Lobak merah dan mata, adalah 2 perkara yang selalu dikaitkan bersama. Malahan ia menjadi kepercayaan kebanyakan mommies di luar sana. Tetapi betul ke makan lobak baik untuk penglihatan?
Propaganda lobak merah
Lobak lazimnya dikatakan sebagai 1 ubat ajaib yang dapat menjaga kesihatan mata dan memperbaiki penglihatan pada waktu malam. Mungkin ada di antara kita yang mempersoalkan mengenai perkara ini, adakah ia benar atau sekadar auta semata-mata, bukan?
Lobak dan manfaatnya kepada mata telah menjadi kepercayaan kebanyakan individu di dunia ini dalam meningkatkan kesihatan mata. Walaupun ada kebenaran mengenainya, namun asal usul tersebarnya berita ini bermula daripada mitos.
Semasa Perang Dunia II, seorang juruterbang Tentera Udara Diraja British berjaya menggunakan radar, satu teknologi baru ketika itu untuk menyasar dan menembak jatuh pesawat musuh.
Mitos mengenai kehebatan lobak ini disebarkan bagi menutup rahsia teknologi baru tersebut yang mempunyai keupayaan memberikan ketepatan visual kepada juruterbang daripada pengetahuan musuh, iaitu pihak Nazi Jerman.
Bermula daripada itulah, propaganda mengenai kehebatan lobak merah atau carrot yang kononnya dapat meningkatkan penglihatan pada waktu malam tersebar dan dipercayai sehingga ke hari ini.
Hubungan lobak merah dan penglihatan
Carrot merupakan antara sayuran yang popular dan menjadi kegemaran kebanyakan individu. Sayuran rangup dengan nama saintifik Daucus carota ini kaya dengan pelbagai khasiat seperti:
- Karbohidrat
- Protein
- Serat
- Vitamin A, C, K
- Kalsium
- Zat besi
- Magnesium
- Fosforus
- Kalium
- Zink
- Folat
Selain itu lobak juga kaya dengan lutein, iaitu antioksidan penting dalam membantu memperbaiki tahap kesihatan individu. Makanan tinggi kandungan lutein akan meningkatkan ketumpatan pigmen dalam makula.
Apabila ketumpatan pigmen meningkat, ia akan dapat membantu melindungi retina. Keadaan ini sekali gus akan mengurangkan risiko kemerosotan penglihatan.
Beta-karotena yang terdapat dalam lobak merah juga bermanfaat dalam membantu fungsi penglihatan. Selepas dimakan, mineral ini akan bertukar bentuk kepada vitamin A yang dikenali sebagai retinol dan boleh dicerna badan.
Kekurangan beta-karotena atau turut dikenali sebagai karotenoid yang penting untuk penghasilan vitamin A dalam badan akan meningkatkan risiko berlakunya masalah penglihatan apabila dalam keadaan kurang pencahayaan.
Mitos lain berkaitan mata
Selain daripada carrot, terdapat juga 3 mitos lain berkaitan mata yang masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini. Jom kita bongkar!
Tengok televisyen pada jarak dekat
Selalunya kita akan melarang anak-anak daripada menonton televisyen (TV) pada jarak yang terlalu dekat kerana mempercayai ia akan merosakkan penglihatan, betul?
Tetapi hakikatnya, duduk pada jarak yang dekat ketika menonton TV hanya akan menyebabkan anda berasa sakit kepala tetapi TIDAK akan menjejaskan penglihatan anda.
Sinaran biru yang ada pada televisyen membahayakan mata jika terdedah secara berlebihan. Dalam jangka panjang, ia boleh menyebabkan kerosakan pada retina, sekali gus menyebabkan kerosakan serius pada mata.
Membaca dalam keadaan gelap
Sebenarnya, situasi ini sama seperti menonton TV pada jarak dekat. Ia boleh mengakibatkan anda mendapat sakit kepala atau mata menjadi penat. Namun ia TIDAK sampai menyebabkan tahap penglihatan anda merosot.
Kebergantungan kepada cermin mata atau kanta lekap
Jika anda adalah individu yang memakai cermin mata, mesti pernah mendengar bahawa pemakaian cermin mata hanya akan membuatkan penglihatan anda menjadi lebih teruk. Tetapi betul ke?
Ia TIDAK BENAR sama sekali. Keupayaan penglihatan mata anda tidak akan merosot kerana penggunaan cermin mata atau pemakaian kanta lekap. Preskripsi tahap mata anda mungkin akan berubah tetapi ia bukan disebabkan cermin mata atau kanta lekap.
Sebaliknya peningkatan itu berlaku seiring dengan peningkatan usia atau didasari oleh sebarang masalah berkaitan kesihatan.
Sayangilah mata
Jadi mitos mengenai lobak merah adalah SAHIH. Ia sememangnya baik untuk memperbaiki tahap penglihatan, cuma kerap makan lobak tidaklah sampai membuatkan anda memiliki mata yang berkuasa pada waktu malam.
Apapun, mata merupakan satu deria yang penting bagi setiap individu. Amat penting untuk anda memberikan penjagaan yang terbaik pada mata. Jika menyedari sebarang masalah berkaitan mata, lakukan pemeriksaan dengan segera, jangan melengah-lengahkan masa, okay?
Kredit: Hello Doktor
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI