Seorang wanita berdepan detik cemas lebih tujuh minit apabila kereta dipandunya ditahan seorang lelaki bertatu yang tidak dikenali dalam kejadian berhampiran kawasan perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan, 6 petang, semalam.

Apa yang lebih menakutkan, wanita bernama Zalliza berkata, lelaki yang dipercayai warga Myanmar dan berada di bawah pengaruh alkohol itu cuba membuka pintu belakang kereta dipandu yang juga tempat duduk anak lelaki bongsunya berusia dua tahun yang diletakkan dalam kerusi keselamatan bayi.

“Syukur walaupun dalam keadaan cemas dan takut hingga kaki terasa lemah, saya sempat periksa pintu kereta dan terus menguncinya.

“Kalau tidak, tak tahu apa akan jadi kerana lelaki itu cuba buka pintu belakang tempat duduk anak,”.

Menceritakan detik cemas itu, Zalliza berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Kampung Baru di Sitiawan dan menyangka berlaku kemalangan selepas empat kenderaan di depannya tiba-tiba berhenti di jalan berselekoh.

“Saya nampak seorang lelaki berlari dalam hujan dan cuba memanjat pacuan empat roda Toyota Hilux tetapi tak berjaya dan kemudian dia terjatuh sebelum mengetuk cermin sebuah lagi kereta di depan saya.

“Selepas itu dia menahan kereta saya pula dan mengetuk bahagian hadapan kereta sebelum cuba membuka pintu belakang tetapi nasib baik saya sudah menguncinya kerana baru perasan pintu kereta tidak dikunci ketika kejadian itu,”

Menurutnya, di belakang keretanya ada beberapa lagi kenderaan lain dan dia turut melihat lelaki bertatu itu cuba menaiki motosikal seorang lelaki serta berlaku sedikit pergelutan antara mereka.

Katanya, peniaga di kawasan berhampiran memaklumkan lelaki warga asing itu dipercayai baru saja bergaduh dengan rakan senegaranya kerana mabuk dan dikejar individu yang mahu memukulnya.

“Lelaki itu nampak macam takut, seperti mahu menangis dan lari dari sesuatu tetapi saya tidak membantunya kerana lebih mementingkan keselamatan diri dan anak.

“Kejadian itu benar-benar menakutkan sehingga menyebabkan saya demam kerana terkejut,” katanya yang belum membuat laporan polis berkaitan kejadian itu.

Menurut Zalliza, kawasan berkenaan memang ramai warga asing sejak dahulu lagi dan mereka juga sering menimbulkan masalah sehingga mengganggu ketenteraman awam

“Kumpulan warga asing ini suka buat kotor, mabuk serta bergaduh dan pernah sebelum ini ketika mahu ke kedai makan saya nyaris terkena botol kaca dibaling mereka yang sedang bergaduh.

“Saya harap pihak berkenaan dapat memantau aktiviti warga asing di kawasan ini supaya kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi,” katanya.

Sumber: Hmetro