- Jaga anak yang baru lahir. Siap siaga untuk bangun malam buatkan susu, basuhkan berak. Mandikan dan dodoikan mereka pun kena pandai juga. Kalau anak tak sihat, suami kena kuat fizikal mental untuk ulang alik hospital.
Penat memang penat. Tapi itulah tanggungjawab kita sebagai suami dan ayah.
Kalau tak tahu, kena cari ilmu. Kena belajar. Tak boleh lepas tangan. Jangan beri alasan.
Masa isteri berpantang ni, nak buat benda lain tu boleh. Tapi fokus kau mesti dekat isteri dan anak yang baru lahir.
Sebab,
Masa inilah kau nak tunjukkan kasih, sayang dan cinta kepada anak dan isteri kau.
Masa inilah kau nak tunjukkan kau ni bertanggungjawab terhadap amanah yang kau setuju nak pikul masa lafaz akad.
Masa ini lah kau nak buktikan kau bukan sekadar jantan yang hanya tahu tanam benih tak tahu jaga, tapi,
Kaulah lelaki dari syurga yang dihantar Tuhan sebagai pelindung isteri dan anak-anak.
Sumber: Azlan Noor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI