Murid Tadika Stay At Home Lagi, Sekolah Dibuka Untuk Pelajar Ada Peperiksaan Sahaja!

Share

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan 24 Jun ini sebagai tarikh pembukaan sekolah melibatkan murid kelas peperiksaan awam iaitu SPM, SVM, STPM dan STAM serta peperiksaan antarabangsa yang setara bagi seluruh negara.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, pembukaan semula itu melibatkan 500,444 orang pelajar dari 2,440 buah sekolah murid kelas peperiksaan awam dan peperiksaan antarabangsa yang setara seluruh negara.

“Untuk makluman semua, setelah mengambil kira pandangan dan nasihat KKM dan MKN, KPM telah menetapkan bahawa tarikh pembukaan semula sekolah untuk murid kelas peperiksaan awam iaitu SPM, SVM, STPM dan STAM serta peperiksaan antarabangsa yang setara bagi seluruh negara adalah pada hari Rabu, 24 Jun 2020,” jelas Radzi dalam sidang media di Putrajaya pada Rabu.

Ujarnya, Kementerian Pendidikan Malaysia akan mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat dari semasa ke semasa.

“Buat masa ini, pembelajaran di rumah akan diteruskan. Memandangkan guru-guru telah kembali ke sekolah, pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dipelbagaikan dengan akses kepada kemudahan-kemudahan yang ada di sekolah.

“Kami di Kementerian Pendidikan amat berharap agar pembukaan semula sekolah mulai 24 Jun 2020 ini berjalan lancar bagi membolehkan anak-anak dapat meneruskan persekolahan dalam keadaan selamat.

“Apa yang penting kita semua perlu terus patuh kepada arahan dan saranan Kerajaan. Sama-sama kita doakan agar keadaan akan pulih sepenuhnya dan semua murid akan dapat kembali ke sekolah,” tambahnya.

Untuk pemahaman yang lebih mudah, berikut disenaraikan rumusan dari sidang media yang diadakan sebentar tadi:

SEKOLAH BAKAL DIBUKA:

1. Kelas peperiksaan: 24 Jun 2020 (RABU)
2. Selain dari itu: TUNGGU KEPUTUSAN KPM!!
(Sementara tu, kelas online diteruskan)

Kelas yang bakal dibuka:
Kelas-kelas peperiksaaan awam, SPM, svm, STPM, STAM & peperiksaan antarabangsa yang setara

Keselamatan:
Ibu bapa perlu memastikan anak-anak YANG SIHAT SAHAJA dihantar ke sekolah. Jika bergejala demam, batuk, selsema, sesak nafas, JANGAN HANTAR KE SEKOLAH.

Gambaran awal:
1. Guru akan periksa suhu di pintu masuk sekolah, termasuk guru-guru dan semua yang mempunyai urusan dengan sekolah.
2. Yang bersuhu 37.5 ke atas tidak dibenarkan masuk.
3. Murid perlu ikut laluan pergerakan ditetapkan.
4. Murid sentiasa diingatkan untuk cuci tangan dengan kerap.
5. Meja-meja disusun pada jarak satu meter, tak lebih 20 orang murid.
6. Waktu rehat secara berperingkat – makanan dan minuman siap dibungkus. Murid makan di kelas.
7. Ibu bapa digalakkan sediakan bekal untuk anak-anak.
8. Ibu bapa sentiasa pesan agar sentiasa jaga penjarakan sosial dan kebersihan.

Sumber: Astro Awani

Published by
Emy Haznida Hazairul Sham