Sama seperti para ibu bapa lain yang mengimpikan hanya yang terbaik untuk anak masing-masing, pelakon terkenal, Amyra dan Amar pun tidak terkecuali dengannya. Lantaran itulah mereka berdua sudahpun merancang pelan pendidikan untuk Anaqi walaupun umurnya baru setahun jagung.
“Menyentuh tentang perancangan pendidikan untuk Anaqi, kami berdua mungkin akan hantar dia ke playschool masa umurnya masuk empat tahun. Macam kanak-kanak yang lain. Nanti bila umurnya dah enam tahun masuk tadika pula. Seterusnya dia akan masuk alam perseolahan rendah. Kami rancang hantar dia ke sekolah kebangsaan sama macam kami berdua sekolah dahulu.”
Bila bercakap tentang perancangan, sudah tentu kena ada rangkanya. Untuk itu, Amyra mendedahkan bahawa dirinya dan Amar sudah mula menyimpan sedikit demi sedikit tabungan pendidikan buat anak sulung mereka.
“Anaqi dah ada tabungan sendiri. Syukur, sejak lahir, dia dah ada rezeki pendapatan sendiri daripada job yang kami terima untuknya. Hasil daripada pendapatan tu memang kami tak sentuh langsung. Kami rancang guna duit itu untuk perbelanjaan pendidikannya di masa depan. Itu yang paling utama.“
Tambah Amyra lagi, “Sekarang, Anaqi ada dua akaun bank. Satu akaun tu, setiap bulan kami masukkan sejumlah wang untuk simpanannya. Duit yang dia dapat selepas lahir pun kami masukkan ke situ. Satu lagi akaun pula khas untuk simpan pendapatan yang diperoleh. Yang itu memang tak dicampur dengan mana-mana duit sebab kami nak tengok sebanyak mana simpanan pendapatannya berkembang.”
Berbicara lanjut tentang perancangan prasekolah si comel ini, Amyra menyatakan dia dan Amar sering berbincang terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa jua keputusan. Demikian juga halnya dengan isu sama ada mahu menghantar Anaqi menjalani zaman prasekolah lebih awal ataupun sebaliknya.
“Cara Myra dan Amar senang. Selalunya Amar beri pendapat dan Myra yang buat keputusan. Dalam kebanyakan masa, Amar selalu percayakan keputusan Myra bila berkaitan dengan soal anak. Kalau boleh nak hantar awal anak ke prasekolah tapi isu yang berkaitan dengan cikgu yang kurang bertanggungjawab dan lain-lain sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan.