“Minum Air Sejuk Masa Pantang, Tak Ada Kena Mengena Dengan Yang ‘Bawah’ Tu”, Dr Amalina Kongsi Sebabnya!

Share

Satu hal yang membuatkan ibu berpantang merasa berpantang sedikit menyukarkan kerana dilarang mengambil air sejuk sepanjang 44 hari tempoh berpantang. Berbanding makanan berpantang dengan teknik rebus dan panggang, kebanyakkan wanita lebih merasa tertekan kerana tidak dapat minum air sejuk sepanjang waktu itu.

Menerusi laman sosial Twitter, pelatih pakar bedah warganegara Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri menegaskan pengambilan air sejuk atau air suam semasa tempoh berpantang bagi wanita baru bersalin sama sekali tidak memudaratkan kesihatan vagina si ibu.

Dr. Amalina berkongsi info berkenaan selepas diajukan soalan oleh seorang pengikutnya.

“Doctor, saya nak clarify satu benda… cousin saya lepas bersalin panjang minum air sejuk 2 tahun untuk pastikan bawah tu ok. Soalan saya, ada kaitan ke minum air sejuk selepas bersalin dengan yang bawah tu?

Ini jawapan dan penjelasan yang dikongsikan doktor cantik ini.

“Anda minum air sejuk ke, air suam ke, apa yang anda minum akan berubah jadi suhu badan apabila masuk ke dalam sistem pencernaan. Tidak ada kena mengena langsung.

“Tak salah berpantang cara tradisional tapi jangan sampai memudaratkan, sampai catu air, catu makanan berzat dan macam-macam yang tidak mendatangkan faedah tetapi mudarat. Bincang dengan doktor obs & gynae mana yang boleh ikut, mana yang perlu tinggalkan.

“Jangan dengar cakap orang yang suka takut-takutkan anda, tetapi pastikan anda faham kenapa anda buat sesuatu perkara dan buat yang terbaik untuk diri anda dan bayi. Bincang baik-baik dengan keluarga.

Bukan ikut cakap orang membuta tuli. Itu badan anda, kesihatan anda dan hak anda,” tulis Dr. Amalina berkongsi di twitter beliau.

 

Sehingga kini, perkongsian Dr. Amalina telah menerima hampir 10,000 ulang kicau daripada warga Twitter.

Perkongsian itu turut mendapat perhatian pengikutnya yang turut menyuarakan beberapa pendapat. Malah ada juga wargamaya yang menggelarkan generasi muda terlalu manja dalam menjalani proses berpantang berbanding wanita pada zaman dahulu yang akur dengan tradisi berpantang yang ketat. Tidak terkecuali juga yang berkongsi dan bersetuju dengan Dr Amalina yang sentiasa berkongsi info menarik untuk pengikutnya.

“Betul tu doktor, awak bagi ilmu yang sangat berguna,” komen seorang wargamaya.

“Macam aku berpantang macam zaman nenek dulu.. Terima kasih arwah mak sebelum pergi tinggal pesanan jangan manjakan diri semasa berpantang. Kena cergas,” kongsi seorang wargamaya.

“Generasi kita ni terikat dengan kaedah pantang/kawalan ketat mak-mak yang menjaga kita dalam pantang. Sampai mak pernah kecik hati dengan menantu sebab bandingkan doktor dengan pesan org tua soal berpantang ni. Bab kecil hati seorang ibu ni yang tak daya,” luah seorang wargamaya.

Published by
Siti Ramlah Mahmud