“Morning Walk, Sarapan Sama” Siang Pergi Kerja, Urus Anak-Anak. Curilah Waktu Dengan Pasangan!

Share

Sejak kehadiran cahaya mata dalam hidup kita, sepenuh masa dan perhatian diberikan kepada anak-anak sampai kita terlupa ruang dan waktu bersama pasangan.

Hakikatnya, pasangan kita, baik suami atau isteri perlukan ruang untuk bersama. Curilah waktu sebaik mungkin demi menguatkan kasih sayang.

Perkongsian seorang Penulis Buku dan Motivator Al-Quran, Khairul Anuar Basri ini wajar kita teladani. Usahakan waktu untuk bersama dan capailah matlamat sama-sama kelak.


Sekarang umur saya 44 tahun. Saya ada masa 6 tahun saja lagi untuk sampai ke umur 50 tahun.
Perancangan saya, pada umur saya 50 tahun, saya nak mengembara mengelilingi dunia berdua dengan isteri saya.

Ketika itu, isteri saya mungkin sudah bersara awal dari kerjanya sebagai guru. Katanya dia nak jadi PA dan driver saya saja.

Ketika itu, anak-anak pun sudah besar panjang. Yang sulung mungkin sudah hampir tamat pengajian di universiti. Yang paling bongsu pun mungkin sudah masuk sekolah menengah dan tinggal di asrama.

Jadi, tiada gangguan dan halangan lagi untuk ke hulu dan ke hilir berdua sahaja. Saya pernah terfikir. Setelah sekian lama berusaha untuk hidup bersama sebagai pasangan suami isteri, kita akhirnya terpisah juga dek kerana tanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga.

Seawal pagi masing-masing sudah dengan hal masing-masing. Suami ke tempat kerjanya. Isteri juga ke tempat kerjanya. Balik petang atau malam, tubuh badan sudah terlalu letih.

Tiada masa pun untuk berborak-borak santai. Begitulah setiap hari sehingga umur pencen menjelang tiba.

Kurang masa bersama. Tiada masa berdua. Adakah itu matlamat perkahwinan kita? Adakah itu yang didambakan suatu ketika dahulu?

Bila dah tua, kudrat dah tak secergas dahulu. Fikiran pun tidak seriang dan semuda dahulu. Banyak keterbatasan yang akan kita tempuh. Nikmat hidup berdua juga sudah semakin tidak bermakna.

Sebab itu saya paksa juga kadang-kadang keluar ke mana-mana berdua dengan isteri. Paling tidak di setiap hujung minggu, ke masjid untuk solat Subuh, kemudian morning walk, then sarapan. Jam 10 pagi baru balik ke rumah.

Secepat mungkin saya mesti hentikan semua ini. Agar hidup berdua dapat diberi erti dan makna dengan sebaiknya.

Itulah juga motivasi saya bila saya berhenti kerja makan gaji dan mula bekerja sendiri. Mahu ada masa yang boleh diatur sendiri.

Mahu ada waktu bersama yang tersayang dengan semaksima mungkin, sebelum jasad dijemput pulang menghadap Ilahi.

Hidup kita ni tak lama. Entah sempat entah tidak saya bertemu dengan umur 50 tahun. Entah saya yang mati dulu atau isteri saya yang mati dulu. Saya pun tak tahu.

Antara benda yang paling saya takut ianya berlaku ialah jika isteri saya yang mati terlebih dahulu dari saya. Macamana la hidup saya nanti tanpa dia di sisi. Begitu juga sebaliknya.

Tapi itu janji yang pasti. Sebelum ia datang, saya nak gunakan sepenuhnya umur yang tersisa ini untuk meninggalkan kenangan terindah buat kami berdua.
Semoga Allah izinkan. Amin.

Menarik: Nasi Penuh Tak Cukup Minta Lagi, Anak Berselera Makan, Ayda Jebat Risau Anak Overload!

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Published by
SRM