Ada sesetengah ibu hamil akan mengalami gejala ‘morning sickness’ yang teruk ketika awal trimester kehamilan. Semuanya jadi serba tak kena dan sukar bagi ibu hamil melalui rutin harian.
Muntah dan mual menjadi “sahabat” baik ibu hamil sepanjang tiga bulan pertama atau ada yang lebih teruk gejala mual dialami sehingga saat hendak melahirkan bayi. Bertabahlah!
Sebenarnya ada banyak perkara yang boleh menyebabkan ibu hamil mengalami mual dan muntah-muntah. Anda perlu tahu apa punca menyebabkan mual berlaku, barulah tahu cara untuk mengatasi mual yang sangat meletihkan. Antara penyebab mual berlaku pada ibu hamil adalah seperti berikut:
1. Gejala asid gastirk
Bagi ibu hamil yang memang mempunyai sejarah gastrik, dia akan mudah terkena mual dan muntah. Apatah lagi sekiranya ibu sering membiarkan perutnya kosong dalam waktu yang lama. Dia akan mudah mengalami mual dan muntah disebabkan paras asid gastrik yang naik.
2. Hormon meningkat
Punca asid gastrik naik berulang disebabkan hormon dalam badan meningkat. Hormon yang meningkat adalah hormon estrogen. Hormon ini mempengaruhi keadaan asid gastrik seseorang. Ketika asid gastrik meningkat maka ibu pun mula merasa mual. Hormon estrogen lebih banyak dihasilkan pada waktu pagi, itulah sebabnya ramai ibu mengalami mual pada waktu pagi.
3. Hormon HCG
HCG adalah hormon yang boleh mengesan kehamilan seseorang. Perubahan inilah yang menyebabkan berlaku tanda kehamilan dan ibu mula mengalami mual dan muntah.
4. Metabolisme berubah
Kadar metabolisme dalam badan boleh mempengaruhi sistem imun. Ketika awal kehamilan, metabolisme di dalam badan akan berubah. Metabolisme menjadi lebih lambat dibandingkan sebelum positif mengandung. Itulah yang menyebabkan bakal ibu mual dan muntah.
5. Sistem penghadaman tertekan
Ada juga ibu yang mengalami mual di akhir kehamilan apabila kandungan semakin membesar. Perkembangan bayi yang menekan organ penghadaman dan saluran penghadaman menyebabkan ruang menjadi sempit dan ibu mudah terasa mual.
6. Psikologi
Ada juga ibu yang mengalami mual dan muntah kerana faktor terlalu kerap memikirkannya. Perasaan tertekan dan stres menjadi punca utama ibu rasa mual dan hendak termuntah.
Biarpun gejala mual ketika hamil dianggap sebagai perkara normal di kalangan ibu hamil, tetapi ada petanda bahaya pada nyawa ibu yang mengalami masalah mual luar biasa.
Petunjuk tersebut mesti difahami oleh bakal ibu dan ayah supaya segera mendapatkan rawatan untuk mengelakkan daripada gejala menjadi lebih buruk dan membahayakan nyawa ibu dan anak dalam kandungan.
Bakal ayah juga perlu lebih prihatin dan jangan menganggap isteri anda mengada-ngada atau sengaja melayan mual dan muntah yang dialaminya.
Berikut adalah petunjuk bahaya mual pada ibu hamil yang mesti segera mendapatkan rawatan lebih lanjut.
1. Ibu hamil akan terus mual dan muntah sebaik makan atau minum.
2. Jumlah air kencing sangat sedikit.
3. Badan terus lemah dan lesu sehingga tidak boleh bangun dari tempat tidur.
Sekiranya ibu hamil ada mengalami ciri-ciri tersebut ia menunjukkan anda bukan mengalami gejala mual dan muntah biasa tetapi lebih kepada penyakit hiperemisi gravidarum.
Penyakit ini adalah masalah mual dan muntah yang berlebihan. Rawatan intensif di hospital sangat diperlukan untuk mengembalikan keadaan ibu seperti sedia kala. Jika tidak dirawat dengan segera, ia akan membahayakan nyawa ibu hamil kerana kekurangan cecair dan tenaga.