Menantikan kelahiran bayi comel anda bukanlah satu perkara yang mudah. Anda perlu bersedia dengan segala persiapan sebelum kelahiran dan selepas kelahiran. Segala peralatan berkaitan seperti pakaian dan kelengkapan lain bayi perlu dibeli terlebih dahulu kerana anda tidak mahu menyusahkan diri anda untuk mencarinya selepas bayi anda lahir. Di sebalik kerisauan anda terhadap persiapan membeli kelengkapan bayi, ada satu lagi kerisauan yang sering menghantui diri anda iaitu keresahan bagi melahirkan bayi itu sendiri. Jika anda sering berasa resah dan gusar berkenaan kelahiran bayi anda, ikuti tip berikut bagi membantu menenangkan diri anda.
Tip mengatasi ketakutan kelahiran bayi
Bagi ibu-ibu yang berasa sedikit gementar mengenai proses kelahiran yang akan dialami, ikuti tip di bawah ini bagi menjadikan anda lebih tenang, relaks dan gembira dalam melalui hari-hari bermakna anda.
#1. Pastikan penyebab keresahan anda
Sesetengah pengalaman boleh memicu ketakutan melampau terhadap proses kelahiran. Ini termasuklah sejarah silam seseorang wanita, kes keguguran yang lalu, kesusahan melahirkan anak dan pendedahan terhadap pelbagai kisah-kisah kelahiran yang menakutkan. Memahami ketakutan anda ini adalah langkah pertama untuk anda mengurus ketakutan anda.
Ads
#2. Pertimbangkan untuk melakukan terapi
Satu kajian yang dilaksanakan di Finland menemui bahawa wanita yang mempunyai ketakutan melampau terhadap kelahiran bayi, mempunyai tempoh masa yang lebih pendek dalam melahirkan anak setelah mereka menjalani terapi kognitif (perbualan). Oleh itu, cuba sertai terapi untuk membantu mengurangkan tekanan yang anda alami.
#3. Belajar kemahiran relaksasi
Anda boleh cuba untuk belajar melakukan meditasi dan senaman pernafasan kerana ia boleh memberikan ketenangan semasa kehamilan dan kelahiran anak. Ikuti panduan melalui penggunaan YouTube mengenai bagaimana untuk melakukan meditasi yang sesuai untuk diri anda.
Ads
#4. Kongsikan perasaan ketakutan anda
Jangan ragu-ragu atau teragak-agak untuk menyatakan kepada doktor atau bidan mengenai apa yang anda rasa. Luahan perasaan anda mungkin boleh membantu anda kerana mereka pasti mengetahui cara bagaimana untuk mengurangkan kebimbangan anda.
Ads
#5. Jauhkan diri daripada persekitaran yang negatif
Jangan sesekali menonton rancangan televisyen atau video yang menakutkan mengenai kelahiran bayi. Anda juga tidak digalakkan untuk membaca cerita-cerita seram atau mendengar pengalaman-pengalaman kelahiran yang menakutkan daripada rakan-rakan anda. Ini hanya akan meningkatkan tahap keresahan dalam diri anda.
Begitu mudah untuk anda mendapat keresahan berkenaan proses kelahiran, begitu mudah jugalah untuk anda menanganinya kembali. Tip-tip yang dikongsikan ini bukanlah satu tip yang sukar, sebaliknya hanyalah langkah-langkah mudah yang boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana jua anda berada. Paling penting sekali, letakkan diri anda dalam persekitaran yang positif sepanjang masa. Kelahiran anak adalah saat yang paling bermakna untuk seorang ibu, bukanlah satu penderitaan yang perlu anda takuti.
Setiap kali melakukan kerja-kerja berat, mulalah rasa sakit belakang, rasa tidak selesa di bahagian bawah dan tubuh mula rasa tidak selesa. Hati-hati, jangan dibiarkan hal ini berterusan. Berkemungkinan anda mengalami masalah tombong, atau rahim jatuh.
Menurut Dr Erna Nadia, tombong atau rahim jatuh ini jika dibiarkan boleh membahayakan wanita. Sebaiknya cegah dan usahakan untuk pulih secepat yang mungkin.
Ini yang dikongsikan oleh beliau.
TOMBONG RAHIM JATUH
Ramai yang PM tanya pasal tombong. Maaf kalau saya tak reply sebab saya fikir baik saya buat satu artikel tentang tombong sebab ramai yang takut sangat. Asalnya saya tak faham apa itu tombong. Jadi, saya google.
Bila google tombong, yang keluar semua blog atau page dari penjual produk. Semuanya menggunakan ayat untuk menakut nakutkan wanita. Dan memang itu sahaja modal mereka untuk berniaga.
Buat cerita atau ayat, nanti orang mesti takut lepas tu mesti orang akan beli. Ok,jom kita ambil tahu apakah tombong.
Tombong atau bahasa lainnya adalah rahim jatuh. Dalam bahasa perubatan pula adalah uterine prolapse. Uterine prolapse ini terjadi apabila otot otot dan ligamen ligamen yang menyokong dan memegang rahim menjadi lemah. Apabila telah lemah, rahim akan terkeluar atau ‘jatuh ‘ dari kedudukan asalnya.
Lelaki juga boleh mengalami masalah ini. Tapi depa tak ada rahim, jadi ada bahagian lain yang akan terlibat. Masalah ini secara keseluruhannya kita sebut sebagai pelvic organ prolapse ( masalah jatuh bahagian pinggul).
Kenapa berlaku tombong kita dah tahu. Tapi siapa yang berisiko?
1. Wanita yang melahirkan anak.
Hal ini adalah normal kepada semua wanita terutamanya yang melahirkan secara normal kerana semasa proses kelahiran, banyak tenaga dan trauma telah berlaku di kawasan sekitar rahim. Ada juga yang mengalami masalah salah teran. Ada yang melahirkan anak yang besar secara normal.
2. Faktor usia
Semakin meningkat usia kita, otot dan ligamen kita menjadi sedikit lemah jika kita tak lakukan senaman dan tak kawal pemakanan. Ingat, masa adalah otot.
Selepas menopos, hormon estrogen di dalam badan kita berkurang menyebabkan rahim kita juga sedikit lemah.
3. Obesiti dan lebih berat badan
Sebab tu elok kekalkan berat badan kita dalam lingkungan normal.
BMI yang normal adalah 18-24
Cara kita BMI adalah berat(dalam kg) bahagi dengan (tinggixtinggi) ,tinggi dalam meter.
Contoh : 50 kg / (1.6×1.6) = 19.53 ( normal)
Jika BMI 25-29 : lebih berat badan
BMI lebih dari 30 adalah obesiti.
Hati hati dengan obesiti, kerana banyak penyakit yang boleh diundang tanpa dijemput.
4. Batuk berpanjangan
Sebab itu jika batuk, dapatkan rawatan yang betul. Jangan malas ke klinik.
5. Sembelit
Masalah tombong meningkat risikonya bila kita selalu meneran sewaktu membuang air besar. Kerana kita paksa otot dan ligamen di kawasan pinggul untuk kerja lebih dari biasa dan menggunakan tenaga yang banyak. Lama lama otot dan ligamen kat situ jadi haus.
6. Selalu mengangkat barang yang berat
Bila kita angkat barang berat, bahagian pinggul kita akan kerja lebih. Ditambah pula jika posisi dan cara angkat barang kita tak betul.
7. Merokok
Jangan ingat lelaki sahaja merokok. Perempuan pun ada. Merokok, vape, shisha sama sahaja. Semuanya membawa peluang untuk batuk.
8. Pernah ada sejarah pembedahan di kawasan pinggul.
9. Masalah genetik yang menyebabkan fungsi connective tissue ( tisu penghubung) menjadi lemah.
Adakah tombong merbahaya?
Ya jika tidak dikawal dari awal.
Bagaimana hendak kekalkan otot dan ligamen jadi kuat?
1. Senamam Kegel
Paling senang dilakukan oleh sesiapa sahaja, di mana sahaja dan pada bila bila masa. Kemutkan bahagian dalam rahim ( seperti nak menahan kencing), buat dalam 5 saat, 3 kali setiap sesi, dan 10 kali setiap hari atau selang sehari.
Sambil tengok tv ke fb ke kat office ke pun boleh buat.Jangan buat time kencing atau tengah angkat berat ya.
2. Amalkan gaya hidup sihat.
3. Pastikan berat badan anda normal
4. Berhenti merokok
5. Dapatkan rawatan yang betul sewaktu mengandung. Jangan terpedaya untuk lakukan home birth. Kalau bayi anda besar, macam mana? Fikir masa depan.
Bagaimana doktor nak diagnos penyakit ini?
Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal yang sewajarnya untuk anda. Jangan risau, jika anda masih dara, doktor tak lakukan vaginal examination pun. Dan anak dara muda tak ada masalah ini biasanya.
Selain itu, doktor boleh lakukan ultrasound atau MRI juga.
Apakah simptom simptom untuk tombong?
1. Sakit ari ari
2. Sakit atau tak selesa sewaktu hubungan kelamin
3. Terasa seperti duduk di atas bola atau ada sesuatu yang terkeluar dari vagina
4. Sukar mengawal kencing
5. Kencing tidak lawas
6. Tidak dapat menahan kencing dalam jangka masa lama
7. Selalu sembelit
8. Pendarahan vagina ( bukan semasa haid)
9. Pendarahan sewaktu hubungan kelamin
10. Keputihan melampau atau lain dari biasa
11. Sakit bahagian pinggul atau belakang ( bawah)
Jika ada simptom seperti di atas dan anda ada risiko seperti yang saya sebut di atas, berjumpalah doktor. Jangan beli jamu atau produk untuk masalah ini.
Tidak ada jamu atau produk yang boleh kuatkan otot dan ligamen. Fikir logik, masukkan sesuatu dalam rahim, bagaimana ia berfungsi untum ketatkan otot?
Makan jamu atau produk, bagaimana ia boleh ketatkan otot? Otot bersifat elastik. Ianya boleh kembali ke bentuk asal dengan senaman yang betul. Logik logik logik. Hidup bukan magik.
Jadi, apakah rawatan untuk tombong?
1. Jika di tahap 1&2, amalkanlah senaman Kegel setiap hari. Kawal pemakanan. Insha Allah ianya boleh sembuh.
2. Jika di tahap 3&4, biasanya akan diberi vaginal pessary untuk menyokong rahim dari terjatuh atau perlukan pembedahan.
Saya senaraikan tahap tahap tombong di dalam gambar di bawah. Untuk penjual dan penyebar mitos, berhenti menakutkan wanita wanita. Berhenti burukkan lagi kesihatan mereka dengan ilmu yang tidak sahih.
Betulkah ada bidan yang boleh naikkkan rahim?
Guna akal yang waras. Bagaimana bidan boleh tolak rahim anda dari luar atau urut dari luar? Bahagian rahim dan faraj semuanya adalah otot, kalau urut otot, kesan selesanya cuma sementara.
Ingat,
– Jaga pemakanan
– Amalkan senaman Kegel
– Rawat masalah sembelit dan batuk
– Jangan angkat benda yang berat berat
– Jangan masukkan sesuatu ke dalam vagina tanpa nasihat doktor
Insha Allah, anda akan sihat sahaja. Betullah badan nak pakai lama. Sebab tu kena jaga dari usia muda. Bagaimana nak jaga? Pelihara yang asas dahulu dan kekalkan hidup sihat sampai bila bila.
Susah nak kawal makan dan amalkan senaman? Malas itulah penghubung antara permulaan dan kekalahan.
Nota kaki : Hidup bukan fantasi atau magika. Kalau kita malas, bukan rahim saja jatuh, kesihatan pun merudum. Ingat, jangan menyerah sebelum keringat dikerah.
Anak takut nak jumpa doktor gigi apa mak ayah nak buat? Jangan risau. Ada penyelesaiannya di sini.
Temu bual salah seorang doktor dalam bidang Pemulihan dan Estetika Pergigian (Restorative and Aesthetic Dentistry), iaitu Dr Ibrahim Shahruddin ini pasti membantu masalah mak ayah.
Menurut beliau punca utama menyebabkan ramai kanak-kanak takut untuk berjumpa dengan doktor gigi adalah kerana mereka tidak didedahkan untuk berjumpa dengan doktor gigi pada seawal tahun pertama kehidupan atau ketika gigi susu pertama muncul.
“Berjumpa dengan doktor gigi bukanlah satu perkara yang menjadi satu kebiasaan bagi rata-rata masyarakat Malaysia. Kanak-kanak biasanya hanya akan dibawa berjumpa doktor apabila sudah berdepan dengan masalah gigi seperti karies gigi,” jelas Dr Ibrahim.
Kejutan di sekolah
Terdapat juga kanak-kanak yang pertama kali mendapatkan rawatan pergigian ketika di sekolah. Dan lebih ‘memburukkan’ keadaan apabila mereka dirawat dengan jururawat pergigian yang garang. Ini sekali gus menambahkan lagi rasa takut mereka untuk berjumpa doktor gigi.
Bagi Dr Ibrahim, masalah ini sebenarnya boleh diatasi sekiranya tahap kesedaran dalam kalangan ibu bapa adalah tinggi dalam aspek penjagaan pergigian anak-anak. Beliau turut menambah, pada hakikatnya kos untuk mencegah itu adalah sesuatu yang lebih murah dan lebih baik daripada kos yang perlu dikeluarkan untuk merawat apabila sesuatu keadaan sudah menjadi lebih kronik dan serius.
Atasi masalah anak takut berjumpa doktor gigi
Bagi ibu bapa yang berdepan dengan isu anak takut untuk berjumpa doktor gigi, berikut adalah beberapa perkongsian tip yang boleh dicuba bagi mengatasi masalah ini:
Mulakan pada awal usia
Biasakan anak untuk berjumpa dengan doktor. Tip ini boleh dilakukan pada seawal usia setahun atau ketika anak anda baru mendapat gigi susu yang pertamanya.
Sekadar perjumpaan
Bagi kanak-kanak pula, ia mungkin sedikit sukar untuk membuang rasa takut berjumpa doktor. Tetapi jangan berputus asa. Langkah pertama, biasakan anak anda untuk bertemu dengan doktor. Mungkin pada kali pertamanya hanya sekadar berjumpa dan berbual. Ini adalah untuk membiasakan diri anak dengan doktor gigi.
Elakkan paksaan
Sebaiknya hindari daripada menggunakan sebarang paksaan. Mungkin pada kali pertama anda membawa anak berjumpa doktor, ia hanya akan memakan masa tidak sampai 5 minit, apabila akhirnya anak anda meraung dan menangis. Kesabaran adalah kunci utama.
Ia mungkin akan mengambil masa dan memerlukan anda untuk membawa anak anda berjumpa doktor gigi untuk beberapa kali sebelum mereka benar-benar selesa dan tidak takut untuk berjumpa doktor gigi. Tetapi jangan putus asa.
Kuatkan semangat
Sebenarnya masalah takut untuk berjumpa doktor gigi ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan kanak-kanak, tetapi wujud pada individu dewasa. Jika tidak, takkan muncul petua menggunakan minyak motor untuk merawat sakit gigi, bukan?
Jadi, jika anda merupakan antara individu yang mungkin mempunyai rasa takut mahupun trauma untuk berjumpa doktor gigi, cuba untuk beranikan diri dan kuatkan semangat. Seperti kata Dr. Ibrahim, anda tidak perlu terus untuk melakukan rawatan pada kali pertama, mungkin sekadar mendapatkan konsultasi. Lawanlah rasa takut anda, anda boleh melakukannya.
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.