Mudah Sebenarnya Nak Ajar Anak Main Sendiri Tanpa Perlu Hulur Telefon Bila Bosan

Share

Manfaat ibu bapa bermain dengan si kecil atau membuat aktiviti untuk anak sememangnya luas dan tidak dapat dinafikan lagi. Tapi, sekiranya si kecil asyik menangis setiap kali ibu atau ayah bangun untuk membuat tugas penting seperti menjawab telefon, ia tentu memeningkan bukan?

Independent play atau proses bermain sendiri juga sebenarnya mempunyai elemen penting dalam perkembangan anak kecil. Menurut ahli psikologi Dr. Kathy Hirsh-Pasek, bermain sendiri membina keyakinan diri, memupuk kreativiti, dan menggalakkan pemikiran kritis anak kecil. Dengan kebolehan bermain sendiri, anak juga tidak mudah bosan apabila ditinggalkan bersendirian, malah lebih bijak meneroka keadaan sekeliling dan mempelajari pelbagai perkara melaluinya.

Menurut Janet Lansbury, penasihat keibubapaan dan hos TV terkenal Respectful Parenting, setiap anak kecil mempunyai potensi untuk bermain sendiri.

5 TIPS AJAR ANAK BERMAIN SENDIRI TANPA ‘BANTUAN’ GAJET

Berikut adalah beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk menggalakkan independent play sebagai aktiviti untuk anak – tanpa memerlukan tablet atau smartphone. Biar mereka lebih kreatif meneroka!

  1. MULAKAN SEJAK AWAL

Sebenarnya, anda boleh melatih independent play ini sejak awal usia lagi. Ini kerana, setiap anak kecil biasanya begitu mudah berasa hairan dan kagum dengan pelbagai perkara di sekeliling mereka.

Contohnya, anda boleh mula dengan menunjukkan anak anda dengan beberapa jenis permainan dan cara bermain dengannya. Kemudian, biar mereka cuba sambil memerhatikan dan memberi sokongan. Selepas beberapa kali, anda boleh memantau dari jauh atau melakukan apa-apa aktiviti lain di samping mereka semasa mereka sibuk meneroka!

  1. BIARKAN ANAK MENEROKA

Sekiranya anak didapati bermain sesuatu permainan dengan cara yang berlainan daripada apa yang anda tunjukkan, biarkan mereka. Contohnya, mungkin anak anda mahu bermain dengan kereta mainan sebagai telefon. Biarkan saja dan tak perlu betulkan mereka. Jika mereka melakukan sesuatu yang merbahaya, barulah kita menghalang mereka.

Ini kerana, anak-anak perlu dibenarkan untuk bermain mengikut cara mereka yang tersendiri. Walaupun ianya mungkin salah atau pelik, tak mengapalah. Sebaliknya, anda patut berasa bangga kerana mereka mampu memikirkan sesuatu yang di luar kotak.

  1. TAK PERLU TURUT SERTA, TAPI TETAP MERESPON

Ada masanya mungkin anak akan datang dan memberi salah satu mainannya kepada ibu atau ayah. Jika anda benar-benar sibuk pada waktu itu,  anda tidak perlu turut serta dalam permainan mereka, tetapi mestilah merespon dengan efektif.

Caranya, tatap wajah mereka dan beri maklumbalas secara verbal. Katakan sesuatu seperti “Terima kasih, sayang”, atau “Wah, ibu suka betul permainan ini!” Kemudian, berikan kepada mereka semula agar terus bermain. Dengan cara ini, mereka dapat memahami bahawa ibu bapa mereka tetap ada bersama mereka walaupun melakukan aktiviti yang berbeza.

 

  1. CADANGKAN AKTIVITI YANG MUDAH

Ada masanya, anak tetap berasa bosan dan mahu mengikut kita ke dapur semasa memasak. Jika ini berlaku, ada 2 perkara yang perlu dilakukan. Pertama, pastikan keadaan selamat daripada barang-barang yang tajam atau licin. Kedua, berikan mereka sesuatu yang seronok untuk dilakukan dengan perkakas yang selamat.

Mungkin anak mahu meniru perbuatan kita. Jadi, berikan mereka mangkuk dan pinggan plastik supaya aktiviti untuk anak dapat tetap berlangsung di samping kita menguruskan kerja lain. Boleh juga berikan periuk belanga bersama senduk kayu agar mereka boleh memainkannya sesuka hati mereka.

  1. MENYEDIAKAN PLAY AREA

Di Malaysia, mungkin ada yang mengecam apabila ibu bapa membuat kawasan sekatan berpagar seperti playard atau play area untuk anak. Tapi sebenarnya kawasan ini amat membantu perkembangan mereka, terutamanya untuk memperkembangkan kebolehan independent play.

Dr Margaret Paul mengulas bahawa salah satu cara paling berkesan untuk menggalakkan anak-anak bermain sendiri adalah dengan menyediakan persekitaran yang selamat. Dengan cara ini, anak-anak dapat bereksperimen dan melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan tanpa asyik disekat dan dihalang oleh ibu bapa.

PROSES PERALIHAN MEMERLUKAN MASA

Sekiranya sebelum ini anak anda selalu merangkakan aktiviti untuk anak, mereka mungkin akan mengambil sedikit masa untuk melalui proses independent play ini.

Oleh itu, jangan terlalu memaksa dan lakukan proses peralihan ini secara berperingkat. Jangan memarahi mereka sekiranya asyik ‘berkepit’ dan mahukan ibu bapa di sisi setiap masa. Sebaliknya, beri galakan dan yakinkan mereka bahawa mereka akan selamat walaupun bermain sendiri. “Ibu ada di sini sayang!”

Sumber: zuriat.my

Published by
Wan Amy