Penyanyi kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat mengakui pengalaman membesarkan anaknya bersama isteri agak mencabar namun meletakkan segalanya kepada Allah SWT.
Bila melibatkan aspek kesihatan dan keselamatan anaknya, dia meletakkan segalanya pada Allah agar dijauhi dari hal yang tidak diingini.
Malah kata Azmi lagi, dia dan isteri bukanlah pasangan pertama yang membesarkan anak sendirian tanpa bantuan orang lain. Ia detik terindah buatnya dan isteri tambah lagi si comel, Khalisa kini bakal memasuki usia enam bulan.
“Antara soalan yang banyak ditanyakan pada kami tentang anak adalah siapa yang tolong jaga? Bila kami jawab kami berdua sahaja yang jaga sendiri, biasanya mereka akan terkejut. Mereka terfikir bagaimana keadaan saya dan isteri yang dua-duanya langsung tak boleh melihat menguruskan anak.
“Memang betul. Saya dan isteri jaga Khalisa berdua sahaja. Malah kami bukanlah pasangan buta pertama yang berbuat demikian. Ramai lagi kawan-kawan senasib saya buat perkara yang sama walaupun kebanyakannya salah seorang dari pasangan boleh melihat sedikit.
“Saya bersyukur dapat isteri yang memang kuat semangatnya untunk menjaga anaknya sendiri. Memang sejak awal perkahwinan kami dah sudah suarakan hal itu.
“Dia tak mahu seperti mereka yang tinggalkan anak di kampung dan ambil semula setelah pandai mengurus diri.
“Jujurnya memang ada risau juga. Terutamanya hal yang berkaitan keselamatan. Namun, kami serahkan semuanya pada Allah. Kami selalu saling mengingatkan agar baca bismillah sebelum buat apa sahaja. Mudah-mudahan Allah jauhkan dari hal yang tak dingini,” tulisnya panjang lebar.
Tambah Azmi lagi, dia paling bersyukur bila mana ada rakan-rakan terdekatnya yang sentiasa prihatin dan sudi membantu dalam banyak hal menguruskan anaknya.
“Selain itu, kami juga bersyukur ada keluarga dan kawan-kawan yang selalu bertanya khabar. Walaupun kami boleh jaga sendiri bukan bermakna langsung tak perlukan penglihatan.
“Ada juga beberapa perkara yang kami minta orang lain untuk tolong seperti mencari semula pasangan baju dan seluar yang bercampur waktu dicuci dan tengokkan kalau-kalau ada ruam atau apa-apa pada badan Khalisa yang tak mampu dirasa dengan jari.
“Syukurnya, tak ada satu pun dari mereka yang mempersoalkan cara kami menjaga anak. Mereka hanya bantu apa yang kami perlu sahaja,” tulisnya.
Kini kata Azmi dia dan isteri semakin teruja untuk memperkenalkan makanan pejal buat Khalisa malah mengakui agak berdebar-debar melalui fasa baru itu.
“6 Mei ini Alhamdulillah genap 6 bulan umur Khalisa. Bermula fasa baru untuk dia dan kami iaitu fasa nak bagi dia makan. Agak mencabar juga. Nak sediakan makanannya, nak menyuap dalam keadaan dia belum pun kenal erti makan dan nak pastikan dia betul-betul dapat makan dengan baik.
“Selain itu, Khalisa dan Ibu juga akan belajar berpisah kerana perlu menghantar Khalisa ke rumah pengasuh. Bulan Jun Si Ibu sudah kembali bekerja. Dah berapa kali dia suarakan kesedihan bila terpaksa menghantar Khalisa pada orang lain.
“Begitulah kawan-kawan. Hidup adalah perjuangan. Kita semua ada perjuangan masing-masing. Menang atau kalah adalah bermula dari impian. Bila ada impian barulah adanya kekuatan.
“Sama-sama kita berjuang dengan cara kita sendiri. Kita ada Allah yang akan sentiasa beri yang terbaik untuk hambaNya. Selalulah bersangka baik dengan Allah. Mudah-mudahan kita selalu dalam kasih-sayangNya,” tulisnya lagi.
Terdahulu, Azmi dan isteri menyambut kelahiran cahaya mata kedua mereka pada 6 Mei tahun lalu selepas melalui tempoh duka pemergian anak pertama yang mengalami masalah pernafasan.
Menarik: Moga Jadi Anak soleh, Puteri Aishah Kongsi Nama Anak, Makin Cantik Dalam Pantang
Ibu Pam Susu Bercampur Dengan Darah, Boleh Ke Bagi Pada Anak!
Tip Rangsang Bayi Merangkak, Mama Papa Boleh Cuba Praktikkan!
Ayuhhh Sertai Jom Mewarna Oyen Bintang Kecil!
Pelbagai hadiah menarik menanti anda selain boleh berhimpun bersama ratusan ekor kucing Oyen comel di sini. Apa lagi daftar sekarang dan jadi sebahagian peserta kami.
Mudah sahaja hanya klik link di bawah dan daftar. https://toko.ideaktiv.com/product/jom-mewarna-oyen/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my