Dahulu, dirinya pernah berasa kecewa lantaran dihempap dengan dugaan yang dibebankan di bahu sejurus melahirkan anak kedua. Namun kini Nurul Ain tekad berubah menjadi ibu yang sentiasa berdiri teguh di belakang anaknya Muhammad Al Qhalef bin Mohd Hafidzul, dua tahun yang disahkan mengalami sindrom Down. Mari baca luahan hatinya.
Saat mengandungkan kamu, semuanya berjalan dengan lancar. Tiada ada apa-apa yang perlu dibimbangkan. Sangkaan mama, kamu bakal lahir dalam keadaan yang sihat dan selamat, sama seperti bayi normal lain yang menjadi dambaan setiap ibu.
Pemeriksaan antenatal saban bulan, mama lalui seperti kelazimannya. Menurut kata doktor, si ibu dan si anak dalam kandungan disahkan sihat. Mama langsung tidak pernah berdepan dengan masalah kesihatan. Malah mama sering diberi pujian daripada doktor kerana semua hasil ujian yang dijalankan menunjukkan keputusan yang sangat memuaskan.
Semasa usia kandungan lebih kurang tujuh ke lapan bulan, mama menjalani ujian imbasan 4D. Hasil ujian itu pun langsung tidak dapat mengesan sebarang permasalahan yang menyelubungi diri kamu sejak dari dalam kandungan. Paling mama ingati, mama teruja apabila dapat menyaksikan iras wajah kamu saling tak tumpah, sama seperti kakak sulungmu yang dilahirkan normal.
Siapa sangka mama yang berumur 28 tahun saat mengandung dan melahirkan kamu boleh terjebak memiliki anak sindrom Down. Sungguh mama tidak menyangka dugaan ini menimpa kita.
Bila difikirkan sejenak, mama beranggapan hal ini mungkin ada kaitan dengan faktor keturunan. Hal ini lantaran kakak mama pun turut mempunyai anak sindrom Down dan usia sepupu kamu kini sudah tujuh tahun.
Lama-kelamaan mama sedar tiada apa-apa yang patut mama malukan. Kamu darah daging mama! Manakan mungkin mama melakukan sedemikian kepada kamu. Naifnya mama saat itu.
Syukur Alhamdulillah, doktor dan keluarga kita terutamanya papa banyak menyedarkan dan memberi semangat padu kepada mama. Mama mendapat kaunseling dan ilmu yang betul tentang cara penjagaan dan pengendalian anak istimewa. Ya! kamu memang sangat istimewa pada pandangan mama, sayang.
Kini, kamu dan mama sama-sama menjalani rutin fisioterapi. Di rumah pun mama selalu berikan kamu urutan khas saban pagi. Mujurlah mama ada sesikit bekal ilmu lantaran turut memiliki spa D’Layla Beauty di Seksyen 7, Shah Alam.
Mama akui, masa kita berdua lebih banyak berbanding apa yang seharusnya mama peruntukkan untuk kakak. Harap dia faham tentang dugaan yang sedang kita sekeluarga lalui. Sungguh mencabar buat mama tetapi mama perlu terus kuat untuk menempuhi semua ini.
Mama sayang kamu,
Nurul Ain Mohd Rosly