Dahulu, dirinya pernah berasa kecewa lantaran dihempap dengan dugaan yang dibebankan di bahu sejurus melahirkan anak kedua. Namun kini Nurul Ain tekad berubah menjadi ibu yang sentiasa berdiri teguh di belakang anaknya Muhammad Al Qhalef bin Mohd Hafidzul, dua tahun yang disahkan mengalami sindrom Down. Mari baca luahan hatinya.

Saat mengandungkan kamu, semuanya berjalan dengan lancar. Tiada ada apa-apa yang perlu dibimbangkan. Sangkaan mama, kamu bakal lahir dalam keadaan yang sihat dan selamat, sama seperti bayi normal lain yang menjadi dambaan setiap ibu.

Pemeriksaan antenatal saban bulan, mama lalui seperti kelazimannya. Menurut kata doktor, si ibu dan si anak dalam kandungan disahkan sihat. Mama langsung tidak pernah berdepan dengan masalah kesihatan. Malah mama sering diberi pujian daripada doktor kerana semua hasil ujian yang dijalankan menunjukkan keputusan yang sangat memuaskan.

Semasa usia kandungan lebih kurang tujuh ke lapan bulan, mama menjalani ujian imbasan 4D. Hasil ujian itu pun langsung tidak dapat mengesan sebarang permasalahan yang menyelubungi diri kamu sejak dari dalam kandungan. Paling mama ingati, mama teruja apabila dapat menyaksikan iras wajah kamu saling tak tumpah, sama seperti kakak sulungmu yang dilahirkan normal.

Mulanya Si Ibu Rasa Malu Miliki Anak Sindrom Down. Kini Dia Tekad Mahu Bimbing Si KecilMusibah ini hanya mama ketahui setelah kamu dilahirkan, sayang. Doktor yang menyambut kelahiran mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena lantaran kamu tidak menangis. Tambahan pula keadaan fizikal kamu agak lembik dan bentuk muka pula berbeza daripada kanak-kanak normal.

Ads

Siapa sangka mama yang berumur 28 tahun saat mengandung dan melahirkan kamu boleh terjebak memiliki anak sindrom Down. Sungguh mama tidak menyangka dugaan ini menimpa kita.

Bila difikirkan sejenak, mama beranggapan hal ini mungkin ada kaitan dengan faktor keturunan. Hal ini lantaran kakak mama pun turut mempunyai anak sindrom Down dan usia sepupu kamu kini sudah tujuh tahun.

Sesungguhnya mama akui dugaan ini sangat mencabar. Mama mengambil masa hampir enam bulan untuk menerima diri  kamu seadanya. Dahulu, saat melihat kamu, mama rasa malu untuk menjaga dan membawa kamu di khalayak ramai. Maafkan mama, Qhalef.

Lama-kelamaan mama sedar tiada apa-apa yang patut mama malukan. Kamu darah daging mama! Manakan mungkin mama melakukan sedemikian kepada kamu. Naifnya mama saat itu.

Ads

Syukur Alhamdulillah, doktor dan keluarga kita terutamanya papa banyak menyedarkan dan memberi semangat padu kepada mama. Mama mendapat kaunseling dan ilmu yang betul tentang cara penjagaan dan pengendalian anak istimewa. Ya! kamu memang sangat istimewa pada pandangan mama, sayang.

Mulanya Si Ibu Rasa Malu Miliki Anak Sindrom Down. Kini Dia Tekad Mahu Bimbing Si KecilPerkembangan kamu agak lambat dan sangat mudah terkena jangkitan semasa masih bayi. Hospital umpama rumah kedua disebabkan mama dan papa kerap keluar – masuk hospital demi menjaga kamu yang diduga dengan masalah batuk berpanjangan.

Kini, kamu dan mama sama-sama menjalani rutin fisioterapi. Di rumah pun mama selalu berikan kamu urutan khas saban pagi. Mujurlah mama ada sesikit bekal ilmu lantaran turut memiliki spa D’Layla Beauty di Seksyen 7, Shah Alam.

Ads

Mama akui, masa kita berdua lebih banyak berbanding apa yang seharusnya mama peruntukkan untuk kakak. Harap dia faham tentang dugaan yang sedang kita sekeluarga lalui. Sungguh mencabar buat mama tetapi mama perlu terus kuat untuk menempuhi semua ini.

Ya! Mama akan terus kuat dan bertahan sama seperti kamu yang kini semakin banyak menampakkan peningkatan perkembangan diri. Bila kamu mula faham apa yang diarahkan dan tahu memberi beri isyarat saat memerlukan sesuatu, pencapaian itu sudah cukup hebat di mata mama.

Mulanya Si Ibu Rasa Malu Miliki Anak Sindrom Down. Kini Dia Tekad Mahu Bimbing Si KecilHarapan mama terhadap kamu tidaklah menggunung tinggi. Mama selalu berdoa Allah panjangkan usia mama agar dapat terus membimbing dan melihat kamu berupaya untuk berdikari di masa hadapan.

Mama sayang kamu,
Nurul Ain Mohd Rosly

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI