Menonton televisyen bersama keluarga sudah menjadi aktiviti wajib di malam hari. Begitu juga di hujung minggu. Malah aktiviti menonton ini seakan menjadi pengerat kasih sayang di antara ahli keluarga. Namun bukan semua beranggapan seperti ini.
Bagi Pn Widyana Ali, aktiviti menonton tv bersama suami dan anak-anak sudah lama ditinggalkannya. Bukan sekejap tetapi lebih empat tahun lalu. Malah bagi ibu muda ini, banyak perubahan dan kelebihan yang diperolehinya selepas melupakan televisyen dalam kehidupan seharian. Dengarkan perkongsiannya.
4 Tahun Tanpa TV
Bulan lepas cukup 4 tahun kami hidup tanpa tv. Masa mula-mula tinggalkan tv hidup rasa macam ada “kekurangan”, tapi lama-lama rasa hidup lebih bermakna.
Masa zaman sekolah dulu, cikgu Bahasa Inggeris saya selalu menggunakan perkataan “idiot box” untuk TV. Baru sekarang saya faham kenapa TV ni dipanggil idiot box.
Secara jujurnya, mula-mula memang susah nak hidup tanpa TV di rumah sebab saya sendiri memang penonton tv tegar sejak dulu. Tak pernah miss tengok AJL, ABP, Anugerah Skrin. Sekarang pelakon pun tak kenal.
Buat apa nak kenal pelakon kan? Dia bukan saudara mara kita ?
Dulu, memang saya rasakan TV itulah pengikat kasih sayang keluarga bila duduk sama-sama menonton drama dan movie. Rasa tenang nak buat kerja dengan anak yang duduk senyap menonton kartun dari pukul 2.30 petang sampailah pukul 6. Lepas habis slot kanak-kanak, tiba pula slot drama sampai waktu maghrib.
Tapi sekarang persepsi saya dah berubah. Banyak kelebihan untuk anak-anak bila tiada tv di rumah.
? Anak-anak kurang tantrum. Sebab mengadap tv lama-lama sebenarnya jadi stress tanpa sedar, macam orang kerja tengok computer lama-lama.
? Anak-anak senang dengar arahan.
? Mereka buat kerja jadi bertambah fokus sebab tiada gangguan.
? Lebih kreatif suka buat origami/art and craft/ gembira melompat gembira bila mama minta bantu di dapur.
? Tidak terpengaruh dengan iklan.
? Hidup mereka lebih gembira rupanya.
Hubungan Suami Isteri Makin Mesra
Kesan baik untuk saya dan suami:
1. Tiada lagi fenomena menonton TV dan terus masuk ke dalam TV. (Hypnotized)
2. Kurang marah, sebab anak-anak bila dipanggil terus menyahut.
3. Jadi rajin membaca bahan ilmiah, macam saya sangat suka membaca tentang pemakanan sihat, psikologi anak- anak dan motivasi.
4. Kerja rumah cepat selesai sebab tiada lagi menonton TV sambil lipat baju dan tiada lagi drama yang ditonton.
5. Senang nak solat di awal waktu. Ya Allah ni paling penting dalam hidup kita.
6. Banyak masa untuk borak dengan suami dan anak-anak.
Alhamdulillah segala yang baik itu daripada Allah.
Kepada kawan- kawan, cubalah ‘buang’ TV sekejap. Kami dah rasa, memang hidup tanpa tv lebih seronok dengan anak-anak. Hubungan jadi lebih rapat dan boleh create long term memory untuk anak- anak.
Post ini sekadar ingin berkongsi pengalaman.Kalau ada rakan-rakan yang nak berkongsi pengalaman hidup tanpa TV di rumah,silakan.
Gambar ni antara aktiviti luar yang kami selalu buat, pergi layan kapal terbang mendarat di belakang KLIA.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mama Papa Kena Peka Dengan Tanda-Tanda Ini. Ini Bermakna Anda Perlu Tukar Pengasuh
Dengan pelbagai berita kematian kanak-kanak ketika dihantar kepada pengasuh yang dilaporkan media, pastinya timbul kebimbangan di hati ibu bapa yang perlu menghantar anak-anak untuk rumah jagaan ketika mereka perlu bekerja. Antara persoalan yang sering timbul adalah, manakah pilihan yang terbaik, sama ada menghantar anak ke taska atau ke rumah pengasuh? Ikuti artikel ini untuk lebih membantu anda membuat pilihan dan keputusan.
Tip memilih pengasuh
Jika ingin menggunakan khidmat pengasuh, pastikan anda menjalankan semua prosedur penyelidikan dan keselamatan sebelum meninggalkan bayi anda bersamanya. Langkah pertama adalah membiarkan bayi baru lahir dengan pengasuh dalam tempoh tertentu di hadapan anda. Walaupun pengasuh itu mahir dalam penjagaan bayi, sekiranya bayi anda tidak ingin berada di sekelilingnya, jangan sesekali memaksa si manja. Anda perlu memastikan persekitaran kekal tenang dan mesra antara pengasuh dan anak kecil anda.
Ahli keluarga atau saudara-mara
Sekiranya anda bernasib baik dan tinggal berdekatan dengan saudara-mara, ini boleh menjadi pilihan yang terbaik. Walau bagaimanapun, hanya kerana mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan anda, tidak semestinya mereka akan menjaga anak anda seperti yang anda mahukan. Tetapi sekurang-kurangnya anda berasa percaya dan yakin kerana mengenali individu yang menjaga anak anda.
Namun, tidak menjadi kesalahan untuk anda menyenaraikan keperluan harian anak anda seperti kuantiti pemberian susu sebagai panduan yang boleh membantu mereka. Malah, senarai ini berguna untuk semua pengasuh bukan hanya untuk saudara-mara sahaja.
Cara kehidupan
Untuk ibu bapa yang beragama Islam, sudah tentu anda mahukan pengasuh anak anda seorang Islam. Ini adalah amat penting kerana penampilan, perwatakan dan tingkah laku pengasuh sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada anak. Pengasuh yang baik akan sentiasa memelihara aurat dan akhlaknya.
Memilih pengasuh
Tahu tentang penjagaan bayi dan kanak-kanak
Ilmu Pendidikan Awal Kanak-kanak amatlah penting kepada seorang pengasuh. Bukan sahaja dia perlu tahu tentang cara untuk menukar lampin dan membuat susu, malah dia juga tahu bagaimana menangani anak yang bergaduh, mengendalikan anak yang menggigit atau menenangkan anak yang sedang menangis.
Lakukan penyelidikan
Tanya ibu bapa, jiran dan rakan sekerja untuk cadangan pengasuh bayi. Ini mungkin cara terbaik jika anda tidak mempunyai saudara yang tinggal berdekatan anda. Kebiasaannya rujukan daripada kenalan atau orang yang berpengalaman untuk mendapatkan perkhidmatan pengasuh daripada individu yang sama boleh membantu anda.
Anak anda selesa
Ini mungkin mengambil masa yang lama untuk anak anda mesra dan selesa ketika berada bersama pengasuh. Sebagai seorang ibu, anda perlu sentiasa ingat bahawa walaupun anda mungkin mendapat pengasuh yang terbaik, ia bagaimana sekalipun tidak akan dapat menggantikan tempat seorang ibu. Selepas beberapa hari anak anda bersama pengasuhnya, anda mesti dapat mengesan adakah anak anda selesa dan mesra bersama pengasuh ataupun tidak. Jika anak masih tidak mahu dengan pengasuhnya, ini mungkin bermakna pengasuh tidak dapat memberikan kemesraan sewajarnya dan personaliti pengasuh yang tidak sesuai dengan si manja.
Rasa gembira
Sebagai ibu bapa, pasti anda akan dapat melihat sekiranya pengasuh anak anda benar-benar gembira menjaga dan mengasuh si kecil anda dan anak anda juga dapat merasakannya. Kasih sayang dan kemesraan akan terserlah ketika mereka bersama-sama.
Lakukan pemeriksaan latar belakang yang diperlukan
Sebaik sahaja mendapati seorang pengasuh yang anda fikir mungkin baik untuk penjagaan bayi anda yang baru lahir, lakukan juga pemeriksaan latar belakang terhadapnya. Anda boleh melakukan temuduga melalui telefon atau tinjauan ke rumah pengasuh berkenaan. Simpan salinan pengenalan diri pengasuh sebagai keperluan rujukan semasa dan akan datang.
Komunikasi
Anda sudah pasti mahu pengasuh menjaga bayi anda sama seperti yang anda lakukan, iaitu dengan cara yang terbaik. Pastikan anda menjaga hubungan anda dengan pengasuh dan ambil masa untuk berbual dengan mereka mengenai anak anda supaya wujud keselesaan antara anda dengan pengasuh. Apabila wujud hubungan komunikasi dua hala yang baik, pengasuh tidak teragak-agak untuk memaklumkan keadaan semasa anak asuhannya kepada ibu bapa.
Menghormati
Seorang pengasuh yang baik akan membuka pusat jagaan sebelum anda sampai atau akan memaklumkan kepada anda jika terdapat sebarang kemungkinan seperti jika dia perlu bercuti seawal yang mungkin.
Bersih dan selamat
Kebersihan merupakan satu petanda yang baik kepada pengasuh. Sebagaimana anda menghantar anak dalam keadaan yang bersih, seharusnya anda akan mengambil anak anda dalam keadaan yang bersih juga. Dalam soal keselamatan, kemalangan kecil seperti terjatuh atau pergaduhan kecil dengan anak jagaan yang lain pasti akan berlaku dan tidak dapat dielakkan. Tetapi seorang pengasuh yang baik akan sentiasa memastikan keselamatan anak anda menjadi keutamaannya.
Tanda perlu menukar pengasuh
Menyerahkan anak kepada jagaan orang yang baru anda kenali bukanlah suatu yang menggembirakan. Apatah lagi, saban hari media memaparkan lambakan berita tentang kekejaman pengasuh yang mendera bayi dan kanak-kanak. Sudah tentu setiap ibu bapa akan berasa risau akan keselamatan anak mereka.
Bagi memastikan anak anda berada di bawah jagaan pengasuh yang betul, anda mungkin perlu melakukan ‘pengintipan’. Anak anda mungkin berada pada pengasuh yang salah jika:
Dia takut setiap kali anda ingin menghantarnya ke rumah pengasuh. Kanak-kanak akan menangis atau menunjukkan tantrum setiap kali anda ingin menghantar mereka ke sana.
Pengasuh kelihatan berahsia tentang rutin harian anak anda. Sepatutnya, rutin anak di rumah pengasuh bukanlah perkara rahsia untuk ibu. Selepas pulang berkerja, sudah tentu anda ingin tahu apa yang dilalui oleh anak anda di rumah pengasuh. Jika pengasuh anak anda tidak memberitahu anda tentang perkara tersebut, sama ada dia kurang dalam berkomunikasi ataupun ada sesuatu yang dirahsiakannya.
Tugas seorang pengasuh adalah untuk menjaga anak anda, bermakna pengasuh perlu memerhatikan dan memantau keselamatan anak anda sepanjang kanak-kanak berada dalam jagaannya. Jika anak anda banyak kali mengalami kemalangan atau kecederaan di rumah pengasuh, ini adalah sesuatu yang perlu anda awasi.
Pengasuh tidak mengikut permintaan anda. Sudah tentu anda ada cara sendiri untuk mendidik anak anda seperti dari segi pemakanan, tidur dan keselamatan anak. Jika pengasuh bertindak seperti dia yang lebih tahu untuk membesarkan anak anda, jadi ini mungkin alasan untuk anda tukar pengasuh anak.
Anak anda kelihatan tidak terurus dan kotor. Kanak-kanak memang gemar main kotor. Namun, jika setiap kali anda mengambil anak dalam keadaan kotor dengan lampin tidak ditukar, ini mungkin tanda-tanda anda perlu mencari pengasuh lain untuk anak anda.
Anak anda kerap lapar dan letih setiap kali anda mengambilnya balik. Ini mungkin petanda pengasuh tidak mengikut rutin makan dan tidur siang anak anda.
Naluri anda mengatakan ada sesuatu yang tidak kena pada pengasuh. Jika anda mempunyai perasaan yang buruk tentang pengasuh, lebih baik anda ikut naluri anda. Lebih baik jika anda menukar pengasuh anak dan mencari orang yang lebih sesuai untuk menjaga anak anda.
Ciri taska yang baik
Jika anda sebagai ibu bapa memutuskan untuk menghantar anak anda ke taska, pastinya anda perlu mengetahui dan memastikan tentang beberapa perkara sebelum menghantar anak anda. Antaranya adalah:
Berdaftar
Taska yang anda pilih haruslah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini adalah penting untuk memastikan bahawa taska tersebut mengikut standard yang ditetapkan dan menepati piawaian dalam penjagaan kanak-kanak.
Kawasan persekitaran
Perkara lain yang harus menjadi keutamaan pemilihan taska sebelum membuat sebarang keputusan adalah anda harus memastikan kawasan taska dan sekitarnya adalah selamat. Ini adalah faktor yang amat penting. Cuba lihat dan perhatikan kawasan persekitarannya, adakah ia kawasan perumahan atau kawasan perkilangan? Bagaimana pula dengan keadaan jalan, adakah terdapat jalan raya yang berhampiran dengan taska? Apakah ia boleh mengundang bahaya? Itu adalah antara perkara yang harus diambil kira.
Aspek keselamatan
Sekiranya taska yang anda pilih itu merupakan rumah sama ada setingkat atau dua tingkat yang dijadikan premis pusat jagaan, beberapa perkara yang perlu anda lihat adalah; adakah terdapat tangga keselamatan, pintu kecemasan dan juga alat pemadam kebakaran? Ini antara perkara yang sangat penting untuk dititik beratkan. Pihak taska harus mendapatkan kelulusan pihak tertentu bagi menentukan sama ada jika berlaku kecemasan seperti kebakaran, pihak taska berkenaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Kebersihan
Selain faktor keselamatan, aspek lain yang harus menjadi keutamaan adalah soal kebersihan. Ini kerana, taska yang bersih adalah memainkan peranan yang penting dalam menjamin tahap kesihatan yang baik untuk anak-anak anda. Penyakit berjangkit seperti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) adalah antara penyakit yang mudah menjangkiti dalam kalangan kanak-kanak. Ia mudah merebak dan dijangkiti jika kawasan dan tempat anak-anak anda tinggal tidak berada dalam keadaan baik dan tidak dijaga kebersihannya.
Penyediaan menghantar anak ke taska atau pengasuh
Sekiranya anda sudah mendapat dan memilih taska atau pengasuh untuk anak anda, terdapat satu lagi perkara yang perlu anda lakukan iaitu persediaan untuk menghantar anak anda ke taska atau rumah pengasuh. Terdapat beberapa perkara yang mungkin akan berlaku, seperti anak anda mungkin akan menangis ketakutan sebelum pergi ke taska atau rumah pengasuh. Ia adalah satu perkara normal kerana ia melibatkan pengalaman baru dan perubahan besar kepada si manja, lebih-lebih lagi jika sebelum ini anda menghantarnya kepada pengasuh lain atau anda sendiri yang menjaganya. Adalah penting untuk menjaga emosi dan perasaan anak anda.
Memilih untuk menghantar anak ke taska atau pengasuh adalah cara terbaik untuk menjadikan anak anda lebih berdikari dan belajar bersosial bersama kanak-kanak lain seusianya. Berikut adalah beberapa tip persediaan untuk menghadapi cabaran bagi menghantar anak ke taska mahupun rumah pengasuh:
Berbual
Dalam beberapa minggu sebelum anda mula menghantarnya ke taska atau rumah pengasuh, katakan kepada anak anda mengenai kanak-kanak lain yang sebaya dengannya yang pergi ke sekolah, contohnya seperti, kakak ataupun abang yang lebih tua. Atau anda boleh beri contoh individu dewasa yang pergi ke tempat yang berlainan pada waktu pagi.
Contohnya ibu dan ayah yang pergi bekerja, kemudian pulang ke rumah untuk makan malam dan kita semua tidur di rumah yang sama. Inilah juga cara yang sama untuk kanak-kanak pergi ke taska, rumah pengasuh, sekolah atau tadika dan kemudian balik semula ke rumah.
Penjelasan
Sebaiknya berikan penjelasan pada anak anda mengapa mereka perlu pergi taska atau rumah pengasuh. Katakan kepada anak anda bahawa anda dan pasangan, sebagai ibu bapa perlu bekerja untuk mendapatkan wang bagi menampung dan menyara keluarga.
Kemudian, dengan cara yang baik, perjelaskan kepadanya mengapa kanak-kanak perlu pergi ke sekolah, taska atau rumah pengasuh; untuk belajar, berseronok, bermain dan berjumpa dengan rakan-rakan sebaya.
Sekiranya pada hari anda menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh, dan anak anda menangis, ini tidak bermaksud bahawa anak anda tidak faham. Jangan memandang rendah keupayaan anak anda untuk memahami penjelasan yang diberikan oleh ibu bapa. Ini kerana kanak-kanak mempunyai minda dan pemikiran yang aktif dan boleh menyerap apa yang dikatakan oleh ibu bapanya jika bahasa yang digunakan adalah mudah dan ringkas serta penggunaan nada yang lembut. Tetapi mereka mungkin menangis disebabkan perkara lain.
Melawat
Jika anda mempunyai kelapangan, adalah sebaiknya anda mengambil peluang untuk membawa anak anda melawat taska atau rumah pengasuhnya. Ini adalah untuk memberikan peluang kepada anak anda melihat dan mencuba untuk berinteraksi dengan kanak-kanak lain. Ini mungkin dapat menarik minat anak anda dan memudahkan anda menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh apabila dia telah mendapat rakan yang baru. Namun sekiranya ia tidak berjaya menarik minat anak anda, malah anak anda mungkin menangis setiap kali anda menghantarnya ke taska dan rumah pengasuh, anda sebagai ibu bapa tidak perlu berasa bimbang. Anak anda pasti akan dapat membiasakan diri selepas beberapa hari ataupun minggu.
Kenali pengasuh
Sebagai ibu bapa, anda tidak harus melepaskan tanggungjawab kepada pengasuh atau penjaga taska sebaik sahaja anda menghantar anak anda. Sebaiknya anda perlu mengambil peluang untuk saling mengenali dengan individu yang akan mengambil tanggungjawab dan peranan menjaga anak anda. Mungkin terdapat perkara yang boleh dibincangkan seperti cara didikan dan keperluan anak anda. Cara terbaik adalah untuk berkongsi dengan penjaga anak anda tentang perangai anak anda di rumah, ia pasti dapat membantu pengasuh atau pihak taska dalam menjaga anak anda.
Yang mana lebih baik?
Sebenarnya, apa yang boleh disimpulkan, keputusan sama ada untuk menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh, kedua-duanya tidak mendatangkan sebarang masalah sekiranya anda dapat menghantar anak-anak anda ke rumah pengasuh atau taska yang boleh dipercayai. Namun, mungkin sebaiknya, bagi anda yang mempunyai anak kecil atau bayi, sebagai permulaan, anda boleh menghantarnya ke rumah pengasuh yang berdaftar dan hanya mempunyai anak jagaan dalam jumlah yang kecil. Ini membolehkan anak kecil atau bayi anda mendapat perhatian dan jagaan yang lebih baik, berbanding menghantarnya ke taska yang kebiasaannya mempunyai bilangan anak jagaan yang lebih ramai.
Namun, apabila anak anda sudah boleh berjalan, berdikari seperti makan dan minum sendiri, sekitar usia 3 tahun dan ke atas, anda mungkin boleh menghantar anak anda ke pusat jagaan atau taska. Ini kerana apabila menghantar anak anda ke taska, ia sekali gus membolehkan anak anda untuk belajar bersosial dan berkomunikasi dengan kanak-kanak yang seusia dengannya. Walau bagaimanapun, pastikan taska yang anda pilih itu telah berdaftar untuk aspek keselamatan.
Jadi walau apa pun keputusan yang anda dan pasangan ambil, sama ada memilih taska ataupun menghantarnya ke rumah pengasuh, pastikan anda tetap mengambil kira tentang faktor dan aspek penting seperti yang dinyatakan di atas.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Impikan Anak Cerdik, Baik Akhlaknya Selitkan Doa Ini Setiap Kali Lepas Solat
Ramai ibu bapa mengimpikan untuk mendapat anak yang soleh dan solehah. Anak yang cerdik, lembut hati dan mendengar kata ibu bapanya. Kebanyakan ibu bapa sentiasa mahu memberikan didikan dan ajaran yang terbaik untuk anak mereka.
Bagi yang beragama Islam, mereka sentiasa mengamalkan doa-doa mujarab yang boleh dibaca untuk membentuk anak-anak yang baik dari segi kebijaksanaan dan juga sikap menghormati orang tua. Walau bagaimanapun, sesetengah ibu bapa akan berasa risau dengan persekitaran anak-anak yang boleh memudaratkan masa depannya.
Tetapi, sejauh mana kita boleh memantau anak-anak? Hanya kepercayaan dan doa sahaja yang boleh menjadi pendinding kepada anak-anak supaya terhindar daripada gejala sosial. Jom kita amalkan doa di bawah ini.
- Doa untuk melembutkan hati anak yang degil Ibu bapa bolehlah amalkan membaca Surah As-Syura ayat 19
“Allah Maha Lembut takdir-Nya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihan-Nya) terhadap hamba-hamba-Nya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa “.
Baca doa ini 19 kali pada air dan minta anak tersebut meminumnya. Insya-Allah perangai anak yang degil akan berubah kepada baik dengan izin Allah.
Boleh juga baca doa ini pada ubun-ubun anak itu ketika dia tidur.
- Doa untuk anak lembut hati, pintar dan soleh Ketika memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa ayat 200 dari Surah Ali Imran yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”
Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir ‘Ya Hayyu, Ya Qayyum, Ya Latiff dan Ya Rahman’ berulang-ulang.
Atau baca Surah al-Fatihah, surah Taha ayat 1 sehingga 5, diikuti doa Nabi Daud sebanyak 3 kali. Doanya, ‘Ya Allah, lembutkanlah hati anakku (sebut namanya), seperti mana Engkau lembutkan Nabi Daud akan besi. (Sebut namanya). “Kemudian hembuskan pada makanan dan minuman. Kalau anak masih menyusu, hembuskan pada susu.
- Doa untuk menangani anak lasak dan nakal Amalkan ayat 40 daripada Surah Ibrahim yang bermaksud
“Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan sembahyang, dan zuriat keturunanku. Wahai Tuhanku perkenankanlah doa permohonanku.”
Selepas solat lima waktu, amalkan doa dari Surah Al-Furqan ayat 74 yang bermaksud
“Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati kami, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertakwa.”
- Doa supaya anak rajin kerjakan solat. Ibu bapa bolehlah amalkan membaca Surah Ibrahim ayat 40-41.
“Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak-anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat. Ya Tuhan kami perkenankanlah doaku. Ya Tuhan kami beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat ).
Doa ini seeloknya dibaca selepas solat, atau setiap kali teringatkan anak. Amalkan membaca doa ini InsyaAllah anak-anak akan utamakan solatnya.
- Doa anak taat perintah Allah Supaya anak taat perintah Allah boleh amalkan doa ini; Surah Al-Baqarah ayat 128.
“Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji kami dan terimalah taubat kami ini . Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.
Amalkan dan bacalah doa ini setiap kali selepas solat.
- Doa agar anak dengar kata Amalkan membaca Surah Al-Anbiya ayat 69. “Kami berfirman, Hai api, jadilah engkau sejuk, dan menjadi keselamatan bagi Ibrahim. Atau Al-Hasyar ayat 22-24.
“Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara , yang Maha Perkasa, yang Maha Kuasa, yang memiliki segala keagungan, Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.
Dialah Allah yang Menciptakan, yang Mengadakan, yang Membentuk Rupa, yang mempunyai Hasmaul Husna, bertasbih kepadanya, apa yang ada di langit dan di bumi, dan Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
- Doa memohon rahmat dan keberkatan Jika surah-surah di atas telah diamalkan, ibu bapa juga dituntut untuk meminta rahmat dan keberkatan dalam setiap yang dilakukan supaya hasilnya akan lebih baik. Bolehlah amalkan surah di bawah ini.
Surah Al-Imran ayat 8-9 “Mereka berdoa, Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan, sesudah Engkau memberi pertunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami, rahmat dari sisi Engkau, kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi Kurnia.
Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia, untuk menerima pembalasan pada hari yang tak ada keraguan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji.
Ibu bapa yang terbaik akan sentiasa mendoakan anaknya menjadi yang terbaik. Oleh hal yang demikian, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan didikan agama yang sempurna diberikan yang secukupnya kepada anak-anak mereka.
Biarlah kita mendidiknya dari kecil lagi. Supaya kelak, dia membesar nanti dengan didikan agama. Semoga doa yang terbaik untuk anak-anak ini dapat dijadikan panduan untuk semua.
Sumber: mediadakwah.com
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Elakkan Meletak Kain Pelapik Di Dalam Baby Car Seat! Bayi Tidak Akan Selesa Malah Membahayakan Nyawa
Kerusi keselamatan kanak atau baby car seat telah direka khas untuk tujuan keselamatan bayi dan kanak-kanak. Ia direka melalui kajian untuk memenuhi ciri-ciri keselamatan bagi melindungi bayi dan kanak-kanak daripada kemalangan dan dapat mengurangkan risiko kecederaan.
Kerusi keselamatan kanak-kanak juga direka mengikut tahap umur kanak-kanak, berat dan juga tinggi. Ini bagi memastikan kerusi keselamatan berfungsi sebagai pelindung yang baik jika berlaku kemalangan. Namun, ada ibu bapa yang menambah kain pelapik di bahagian bawah untuk keselesaan bayi mereka.
Menurut Pengurus Urusan Babymama Trading Sdn. Bhd, Encik Sheikh Ahmad Haiqal “Kerusi keselamatan kanak-kanak telah direka mengikut kajian yang terperinci untuk memenuhi keselesaan dan keselamatan kanak-kanak, jadi kita tidak menasihatkan ibu bapa untuk menambah atau meletakkan pelapik seperti kain atau bantal kerana ia boleh menggangu fungsi kerusi tersebut.”
Tambahnya lagi “Jika berlaku kemalangan, sepatutnya bayi berada dalam keadaan yang selamat tapi jika diletakkan pelapik dibahagian leher, apabila hentakkan kuat berlaku, leher bayi akan terhentak ke hadapan akibat ada pelapik di belakang dan akan memberikan kesan kepada tulang. Kita tidak melarang tetapi kita hanya menasihati ibu bapa supaya peka dengan sebarang kemungkinan.”
Beliau juga berkongsi beberapa perkara berkaitan kerusi keselamatan kanak-kanak yang mungkin ibu bapa belum tahu.
Lima perkara tentang kerusi keselamatan kanak-kanak yang anda perlu tahu;
- Kedudukan yang betul bagi kerusi keselamatan kanak-kanak
Jangan letakkan kerusi keselamatan di kerusi hadapan penumpang kerana sekiranya berlaku kemalangan, air bag yang keluar tersebut boleh mendatangkan kecederaan parah kepada kanak-kanak/bayi.
2. Kedudukan yang terbaik sama ada menghadap ke depan atau belakang?
Kedudukan yang terbaik adalah, kerusi tersebut menghadap kebelakang seberapa lama yang boleh. Buatlah sehingga 2 tahun hingga 3 tahun ataupun 4 tahun kerana jika berlaku kemalangan, struktur kerusi keselamatan itu sendiri akan melindungi kepala, leher dan tulang belakang si kecil anda.
3. Cara mengikat kerusi keselamatan kanak-kanak
Ramai yang beranggapan bahawa kerusi keselamatan ini hanya sekadar letak di atas kerusi penumpang belakang sahaja. Kerusi keselamatan ada cara ikatan yang berbeza-beza. Jadi pastikan semasa membeli kerusi keselamatan, disediakan bersama buku panduan manual. Jika ikatan tidak mengikut cara seperti di dalam buku manual tersebut, kerusi keselamatan tidak akan berfungsi untuk melindungi jika berlaku kemalangan.
4. Mitos tentang harga kerusi keselamatan
Ramai yang beranggapan kerusi keselamatan ini mahal ataupun diluar kemampuan. Sebenarnya kerusi keselamatan ini adalah peranti keselamatan untuk anak anda. Di Malaysia masih ada kerusi keselamatan yang harganya mampu untuk dimiliki.
5. Kerusi keselamatan kanak-kanak banyak kategori
Kerusi keselamatan kanak-kanak mempunyai banyak kategori. Untuk kanak-kanak ada 3 jenis kategori iaitu;
i. Jenis pandang belakang sahaja untuk bayi yang berumur 1 tahun kebawah
ii. Jenis pandang depan sahaja
iii. Booster seat untuk kanak-kanak 4 tahun keatas
Ramai ibu bapa yang kurang pasti kerusi keselamatan yang mana yang sesuai untuk anaknya. Jadi anda perlu kenalpasti dari segi berat badan, size anak dan sebagainya.
Pihak kementerian Pengangkutan Malaysia juga telah mengumukan bahawa kerusi keselamatan kanak-kanak wajib dipasang bagi setiap kenderaan bemula tahun 2020 ketika pelancaran Program Malaysia Save Our Future yang digerakkan oleh Tateh dan mendapat sokongan daripada Child Passenger Safety Malaysia (CPSM) dan Majalah Pa&Ma.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI