Minum Kopi ‘Kaw’ Sambil Layan Mi Bandung Muar, Tenangnya Lepak Di Kedai Kopi Kebun!

Share

Memegang tanggungjawab sebagai seorang ibu bukanlah mudah. Kita juga manusia biasa, ada masanya akan rasa letih dan tertekan. Tak mahu burn out, sesekali perlu juga ambil masa untuk diri sendiri dan buat apa yang kita suka. Barulah boleh recharge semula tenaga!

Lepak Dengan Kawan, Minum Kopi Dah Cukup
Kadang-kadang untuk me time, ibu tak perlu keluarkan modal yang besar pun. Cukup sekadar dapat keluar sebentar dari rumah dan keluar bersama teman-teman rapat.

Dapat berkongsi cerita sambil duduk minum kopi sebenarnya sudah cukup untuk buat ibu rasa tenang dan lupa sebentar bebanan kerja yang ada. Dapat pula kopi yang ‘kaw’ dan makanan yang sedap, lengkaplah pakej untuk kembali bersemangat kan?

Uniknya Kedai Kopi Kebun
Bercerita tentang tentang tempak lepak yang ada kopi sedap, cubalah ke Kedai Kopi Kebun. Menurut pemilik kafe ini, Puan Sali Suhaimi, Kedai Kopi Kebun telah mula beroperasi sejak bulan Mac 2022 yang lepas. Kafe ini terletak di Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam.

Team Kedai Kopi Kebun yang sedia menawarkan servis terbaik kepada para pelanggan

Biarpun usia kafe ini baru sahaja sembilan bulan, tetapi sudah ada pelanggan tetap yang datang untuk menikmati kopi dan kek sambil mendengar alunan lagu lama nyanyian Tan Sri P.Ramlee dan biduanita Saloma. Memang mendamaikan.

Ditanyakan tentang idea untuk membuka Kedai Kopi Kebun, Puan Sali menjelaskan dia sudah lama menyimpan hasrat untuk memulakan perniagaan sendiri.

“Saya tak tahu nak meniaga apa, jadi saya senaraikan semua perancangan saya termasuklah peniagaan F&B. Jadi saya buat kajian tentang perniagaan ini, termasuklah kekuatan dan kekurangannya.”

Tambahnya lagi, akhirnya niat untuk membuka kafe diteruskan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kedua kerana duit simpanan sudah semakin berkurangan.

“Saya kena retrench semasa awal PKP 1, jadi duit dalam simpanan makin habis saya gunakan untuk survive waktu itu. Waktu tu saya nekad dan mula merancang untuk buka Kedai Kopi Bunga ni.”

Ilham Nama Unik & Konsep Kafe
Cerita Puan Sali, idea untuk menamakan kafenya datang dari konsep dan dekorasinya. Kalau dilihat, dalam kafe ini banyak pokok-pokok seperti duduk di dalam kebun. Banyak nama yang difikirkan, akhirnya Puan Sali memilih Kedai Kopi Kebun kerana lebih dekat dengan hati.

Uniknya konsep Kedai Kopi Kebun!

“Bekerja hampir 28 tahun dalam bidang IT memang stres. Saya rasa semua kerja akan buat kita tertekan. Penting kita jaga kesihatan mental, barulah badan pun sihat. Jadi waktu itu, saya banyak keluar minum dengan kawan-kawan di kafe.”

Ketika itu, Puan Sali mendapati kafe atau gerai kopi yang dihiasi dengan pokok-pokok akan mewujudkan rasa tenang apatah lagi dia juga seorang yang memang sukakan tumbuhan. Semua faktor ini memberi inspirasi kepadanya untuk membuka kafe berkonsepkan pokok-pokok.

Dekorasi ringkas dengan hiasan pokok-pokok memenuhi Kedai Kopi Kebun

“Kalau dulu saya ke kafe untuk rest minda, kali ni kiranya macam saya nak bagi balik pada generasi muda yang penat bekerja supaya ada tempat mereka nak break dan hilangkan stres sambil minum kopi.”

Top Seller Kebun Kedap Kopi
Menurut Puan Sali lagi, di kafenya memang tiada banyak pilihan makanan kerana dia lebih mensasarkan untuk pelanggan datang dan rehatkan minda. Namun berkongsi apakah top seller di Kedai Kopi Kebun, sudah tentulah Kopi Muar dan Mi Bandung Muar.

Mi Bandung Muar yang menjadi kegilaan ramai di kafe ini!

Untuk pemanis mulut pula, antara yang menjadi pilihan para pelanggan adalah Kek Batik dan Kek Lapis Asam Manis selain beberapa pilihan biskut premium.

Kek Batik Biscoff yang diminati ramai

Yang menariknya di Kedai Kopi Kebun ini juga ada dijual pokok kokedama. Ada banyak jenis pokok kokedama yang ada di sini dan boleh dibeli oleh para pelanggan untuk dibawa pulang.

Antara pokok kokedama yang boleh dibeli dari Kedai Kopi Kebun

Buka Cawangan Baru
Ditanyakan tentang perancangan untuk membuka cawangan Kedai Kopi Kebun yang lain, Puan Sali ada memasang niat tersebut. Tambahnya lagi, jika mempunyai kewangan yang cukup bolehlah dia buka cawangan lain untuk anak-anaknya belajar berniaga jika mereka mahu.

Damai dan menenangkan

“Saya nak tunggu anak-anak semuanya tamat pengajian dan kalau mereka berminat bolehlah ambil alih perniagaan saya. Perancangan untuk tambah cawangan lain semuanya dah dibuat, kalau ada rezeki dari segi kewangan tinggal untuk execute sahaja.”

Sekiranya anda mahu melepak di Kedai Kopi Kebun, bolehlah layari laman Instagram kedaikopi.kebun

Published by
Emy H